Wednesday, October 21, 2015

Ahmad Rashid Talu terpinggir?



Ahmad Rashid Talu
Ahmad Rashid Talu
GEORGETOWN - Selain Syed Sheikh Al Hadi, seorang lagi sejarawan semakin dilupai di negeri ini apabila namanya tenggelam sama seperti tempat kelahirannya di Lorong Lumut, Lebuh Acheh. 
Jika ada yang mengenalinya sekalipun sudah pasti dalam kalangan peminat sastera dan pengkaji sejarah. 
Ahmad Rashid Talu antara sejarawan Melayu yang begitu dikenali pada sekitar 1920-an di Pulau Pinang.
Beliau juga adalah novelis pertama yang menggunakan latar belakang Tanah Melayu dan watak bangsa Melayu dalam karya sulungnya.
Novel yang dihasilkan pada 1927 itu kemudiannya menjadi perintis kepada novelis selepasnya untuk mengangkat martabat bangsa dan kaum Melayu khususnya untuk diadaptasi di dalam karya sastera.
Namun namanya hanya tinggal kenangan, malah lebih menyedihkan apabila rumahnya yang terletak di Lorong Lumut turut terbiar seolah-olah penulis yang pernah memartabatkan seni penulisan negara itu dipandang sebelah mata saja.


Nama sudah tidak mendapat tempat
Tinjauan bersama Persatuan Pelancongan Dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat) mendapati rumah Ahmad Rashid Talu yang terletak di Lorong Lumut itu berada dalam keadaan usang.
Sumber daripada penduduk terdekat turut memberitahu rumah papan berkenaan dijadikan sebagai tempat simpanan barang.
Presiden Sahabat, Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa berkata, beliau terkilan berikutan nama sejarawan terkenal itu tidak mendapat tempat di negeri ini.
Menurutnya, pihaknya juga kecewa berikutan nilai sentimen dan warisan milik Ahmad Rashid Talu dibiarkan sama seperti sejarawan Melayu lain di negeri ini iaitu Syed Sheikh Al Hadi.
“Sampai bila kita mahu menghukum sejarawan kita sebegini, saya amat berharap supaya pihak bertanggungjawab memandang serius isu ini termasuklah Kerajaan Pulau Pinang sendiri.
“Ini melibatkan sejarah dan nilai warisan bangsa Melayu di Pulau Pinang, ia juga membuktikan sebenarnya Melayu sudah lama bertapak di negeri ini dan membawa pelbagai ketamadunan serta modenisasi,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Lorong Lumut bersama Setiausaha Agung Sahabat, Azhar Saad.
Lorong Lumut terletak di tengah-tengah kepesatan lokasi pembangunan syarikat percetakan majalah dan juga akhbar pada sekitar 1920-an di Lebuh Acheh.
Kemunculan syarikat penerbitan ini membuka lembaran baharu dalam perkembangan penulis Melayu seperti Ahmad Rashid Talu yang terpanggil setelah melihat kemunduran bangsanya.
Era ini juga memperlihatkan masyarakat Melayu Pulau Pinang yang jauh ketinggalan dari pelbagai aspek terutamanya ekonomi dan pendidikan berbanding keturunan pendatang pada ketika itu.


Wujudkan program Heritage Trail
Syed Kamalrul berkata, beliau kecewa melihat persekitaran rumah asal Ahmad Rashid Talu berkenaan.
“Jika kita lihat sekelilingnya, ada butik hotel, kedai seni dan ada tempat pembinaan, nampak ia sememangnya dimajukan walaupun lorong ini kelihatan agak kelam.
“Saya yakin jika kita ambil semula rumah warisan Ahmad Rashid Talu ini, sekali gus boleh mewujudkan program yang dinamakan Heritage Trail atau jejak warisan sama seperti kaum-kaum lain yang turut mengadakan program sama,” katanya.
Manakan tidaknya, sepanjang Lebuh Acheh yang turut merangkumi Lorong Lumut, ia adalah tempat pembangunan percetakan sastera Melayu satu ketika dahulu.
Ia termasuk wujudnya Madrasatul Al-Quran yang dibina pada 1916 di Lebuh Acheh berhampiran Bangunan Syed Alatas yang pernah dijadikan Muzium Islam Pulau Pinang.


Siapa Ahmad Rashid Talu?
Sementara itu, Presiden Karyawan Pulau Pinang, Prof Madya Dr Sohaimi Abdul Aziz juga pernah menghasilkan buku mengenai Ahmad Rashid Talu; Sasterawan Mendahului Zaman.
Sohaimi berkata, antara novel yang dihasilkan sasterawan terkenal itu ialah Iakah Salmah.
Melaluinya, beliau merakamkan pemikiran yang progresif. 
Ahmad Rashid Talu mengemukakan pandangannya tentang faktor yang menyebabkan bangsa Melayu tertinggal jauh di belakang.
"Novel ini membawa zaman baharu iaitu kemajuan. Untuk sampai kepada zaman itu maka masyarakat Melayu perlu membaiki kelemahan yang ada pada diri seperti berani menegakkan kebenaran, berfikiran terbuka dan lain-lain," katanya.
Sebahagian besar karya Ahmad Rashid Talu lebih tertumpu kepada wanita sebagai protagonisnya terutama Iakah Salmah, Kawan Benar, Rahmah binti Abdullah dan Dua Belas Kali Sengsara.
Dalam Iakah Salmah, beliau meletakkan wanita pada kedudukan yang istimewa. Watak Salmah merupakan lambang pemikiran progresifnya untuk membincangkan aspek-aspek pelajaran, agama, ekonomi dan etika orang Melayu.
Selain itu, Ahmad Rashid Talu memperlihatkan perjuangan golngan muda di negara ini pada awal abad ke-20 banyak melibatkan peranan golongan wanita.
Suara pembaharuan yang dibawanya memperlihatkan kelantangan yang amat berani dan mampu berdebat dan mengkritik tentang kekolotan masyarakatnya yang tidak membezakan antara adat dan agama.
Ahmad Rashid Talu juga menjadikan Salmah sebagai model sebenar yang harus diikuti oleh seluruh masyarakat Melayu. Dengan kata lain, beliau berpendapat, puluhan Salmah boleh diwujudkan jika wanita-wanita diberi pendidikan sempurna.
Sohaimi menjelaskan, latar pendidikan yang perlu diutamakan menurut Ahmad Rashid Talu ialah pelajaran Inggeris. 
Ini kerana sebahagian besar masyarakat Melayu masih memandang negatif kerana dikhuatiri anak-anak mereka akan dikristiankan.
"Sebagai penulis, Ahmad Rashid Talu mahu mengubah pandangan ini dengan mengemukakan watak Salmah yang memperlihatkan wanita berpendidikan Inggeris tetapi tidak menjadi Kristian. Sebaliknya, Salmah juga pandai berhujah tentang Islam.
"Dengan kata lain, Salmah adalah model bagi masyarakat Melayu yang bukan sahaja berpendidikan Inggeris, tetapi juga berpendidikan agama," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: