Wednesday, March 2, 2016

Belanja ribuan ringgit beli tin




Belanja ribuan ringgit beli tin
Pak Lie bersama sebahagian koleksi tin-tin yang dikumpulnya sejak tahun 1990.
IA hanya sebuah tin, namun tersembunyi seribu cerita bagi mereka yang memahaminya. Walaupun seperti tidak memberi apa-apa makna kepada orang lain tetapi ada yang sanggup mengumpul ribuan tin sebagai hobi.
Reka bentuk dan lukisan yang terdapat pada tin antara yang menjadi tarikan sesetengah penggemar untuk dijadikan perhiasan.
Fazli Nann, 53, atau lebih dikenali sebagai Pak Lie, mula menjadikan hobi mengumpul tin sejak tahun 1990.
Menurutnya, hobi itu asalnya bermula daripada isteri, Suzana Ahmad Kifli, 51, yang kemudiannya berjangkit kepadanya sehingga sekarang.
“Mulanya isteri yang minat kumpul macam-macam jenis tin yang cantik-cantik. Lama-kelamaan, minat tu berjangkit pada saya pula. Sekarang kami sama-sama kumpul.
“Memang ada yang pelik tengok hobi kami. Tapi bagi saya dan isteri ia adalah terapi minda yang terbaik apabila melihat tin-tin yang cantik disusun dalam almari,” katanya.
Fazli berkata, tin-tin edisi terhad sentiasa menjadi rebutan pengumpul tin dan sanggup dia akan berusaha mendapatkannya.
Untuk hobinya itu,  dia sudah membelanjakan ribuan ringgit membeli tin-tin cantik dan tin paling mahal dimilikinya berharga RM100. Tin itu adalah buatan luar negara.
Katanya, untuk mendapatkan edisi terhad yang tiada di Kuantan, dia akan menghubungi rakan-rakan di laman sosial untuk mendapatkannya.
“Kami ada group (kumpulan) pengumpul tin di Facebook dan dari situ kami akan berkongsi info mengenai koleksi terbaru yang boleh dibeli.
“Saya juga antara mereka yang aktif dalam kumpulan berkenaan yang sentiasa mengemas kini koleksi terbaru yang ada di pasaran,” katanya.
Menurut Fazli, ada koleksi yang diperoleh dari Singapura dan Thailand disebabkan koleksi berkenaan hanya terdapat negara berkenaan.
Paling menarik, minatnya terhadap tin ini turut disokong oleh rakan-rakan dan sanak-saudara. Mereka akan memberitahunya jika terjumpa tin-tin yang unik untuk dijadikan koleksi, malah ada di antara koleksinya terdiri daripada pemberian rakan-rakan.
“Kebanyakan tin yang unik dan cantik biasa dijual ketika musim perayaan seperti Krismas ataupun semasa promosi sesuatu produk.
"Dalam banyak-banyak tin dikumpul, ada satu tin yang amat saya sayangi sebab lukisannya penuh bermakna.
“Bagi saya tin itu sangat unik dan mempunyai makna tersendiri. Saya tidak akan sesekali menjualnya walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: