LEDANG – Seorang pekebun yang memiliki puluhan syiling  perak dan tembaga berusia lebih 300 tahun berhasrat menjual barangan tersebut kepada peminat atau  pengumpul barangan lama.

Abd Aziz Mohd Nor, 44, berkata, kesemua syiling tersebut dijumpainya ketika membersihkan kebun getah milik bapanya yang seluas 3.3 hektar di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang untuk penanaman semula.

“Masa itu, umur saya 19 tahun, bermakna dah 25 tahun saya simpan syiling tu. Masa tolong ayah bersihkan tanah dulu, saya terpijak satu gumpalan tanah yang ada banyak serpihan tembikar yang pecah.

“Bila saya leraikan, saya jumpa 50 syiling perak dan 10 syiling tembaga macam-macam bentuk dan saiz,” katanya yang menetap di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang, di sini.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, kebanyakan syiling itu keluaran tahun 1860 dan 1890an, manakala yang paling lama adalah tahun 1707 seperti yang tercetak pada syiling  tersebut.

Menurutnya, pada permukaan syiling perak itu tertulis  perkataan United States America Liberty SVVM CVIQVE. Sementara syiling tembaga bernilai satu sen itu tertera nama Raja Putih Serawak iaitu James Brooke keluaran tahun 1891.

“Syiling ini kotor berselaput tanah masa saya jumpa dulu, jadi saya bersihkannya dan simpan ia elok-elok dalam satu beg khas.

“Saya percaya kawasan kebun ini satu masa dahulu pernah jadi menjadi tempat tinggal penjajah dari Amerika Syarikat sebab banyak barangan keperluan harian lain saya jumpa bersama syiling ni,” katanya.

Katanya, ramai kenalan rapat mengetahui penemuan itu dan mereka hanya sekadar mengambil gambar kerana tidak meminati barangan lama.

“Anak sulung saya,  Mohd Shahrul Fahmi, 15, menunjukkan minat dengan barangan ini dan sering membelek atau membersihkannya pada waktu lapang.

“Bila dah lama lama syiling ini dalam simpanan, saya sedia jualnya kepada umum,” katanya.

Abd Aziz berkata, mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 010-2085871 dan harga syiling itu adalah bergantung kepada tahun keluaran, namun boleh dirunding mengikut nilai yang munasabah.