Friday, October 2, 2015

Harga ubat, barang farmasi naik



Harga ubat, barang farmasi naik
Abdul Aziz (empat,kanan) mengiringi Mohd Johari beramah mesra dengan pelajar SMA Rompin selepas mengedarkan topeng muka kepada pelajar sekolah berkenaan, semalam.
ROMPIN - Harga peralatan bantuan kesihatan dan ubat-ubatan di farmasi akan berlaku kenaikan bermula bulan Oktober ini akibat kejatuhan nilai mata wang negara dan kemungkinan trend kenaikan itu akan bertambah jika ringgit terus jatuh.
Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia Pahang, Abdul Aziz Jamaludin, berkata, beliau sendiri telah dimaklumkan pembekal bahawa kenaikan akan berlaku pada bulan Oktober ini sekitar 5 hingga 20 peratus.
“Kenaikan harga peralatan bantuan kesihatan dan ubat-ubatan tidak dinafikan akan naik pada bulan Oktober ini akibat kesan daripada kejatuhan nilai mata wang ringgit dengan kadar 5 hingga 10 peratus bagi yang dibuat di Malaysia dan 10 hingga 20 peratus bagi yang import terus dari luar negara.
“Jika trend kejatuhan nilai ringgit terus mencatatkan penurunan, tidak mustahil harga produk kesihatan di farmasi akan terus meningkat lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program kempen memakai topeng muka dan banyak minum air ketika jerebu di Sekolah Kebangsaan Kampung Kolam dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Rompin yang turut dihadiri Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mohd Johari Hussain, semalam.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang, dan Hospital KPJ Kuantan.
Dalam pada itu, beliau turut tidak menafikan kejatuhan ringgit kira-kira dua bulan lalu juga mengakibatkan rata-rata farmasi mengalami penurunan jumlah pelanggan yang mungkin disebabkan mereka mula berhati-hati berbelanja selain tidak menolak kesan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Secara umumnya sekarang atau selepas ini apabila harga peralatan bantuan kesihatan dan ubat-ubatan naik, jualan akan berkurangan namun dalam masa yang sama kos meningkat sekali gus menyebabkan perniagaan menjadi merosot,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: