Tuesday, December 22, 2015

Suka duka Jalan Primadona




Suka duka Jalan Primadona

BAHARU sahaja dipentaskan bermula 16 hingga 20 Disember lalu di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac), teater muzikal kontemporari Jalan Primadona nyata mendapat sambutan hebat daripada peminat seni teater tempatan.
Mengangkat kisah penari Mak Yong, siapa sangka teater monodrama ini berjaya memberi satu persepsi berbeza terhadap penari-penari tarian tradisional Melayu itu.
Bagi yang kurang jelas apa itu Mak Yong, mungkin mereka akan tertanya-tanya apakah kehebatan seni tradisi itu sehingga ia diangkat ke pentas teater.
Tetapi, di sebalik nama Mak Yong, tidak ramai yang tahu bagaimanakah perjalanan kehidupan penari-penari tersebut.
Atas alasan itulah penari tersohor Mak Yong, Zamzuriah Zahari dan penerbit eksekutif The Actors Studio Seni Teater Rakyat Datuk Faridah Merican memilih untuk mementaskan naskhah berkenaan.
Berkongsi mengenai Jalan Primadona, ia berkisarkan seorang primadona seni pentas yang merasakan dirinya semakin terpinggir dan dilupakan setelah zaman kegemilangannya berakhir. 
Menariknya, sebagai teraju utama teater monodrama ini, Zamzuriah berjaya menyampaikan wataknya sebagai seorang penari Mak Yong dengan begitu baik sekali.
Ternyata bakatnya sebagai penari Mak Yong tidak dapat dipertikaikan lagi dan ia dibuktikan dengan lenggok tariannya yang berjaya memukau penonton sepanjang pementasan tersebut.
Daripada aspek lakonan pula, Zamzuriah nyata tidak mengecewakan. Ini kerana dia berjaya menginterpretasikan karakternya sebagai penari Mak Yong yang dipinggirkan dengan penuh mendalam.
Penjiwaannya terhadap karakter berkenaan turut membuatkan penonton merasa penderitaan yang dialaminya sepanjang bergelar penari Mak Yong.
Dalam pada itu, penceritaan Jalan Primadona juga wajar diberikan pujian kerana plot yang cukup ringkas dan padat telah dipaparkan kepada penonton.
Secara keseluruhan, penonton dapat memahami mesej yang hendak disampaikan menerusi teater monodrama ini dengan jelas.
Selain itu, pementasan ini turut disempurnakan dengan iringan muzik tradisional kumpulan kesenian dari Kelantan, Geng Wak Long.
Sedikit mengenai Mak Yong, ia merupakan sejenis tarian Melayu tradisional dan sering dipersembahkan dalam bentuk drama tari Melayu yang menggabungkan unsur lakonan, tarian, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal serta bersahaja. 
Drama tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Adaptasi kisah hidup
Bukan sekadar bertindak sebagai pelakon sebaliknya, Zamzuriah juga merupakan pengarah bagi teater monodrama ini.
Berkongsi perasaannya mengenai pementasan tersebut, katanya, dia cukup gembira kerana berjaya mengangkat seni MakYong sehingga ke pentas teater.
“Seni begini jarang diangkat menerusi persembahan teater, jadi saya fikir mengapa tidak ia diberikan nafas baharu sementelah saya memang terlibat dalam kedua-dua bidang ini,” katanya.
Bercerita lanjut, akuinya, Jalan Primadona sangat dekat dengan dirinya.
“Sebenarnya ia memaparkan sedikit sebanyak mengani kisah hidup saya sebagai penari Mak Yong. Saya mengharungi pelbagai cabaran sejak saya mula berkecimpung secara profesional sebagai penggiat seni tari dan teater tradisional terutamanya Mak Yong,
“Perjalanan anak seni bukan selalunya di atas, apabila dia jatuh, dirinya akan dilupakan atau dipinggirkan begitu sahaja.
“Kerana itu, terdetik di hati saya untuk memaparkan plot tersebut kepada penonton,” katanya.
Jelasnya, menerusi pementasan itu juga dia mengimbau kembali pasang-surut kehidupan penari Mak Yong dalam dunia tarian yang diceburi sejak berusia lima tahun. 
“Watak Primadona dipandang hina dan dicerca keluarga serta masyarakat pada awal penglibatannya dalam bidang ini.
“Sehinggalah suatu hari, namanya dijulang dan masyhur seorang penggiat seni tarian tradisional terutamanya mak yong dan tari inai,” katanya.
Bagaimana pun, menurut Zamzuriah, di sebalik gelaran itu, tiada siapa yang tahu duka lara saya sebagai seorang wanita di pentas seni. 
“Ketika dia nekad untuk meninggalkan dunia seni dan mendekatkan diri kepada Penciptanya, nama dan bakatnya kembali menjadi perhatian.
“Di situlah cabaran kepada plot Jalan Primadona,” katanya.

Tepis tanggapan negatif
Selain itu, sebagai penarik Mak Yong, Zamzuriah berharap dia dapat menepis tanggapan negatif segelintir masyarakat terhadap penari-penari Mak Yong di negara ini.
“Ramai yang mempunyai persepsi negatif terhadap Mak Yong kerana beranggapan ia mempunyai unsur-unsur khurafat dan mempunyai elemen mistik dalam persembahannya.
“Hakikatnya ia bergantung kepada ketetapan individu yang menjiwai seni itu sendiri. Saya hanya ingin memperjuangkan seni tarian tradisional agar tidak hilang ditelan perubahan zaman. 
“Saya percaya tarian Mak Yong harus dikomersialkan untuk menarik minat generasi baru untuk menghargai Mak Yong serta mengenali asal usulnya,” katanya.
Jelasnya yang pernah mendapat pendidikan menerusi Diploma Seni Tari di Aswara, dia bersyukur kerana diberikan peluang menjadi salah seorang penari Mak Yong.
“Pementasan ini telah membuka mata banyak pihak bahawa Mak Yong punyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, saya yakin menerusi cabang yang betul, ia mampu pergi jauh.
“Lagi pun, negara kita diwarnai dan kaya dengan pelbagai seni dan budaya yang tersendiri,” katanya.

Uji kemampuan pelakon
Sementara itu, Datuk Faridah Merican berkata, Jalan Primadona berjaya menguji kemampuan Zamzuriah sebagai seorang pelakon dan penari Mak Yong.
“Bukan calang-calang pementasan kerana dia diberi tanggungjawab besar untuk memainkan watak Primadona yang cukup mencabar.
“Bagaimana pun, saya berpuas hati kerana dia mampu berlakon, menyanyi, menari dan mendeklamasikan puisi dengan baik.
“Bahkan, saya turut memujinya kerana berjaya menjiwai wataknya dengan begitu hebat sekali,” katanya.
Tambah Faridah, kesempatan bekerja dengan Zamzuriah juga adalah satu pengalaman hebat.
“Kali terakhir saya bekerjasama dengannya menerusi pementasan Usikan Rebab dan Titis Sakti.
“Bagi saya, dia mempunyai bakat besar dalam bidang ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: