Tuesday, December 22, 2015

Abdul Salam tak kisah untung sikit



Abdul Salam tak kisah untung sikit
Abdul Salam (tengah) bersama dua anaknya yang membantu di kedai Salam Sajian Seringgit di tingkat dua Terminal Bas Tun Seri Lanang
KOTA TINGGI - Niat seorang pengusaha kedai makan di tingkat dua Terminal Bas Tun Seri Lanang dekat sini, bagi membantu gelandangan membeli makanan mencetuskan idea menawarkan harga serendah RM1 di kedai makannya.
Tindakannya itu membuatkan kedai makannya, Salam Sajian Seringgit popular malah menjadi tumpuan selepas viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Pemiliknya, Abdul Salam Hamed, 52, berkata, niatnya untuk membantu mereka yang susah ternyata berjaya menarik ramai pelanggan terutama orang awam untuk menjamu selera di kedainya.
Menurutnya, dia tidak kisah meskipun keuntungan diperoleh sedikit, tetapi kedai makannya sehingga kini sentiasa dipenuhi pelanggan setiap hari.
“Alhamdulillah bukan saja orang awam, pelajar sekolah juga mampu makan di kedai kami dengan tawaran harga diberikan. Harga kami munasabah dengan masakan termasuk saiz lauk serta air panas dan air sejuk dengan harga RM1.
"Selain hari biasa, kedai kami juga menjadi tumpuan setiap hari Khamis sebab menu istimewa seperti nasi ayam dengan harga RM3. Kami juga menawarkan air percuma pada hari tersebut,” kata bapa empat anak itu.
Abdul Salam berkata, usaha dilakukannya sejak empat bulan lalu secara tidak langsung berjaya menarik orang ramai ke kawasan tingkat dua terminal bas terbabit yang sebelum ini sunyi.
Dia yang turut membuat khidmat katering untuk majlis perkahwinan berkata, harga ditawarkan akan dikekalkan dan percaya meraih keuntungan walaupun harga murah.
“Ada orang pelik dengan cara saya. Bagi saya, kalau ada peniaga yang boleh hidup dengan kedai barangan RM2, kenapa pula saya tak boleh usahakan kedai RM1.
“Cuma sekarang ini saya tak ambil pekerja, isteri (Zabariah Ahmad, 46) dan juga anak-anak yang banyak membantu,” katanya lagi.
Jelasnya, dia juga mendapat tawaran membuka kedai makan di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Kulai selepas harga RM1 yang ditawarkan di kedainya itu menjadi viral.
Pelanggan, Rozita Jais, 36, berkata, dia mendapat tahu berkaitan kedai makan tersebut melalui Facebook.
Katanya, dalam keadaan ekonomi kini, dia tidak menyangka kedai RM1 tersebut wujud sehinggalah dia bersama suami, Mohd Khalid Md Salleh, 38, dan anak-anak datang sendiri ke kedai itu.  
“Ini pertama kali kami datang makan dekat sini selepas melihat di Facebook. Tambahan pula kami mahu kepastian, ternyata ia benar-benar wujud.
“Bila lihat lauk pauk dengan harga ditawarkan memang berpatutan. Bagi kami ia satu contoh yang baik, dan kedai makan yang lain perlu mencontohi pengusaha ini dalam usaha membantu rakyat dan bukan sekadar mencari keuntungan,” katanya yang tinggal di Desa Tebrau.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: