Friday, October 16, 2015

Nurrahman usahawan cilik OKU



Nurrahman usahawan cilik OKU
Mohd Nurrahman akan memastikan kesemua ayam kampung peliharaannya diberi makan sebelum pergi ke sekolah.
KUALA KURAU - Meskipun bergelar orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, seorang remaja berjaya menjadi usahawan ayam kampung termuda di Kerian pada usia baru menjangkau 13 tahun.
Pelajar pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kurau, Mohd Nurrahman Mansor berkata, dia memulakan perusahaannya itu dengan hanya bermodalkan sepasang ayam kampung dari tabung simpanan duit sendiri bersama reban yang dibina bersama bapanya, Mansor Rahman, 42.
Menurutnya, minat membela ayam kampung tercetus setelah dia terpilih bersama lima lagi pelajar pendidikan khas untuk menyertai projek perintis penternakan ayam kampung yang dikelola guru-guru  pendidikan khas sekolah.
"Projek perintis yang dimulakan tahun lalu beri pengalaman bernilai kepada saya untuk mendalami lebih lanjut kaedah terbaik menternak ayam kampung sehingga ke peringkat pemasaran," katanya.
Ada pengalaman bantu ayah
Mohd Nurrahman berkata, terpilih menyertai projek perintis itu merupakan satu rahmat buat dirinya.
"Saya memang minat bidang penternakan ayam kampung dan ada pengalaman bantu ayah bela kambing sebelum ini.
"Setelah terbabit secara langsung, saya nekad untuk siapkan reban ayam sendiri sambil dibantu ayah untuk membela sepasang ayam kampung yang dibeli menggunakan wang simpanan tabung," katanya ketika ditemui media di SK Kuala Kurau, di sini.
Hadir sama, Penyelaras Projek Perintis Penternakan Ayam Kampung SK Kuala Kurau, Najmi Rajli; Guru Besar SK Kuala Kurau, Mohamad Wazir Abu Bakar dan Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian (Pendidikan Khas), Tuan Mohd Fazli Mohd Abdullah.
Berjaya ternak 53 ekor ayam kampung
Katanya, usaha menternak ayam kampung dimulakannya selaras dengan perlaksanaan projek perintis diselia guru-gurunya di sekolah pada tahun lalu.
Menurutnya, bermula dengan sepasang ayam kampung, dia kini mampu berbangga apabila berjaya menternak 53 ekor ayam kampung di mana 10 ekor daripadanya sudah terjual.
“Setiap hari sebelum ke sekolah, saya akan bagi ayam makan dengan bahan makanan campuran kerak nasi dan dedak.
"Balik sekolah, saya akan habiskan waktu petang dengan membersihkan reban, memandikan ayam dan menaburkan habuk kayu ke seluruh reban untuk elak ia berbau busuk.
"Setiap bulan, saya perlu keluarkan kira-kira RM40 untuk kos membeli dedak dan habuk kayu. Setiap ayam dan telur yang terjual pula akan digunakan untuk beli tambahan anak ayam untuk diternak," katanya.
Sasar ternak 70 ekor sebelum akhir tahun
Mohd Nurrahman turut menyasarkan untuk menternak sekurang-kurangnya 70 ekor ayam kampung sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya ketika ini, kesemua ayam kampung diternak sudah menjangkau usia setahun, berat lebih sekilogram dan sudah boleh dijual pada bila-bila masa.
“Buat masa ini, saya urus pemasaran ayam  dan sekarang ada pihak bersetuju  memborongnya dengan harga RM10 hingga RM12 sekilogram," katanya.
Katanya, dia juga ada menjalankan uji kaji kaedah memeram telur ayam kampung untuk dijadikan anak ayam yang dipelajari sendiri menerusi saluran YouTube.
"Setakat ini uji kaji yang dibuat masih tak menjadi. Tapi saya masih tetap berusaha sebab kos pembelian anak ayam pasti dapat dijimatkan kalau inisiatif ini berjaya," katanya.
Malah katanya, status sebagai pelajar OKU tidak pernah menjadi alasan dirinya untuk tidak berusaha mengubah nasib diri dan keluarga.
"Keluarga saya orang susah dan gaji ayah sebagai tukang bina rumah tak seberapa. Saya perlu lakukan sesuatu untuk bantu keluarga.
"Mujur pihak sekolah beri peluang saya libatkan diri dalam bidang penternakan ayam kampung dan bersyukur kini ada hala tuju masa depan yang jelas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: