Wednesday, March 2, 2016

'Lelaki pokok' bakal jalani pembedahan




'Lelaki pokok' bakal jalani pembedahan
Abul menunjukkan keadaan tangannya yang ditumbuhi ketuat seperti akar kayu.
DHAKA - BANGLADESH. Penderitaan yang ditanggung oleh seorang lelaki ekoran daripada tangan serta tubuh badannya yang ditumbuhi ketuat seperti akar pokok bakal berakhir setelah dia dilaporkan bakal menjalani pembedahan di Kolej Perubatan Dhaka, lapor CNN.
Lelaki berkenaan, Abul Bajandra sebelum ini tidak menyangka akan dapat hidup sehingga hari ini untuk menjalani pembedahan pusingan pertama tersebut.
Dia dilaporkan menderita selepas mengidap sejenis penyakit Epidermodysplasia Verruciformis dan lebih dikenali sebagai lelaki pokok berikutan daripada ketuat yang melampau di seluruh bahagian badannya serta tangan.
“Saya tidak rasa saya dapat tidur dengan nyenyak pada malam ini. Bagi orang miskin yang berasal daripada bahagian terpencil negara ini, pembedahan ini terlalu manis untuk menjadi kenyataan.
“Saya sudah melawan penyakit ini sejak 10 tahun lalu dan selepas ini saya akan menjalani pembedahan bagi pusingan pertama,” katanya.
Sejak Abul mengidap penyakit berkenaan, dia tidak mampu menjalani aktiviti harian seperti makan, menggosok gigi atau mandi.
Difahamkan, selama ini, Abul hanya bergantung kepada isterinya, Halima yang berusia 21 tahun serta anak perempuan mereka yang berusia tiga tahun.
“Saya hendak menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Saya hanya mahu memegang dan memeluk anak saya. Ia merupakan satu perasaan yang sangat baik bila kita dapat makan dengan menggunakan tangan sendiri,”katanya.
Lelaki berusia 25 tahun itu mula menyedari ketumbuhan luar biasa pada bahagian kakinya pada 10 tahun lalu dan dia mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan doktor tempatan.
Namun begitu, ketumbuhan tersebut masih berterusan dan dalam tempoh tiga tahun selepas itu, dia tidak dapat menggerakkan jarinya sepenuhnya disebabkan oleh penyakit ganjil itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: