Friday, October 2, 2015

Ibu tunggal terima bantuan zakat



Ibu tunggal terima bantuan zakat
Wan Abdul Wahid melihat keadaan keluarga Lizawati ketika melawat mereka di sini.
KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan bantuan zakat RM500 kepada ibu tunggal, Lizawati Mustafa, 33, yang menanggung lima anak berusia 12 hingga 2 tahun.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya turut menyumbangkan bantuan segera kepada keluarga tersebut bagi meringankan beban yang ditanggung.
Menurutnya, selain bantuan bulanan berjumlah RM500, keluarga itu akan mendapat baucar RM100 pada hujung tahun untuk membeli keperluan harian di Pasar Raya Darul Makmur yang juga milik Muip.
“Muip berharap bantuan ini dapat membantu keluarga ini dan kita akan memantau mereka sekiranya memerlukan bantuan lain selepas ini.
“Dalam pada itu, Muip mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghebahkan maklumat mengenai orang miskin di negeri untuk perhatian pihak bertanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan bantuan segera kepada Lizawati di rumahnya di Kampung Batu 6, di sini.
Wan Abdul Wahid berkata, selain masyarakat setempat yang prihatin, peranan pemimpin setempat juga penting agar mereka dapat menyalurkan maklumat mengenai orang miskin di tempat masing-masing kepada Muip dan pihak yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, ada kalanya mereka yang ditimpa kesusahan tidak tahu saluran untuk mendapatkan bantuan justeru, peranan pemimpin setempat penting untuk membantu mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: