DIBERIKAN peluang untuk beraksi di pentas teater pastinya tidak akan dilepaskan oleh mana-mana anak seni.
Sementelah, pementasan yang dilakukan adalah di pentas berprestij seperti Istana Budaya (IB).
Disebabkan itu, pelakon berdarah Inggeris-Melayu ini tidak menolak tawaran untuk terlibat sama menerusi pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah yang akan membuka tirainya bermula 3 hingga 8 Disember ini di IB.
Akui Juliana Evans, sebenarnya dia sudah lama memasang impian untuk bergelar pelakon teater sejak melibatkan diri dalam dunia seni hampir 15 tahun lalu.
"Ini adalah saat yang saya nanti-nantikan. Bukan mudah untuk bergelar pelakon teater dan kesempatan ini tidak mungkin dilepaskan saya begitu sahaja.
"Bagi saya, menjadi pelakon teater merupakan pengalaman hebat sekali gus melengkapkan profil kerjaya saya," kata kepada Zass.
Berkongsi pengalamannya di pentas teater, kata pelakon berusia 26 tahun ini, dia sebenarnya 'kosong' dalam bidang tersebut.
"Saya tiada sebarang pengalaman dalam teater. Kalau ada pun waktu sekolah dahulu, itu pun sekadar watak sampingan dan tidak sepenting sekarang," katanya.
Berkongsi perasaannya, jelas Juliana, dia sangat teruja kerana dapat terlibat menerusi teater ini.
"Ia sebuah karya yang hebat. Saya sendiri tidak sabar hendak melihat sejauh mana kemampuan saya dalam bidang ini.
"Kalau boleh biarlah percubaan pertama saya ini menjadi, kerana ia adalah kayu pengukur untuk pergi lebih jauh sebagai pelakon teater," katanya.
Pada masa sama, Juliana memberitahu, dia turut teruja kerana diberikan peluang menjadi Bawang Putih.
"Bawang Putih mempunyai karakter antagonis tersendiri. Kerana itu, saya benar-benar mahu menjadi Bawang Putih. Tidak sangka pula, saya mendapat peluang tersebut.
"Selama ini saya sering membawakan peranan yang baik, jadi saya mahu serlahkan siri berbeza saya sebagai Bawang Putih. Lagi pun, teater ini berkisarkan kisah Melayu klasik dan pastinya ia berbeza daripada antagonis moden," katanya.
Ditanya bagaimana dia merealisasikan peranan tersebut, katanya, dia banyak menonton filem Melayu klasik sebagai rujukan.
"Watak ini sangat berat kerana ianya adalah Melayu klasik. Jadi saya cabar diri saya untuk menjadi Bawang Putih yang gedik dalam versi klasik.
"Jadi saya perlu pastikan lenggok badan, gaya bahasa dan ekspresi muka klasik saya menjadi.
"Sebab itu, walau pun saya sudah lakukan yang terbaik dan memberi sehabis mungkin ketika sesi latihan, tetapi bagi Kak Erma Fatima ia masih belum mencukupi," katanya.
Teater klasik terbitan Rumah Karya Citra ini mendapat sentuhan pengarah terkenal Erma Fatima.
Ia turut dijayakan Syarul Ridzwan sebagai Putera Raja, Nur Fathia Latiff sebagai Bawang Merah, Nabila Huda sebagai ibu kepada Bawang Putih, Fazlina Ahmad Daud sebagai ibu kepada Bawang Merah, Beto Kusyairy sebagai Bongkok dan Tya Arifin sebagai Melur, sahabat baik kepada Bawang Putih.
Tidak tertekan
Dalam pada itu, Juliana mengakui walau pun sesi latihan pementasan teater klasik berkenaan agak singkat namun dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan lakonannya nanti tidak berkualiti.
"Saya tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu. Bagi saya, apabila kita sudah menerima tanggungjawab yang diberikan, kita perlu memberikan yang terbaik meski pun dalam masa yang singkat.
"Apa pun, setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah atau tertekan memandangkan saya boleh bekerja di bawah tekanan," katanya.
Tambah Juliana lagi, dia yakin dengan bantuan Kak Erma, pelakon lain dan krew terlibat dia akan menjadi Bawang Putih dengan baik.
"Bukan mudah bekerja dengan Kak Erma, selagi dia tidak berpuas hati, kita perlu melakukannya lagi.
"Jadi saya percaya dengan pandangannya yang sentiasa mahukan pelakonnya terbaik di mata penonton," katanya.
Sementara itu, Juliana berkata, dia gembira sejak kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajiannya di Amerika Syarikat tahun lalu, rezekinya tidak pernah putus.
"Selain mendapat pelbagai tawaran sebagai duta dan model, tawaran lakonan juga masih banyak.
"Saya sangat bersyukur kerana industri masih menerima saya sehingga kini," katanya.
Juliana juga bakal muncul dalam dua filem iaitu Bella dan Jemmy serta Alif Dalam Tujuh Dimensi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: