Wednesday, December 23, 2015

Gendang peneman selepas bersara




Gendang peneman selepas bersara
Pokwi menunjukkan cara bermain gendang bersama cucunya.
BACHOK - Gendang adalah peralatan wajib dalam kesenian tradisional Melayu, namun tidak ramai  mahir memainkannya, apatah lagi untuk membuat gendang yang sempurna kualiti dan bunyinya.
Bagaimanapun, di Jalan Binjai, Kampung Jelawat, di sini, seorang warga emas aktif membuat gendang bagi memenuhi tempahan peminat peralatan itu selepas bersara daripada Majlis Daerah Bachok pada 2002.
Justeru, wartawan Sinar Harian tidak mahu melepaskan peluang menemui warga emas terbabit.
Walaupun tidak sihat, Mohd Rawi Jusoh, 64, atau lebih mesra dengan panggilan Pokwi bersama isterinya, Hasanah Abdul Kadir, 62, tetap mesra serta ramah menyambut kedatangan wartawan.
Melihat di dalam rumah, terdapat juga peralatan rebab yang begitu menarik perhatian, namun kata Pokwi, ada beberapa lagi rebab yang dibuat tetapi semuanya diberikan kepada kenalan yang berminat menjadikannya sebagai hiasan.
Memulakan bicara Pokwi memohon maaf kerana keadaan kesihatannya tidak begitu mengizinkan.
“Maaflah pakcik ni tak sihat sangat, ada sakit prostat sejak beberapa tahun lalu. Tak lama lagi nak kena masuk hospital, nak bedah pula kata doktor.
“Dah banyak hari juga tak siapkan gendang yang ditempah sebab tak larat tapi bila ada orang datang nak tahu cerita tentang gendang ni, pakcik rasa bersemangat nak cerita,” kata bapa tujuh anak ini.
Minat gendang sejak kecil
Menurut Pokwi, minat terhadap gendang berputik sejak dia kecil apabila melihat fungsi gendang yang dimainkan, bukan sahaja dalam kesenian tradisional tetapi juga perubatan alternatif seperti main puteri.
Katanya, proses pembuatan gendang juga memerlukan kesabaran kerana perlu tempoh yang lama, paling cepat dia mampu menyiapkan satu set gendang ibu dan anak dalam masa tiga minggu.
"Gendang untuk permainan silat dan boksing adalah set yang sama, manakala gendang untuk permainan puteri, mak yong serta menora pula menggunakan set berbeza.
“Gendang ini asasnya bongkah kayu besar yang perlu ditebuk untuk membuat ‘temalir’ iaitu lubang dalam gendang dan antara kayu elok untuk buat gendang ialah kayu pokok cempedak, sena serta  nangka.
“Tapi sekarang susah nak dapat pokok kayu macam tu dan pakcik terpaksa buat ikut jenis kayu yang ada," katanya.
Pokwi berkata, proses menebuk menggunakan mesin sebelum dihalusi dengan pahat dan kemudian ia disapu syelek untuk lebih cantik.
"Selain itu, buluh minyak sederhana ruasnya diraut untuk membuat lilitan bingkai gendang. Bingkai itu pula akan diikat menggunakan tali untuk regangan yang bersesuaian,” katanya.
Gunakan belulang lembu, kambing
Pokwi berkata, selain kayu, belulang (kulit) lembu dan kambing diperoleh beberapa kali setahun sahaja daripada penyembelih haiwan tersebut.
Menurutnya, membuat gendang memerlukan kulit lembu kurus yang berat kulitnya kurang daripada 10 kilogram kerana ia adalah lebih baik.
"Tahun ini hanya dapat lima kulit lembu untuk membuat bahagian muka dan kulit kambing pula untuk bahagian belakangnya.
'“Kulit ini perlu sempurna tanpa ada kesan koyak atau tebuk. Kita perlu jemur kulit lembu selama seminggu dan kulit kambing pula hanya mengambil masa tiga hari untuk kering.
 “Kalau nak buat terus, ia perlu dikikis hingga licin sebelum ditumbuk di atas tanah kira-kira sejam sehingga lembut seperti kain. Kalau tak nak buat lagi, kena simpan dalam batang pisang dan diletakkan asam keping untuk elakkan ia busuk,” ujar Pokwi yang turut membuat gong.
Buat ikut tempahan
Pokwi berkata, biasanya gendang dijual sekitar harga RM800 tidak termasuk gong.
Menurutnya, gong dibuat sendiri menggunakan besi tong dram yang perlu diketuk sehingga beberapa jam untuk mendapatkan bunyi dikehendaki.
“Biasanya kalau buat gong, telinga akan bingit dan ambil masa lama sikit untuk cari bunyinya. Memang akan bingit sekitar kampung dan orang kampung pun dah tau, kalau bunyi bising ketuk besi tu pakcik tengah buat gong.
"Gong main puteri dan mak yong lebih kecil, manakala gong untuk silat serta boksing pula lebih besar,” katanya.
Pokwi berkata, walaupun dia mahir membuat permainan tradisional itu, namun tiada warisnya yang berminat mewarisi kemahiran tersebut.
"Bagaimanapun, anak sulung pakcik, Nazlin,45,  berbakat bermain gendang sehingga ke peringkat kebangsaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: