Muhamad Fairul (kanan) melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki membuat kutipan derma yang beberapa kesalahan
TANJUNG MALIM - Orang ramai diminta untuk berwaspada terhadap peminta sedekah moden yang kini semakin berleluasa di daerah ini.
Peminta sedekah moden merupakan individu yang menggunakan nama sesuatu persatuan kebajikan bagi mengutip dana daripada orang ramai.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kecil Slim, Muhamad Fairul Badry berkata, ini kerana pihaknya menahan seorang pengutip derma kerana meragui tujuan kutipan itu dijalankan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lelaki berusia lingkungan 40-an itu juga dilihat melakukan tiga kesalahan mengikut undang-undang.
“Antara kesalahan yang dilakukannya adalah tidak membuat laporan polis untuk membuat kutipan di dalam daerah ini.
“Selain itu, menjadi satu kesalahan apabila orang yang mengutip derma bukan orang sama memohon permit mengutip derma,” katanya.
Muhamad Fairul berkata, turut menjadi satu kesalahan jika orang yang mengutip derma tidak mempunyai resit rasmi yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Perak (Maipk).
Jelasnya, pihak kebajikan bimbang jika hasil kutipan yang diperoleh itu digunakan untuk tujuan lain dan disalahgunakan.
"Kami turut mendapati kutipan derma yang diperoleh lelaki itu sebanyak RM129.80 dalam tempoh beberapa jam sahaja," katanya.
Beliau turut membuat laporan polis terhadap lelaki tersebut yang dipercayai melakukan beberapa kesalahan untuk tindakan pihak tertentu.
“Saya minta orang ramai untuk lebih peka jika mahu menghulurkan derma kerana kita bimbang hasil derma yang diperoleh disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: