
SELIPAR antara cenderamata yang dibeli pelancong di Langkawi.
ROKOK, minuman keras atau coklat? Yang mana satukah menjadi pilihan pelancong bila berkunjung ke pulau bebas cukai Langkawi?
Anda salah jika memilih satu daripada produk yang disenaraikan itu dan jangan terkejut kerana jawapan sebenarnya ialah selipar getah.
Pelik tetapi penemuan ini adalah hasil kajian ke atas barang yang paling digemari pelancong bila berkunjung ke pulau lagenda ini yang dikongsi Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bersama Bernama.
Bagaimanapun, selipar getah ini bukan sebarangan selipar getah.
Ada pelbagai warna dan ia mudah dibeli di kedai-kedai yang terletak di merata kawasan pelancong Langkawi.
Selain kepelbagaian warna, terdapat aneka corak yang dilukis di atas selipar itu yang menjadikannya kelihatan begitu menarik apabila disusun di atas rak sama ada di dalam atau luar kedai.
Mereka yang berhajat membeli selipar ini sila ambil maklum kerana harganya tidak semurah seperti yang disangkakan. Harganya boleh mencecah antara RM15 hingga RM30 sepasang.
Lebih 100,000 pasang selipar dijual sepanjang tiga suku pertama tahun ini.
Ini adalah antara hasil kajian pasukan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), yang menjalankan kajian itu bagi pihak Lada.
Penolong Pengurus kanan Bahagian Pelancongan Lada, Putra Helmi Elias memberitahu, kebanyakan mereka yang membeli selipar itu ialah pengunjung ke pulau peranginan ini.
Memandangkan permintaan yang begitu tinggi bagi selipar jenis ini, tidak hairanlah ia boleh didapati terutama di kedai yang biasa dikunjungi pelancong.
Bukan setakat kedai selipar sahaja, malah kedai tekstil dan pasar raya turut menjual selipar ini.
Seorang pembantu kedai yang dikenali sebagai Lina mengakui memang benar selipar itu bukan sahaja digemari pengunjung tetapi juga penduduk tempatan.
Bila ditanya berapa pasang selipar boleh dijual dalam sehari, dia menjawab: “Saya tak pasti kerana kami bekerja ikut syif tetapi semasa syif saya pada sebelah malam, kami boleh menjual antara 20 hingga 30 pasang.”

KAJIAN USM bagi mengetahui bilangan pelancong di Langkawi.
Menurut Lina, selipar getah cukup selesa dipakai ketika berjalan di pantai yang berpasir seperti yang terdapat di Langkawi.
Tambahan, katanya, memandangkan pulau itu dikelilingi laut, waktu siang boleh menjadi begitu panas dan memakai selipar boleh menyejukkan tapak kaki.
Bagi pelancong, selipar itu juga boleh dijadikan sebagai cenderamata untuk dibawa pulang dan semestinya menjadi kenangan sempena lawatan ke pulau Lagenda Mashuri ini.
Paling laris
Di sebuah kedai di Beras Bakar, Padang Matsirat, pengunjung masih dapat melihat kesan padi terbakar sebelum berlaku serangan oleh penceroboh Siam. Di situ juga selipar berwarna-warni dijual di kedai-kedai.
Menurut pembantu kedai berkenaan, selipar getah sememangnya senarai barangan laris.
Katanya, pengunjung juga tidak melepaskan peluang membeli rantai kunci selipar mini.
Antara tujuan Lada mendapatkan khidmat USM menjalankan kajian itu adalah untuk melihat dari semasa ke semasa, apa yang menambat hati pelancong untuk datang ke pulau peranginan tersebut.
Putra Helmi memberitahu, ia juga untuk mengkaji bilangan pelancong ke Langkawi sama ada dapat ditingkatkan ataupun setidak-tidaknya dikekalkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: