
Pengawal keselamatan yang terlibat kecewa apabila majikan gagal membayar gaji sejak dua bulan lalu.
MACHANG - Kira-kira 64 pengawal keselamatan di 16 sekolah terpaksa mengikat perut apabila mendakwa majikan mereka gagal membayar gaji sejak dua bulan lalu.
Keadaan itu menyebabkan mereka berdepan pelbagai kesukaran termasuk gagal membayar sewa rumah, insurans kereta, bil utiliti dan pelbagai perbelanjaan utama yang lain.
Pekerja terlibat, Mohd Azwan Ismail berkata, pelbagai alasan diberikan pihak majikan apabila mereka bertanyakan mengenai wang gaji, termasuk bayaran tender tidak dibayar Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Machang.
Menurutnya, kehidupan pekerja terlibat terumbang-ambing apabila tidak mempunyai pendapatan tetap, malah ramai dalam kalangan mereka terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan.
Justeru, Mohd Azwan berharap pihak majikan lebih bertanggungjawab dan membantu mereka menyelesaikan masalah itu secepat mungkin dengan mengambil kira kebajikan pekerja.
“Kami dah tanya pegawai PPD dan dimaklumkan bayaran dibuat sekalipun tidak membabitkan semua pembayaran. Yang peliknya, daripada tiga syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini di Machang, hanya syarikat kami bermasalah dalam pembayaran gaji, sedangkan pembayaran tender bagi ketiga-ketiga syarikat dibayar sama PPD Machang.
"Kami harap pihak berkenaan bantu kami. Kami bukan orang senang dan bergantung hidup pada pendapatan sebagai pengawal keselamatan semata-mata,” katanya ketika ditemui di PPD Machang, semalam.
Kira-kira 20 pengawal keselamatan hadir untuk mendapatkan penjelasan PPD setelah dimaklumkan wakil majikan mereka, PPD gagal menjelaskan bayaran kontrak tersebut, sekali gus berharap masalah itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Mazlan Yusoff mendakwa, selain gagal dibayar gaji, pihak syarikat juga tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara teratur sepanjang dua tahun perkhidmatannya.
Menurutnya, tahun lalu, majikannya hanya menjelaskan caruman KWSP selama dua bulan dan lima bulan pada tahun ini.
“Kami bukan nak besarkan cerita, tapi hidup kami cukup tertekan apabila majikan gagal bayar gaji, sedangkan kami bergantung sepenuhnya kepada pendapatan ini bagi menyara keluarga.
“Dengan kos perbelanjaan yang tinggi sekarang, semuanya perlukan duit. Kami terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan,” katanya.
Manakala, bagi Samsudin Mohd Zin, pihak berkenaan perlu memilih syarikat yang bertanggungjawab, sekali gus memantau perkara tersebut bagi menjaga kebajikan pengawal keselamatan.
Katanya, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku kepada majikan lain dan ia sangat mengecewakan pihaknya.
"Saya dan rakan-rakan tak tahu ke mana nak mengadu dan memilih untuk mendapatkan penjelasan PPD mengenai perkara ini.
"Kami mengalu-alukan campur tangan pihak berkenaan bagi membela nasib kami terutama mereka yang mempunyai keluarga dan anak yang masih kecil,” katanya.
Sementara itu, menurut wakil syarikat berkenaan, pihaknya baru menerima pembayaran dan kelewatan tersebut berpunca daripada masalah pembayaran dilaksanakan PPD, yang mana pembayaran kali terakhir adalah untuk Mei.
“Bagi bayaran terbaru, kami terima bayaran petang kelmarin dan empat hari lagi baru dapat duit,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: