MENJANA kuasa elektrik dengan menggunakan langkah manusia bukanlah idea baharu. Tenaga kinetik daripada pergerakan kaki manusia sekiranya diubah kepada tenaga elektrik mampu menghasilkan 20 watt kuasa.
Instepnanopower ialah sistem menjana tenaga elektrik menggunakan pergerakan kaki manusia yang terbina di dalam tapak kasut.
Sistem yang digunakan berbeza daripada sistem yang wujud sebelum ini kerana menggunakan sistem cecair. Tekanan kaki pemakai menekan bendalir di dalam sistem tertutup. Buih yang terhasil daripada pergerakan cecair akan menjadi kuasa elektrik yang kemudian disimpan di dalam bateri.
Tenaga elektrik yang tersimpan kemudian boleh membekalkan kuasa kepada pelbagai alatan elektronik seperti GPS ataupun lampu suluh.
Ini amat berguna bagi mereka yang menggemari sukan lasak. Peranti boleh dicas di tengah hutan belantara walaupun ketiadaan palam elektrik.
Di dalam situasi kecemasan pula kasut Instepnanopower boleh dilengkapi sistem GPS bagi mengesan kedudukan pemakai dengan pantas.