Saturday, November 8, 2014

‘Saya bukan pencuri, pemabuk


Seorang individu yang menggunakan nama @itsmarianaa menulis komen di laman sosial Instagram milik adik Aliff Aziz, Aishah. Dia mendakwa melihat Aliff dimasukkan ke hospital pada 25 Oktober lalu akibat pengambilan alkohol yang berlebihan.


Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, itulah pepatah yang sesuai untuk menggambarkan keadaan terkini penyanyi dan pelakon yang berasal dari Singapura, Aliff Aziz.
Bermula dengan isu didakwa lari dari set penggambaran sebuah drama sehinggalah kes mencuri telefon dan pengambilan alkohol yang berlebihan, kontroversi yang menimpa jejaka tinggi lampai itu bertali arus. Dikecam, dikritik dan dilabel sebagai bermasalah, pelantun lagu Sayang-Sayang itu bagaimanapun cekal meneruskan kariernya sebagai anak seni.
Di sebalik rimbunan sensasi membakar namanya, Aliff kini dalam proses akhir untuk melancarkan album terbaharunya yang berjudul Rebirth.
Bertemu dengan Aliff pada sesi pradengar album terbaharunya itu di pejabat Sony Music Sdn. Bhd. di Solaris Dutamas, Kosmo! cuba merungkai secara terperinci permasalahan yang dilalui oleh jejaka berusia 23 tahun itu.
KOSMO!: Baru-baru ini industri hiburan tanah air dikejutkan dengan pelbagai isu yang menjatuhkan nama Aliff. Salah satu daripada isu itu adalah lari daripada set penggambaran sehingga menyusahkan banyak pihak. Boleh anda ulaskan sedikit mengenai isu tersebut.
ALIFF: Berhubung isu itu, sebenarnya saya tidak pernah lari daripada sesiapa. Saya tahu tanggungjawab saya sebagai seorang pelakon. Saya mengakui pernah gagal untuk hadir ketika penggambaran sebuah drama sehingga menyusahkan semua orang. Namun, tuduhan lari daripada set penggambaran ialah tidak benar. Sebenarnya, saya sakit ketika itu. Saya rasa tidak sihat kerana terlalu banyak bebanan kerja. Saya berhadapan dengan dua komitmen serentak pada satu masa iaitu persediaan album dan berlakon. Mungkin apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya. Ia banyak menyedarkan saya supaya tidak terlalu mengambil terlampau banyak kerja dalam satu-satu masa. Saya juga ingin memohon maaf kepada semua kru yang terlibat dalam penggambaran drama tersebut.
Benarkah anda dikatakan lari ke Singapura kerana mempunyai hutang dengan pihak tertentu sehingga menjejaskan jadual penggambaran drama tersebut?
Saya tidak pernah berhutang. Tuduhan bahawa saya lari daripada hutang adalah tidak benar dan hanya salah faham semata-mata. Sebelum ini, pihak pengurusan pernah memaklumkan kepada saya dan meminta untuk menjelaskan beberapa tunggakan bayaran bil yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Saya hanya perlu selesaikan bayaran bil, bukannya hutang seperti yang didakwa. Saya bukan seperti itu.
Beralih kepada isu seterusnya. Benarkah anda mencuri dua buah telefon iaitu telefon jenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza sekitar tiga bulan lalu ketika berada di Singapura?
Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Saya hanya berada di tempat yang salah dan pada masa yang salah. Saya tidak sangka dua rakan saya memberi kenyataan yang salah sehingga membabitkan saya ke dalam kes tersebut. Kes itu sememangnya tidak masuk akal kerana saya masih mempunyai pendapatan sebagai penyanyi dan pelakon. Jadi, saya mampu untuk membeli barang yang saya mahukan. Saya pun tahu impak buruk tindakan sebegitu memandangkan saya seorang artis.
Anda mengaku bersalah dan membayar denda sebanyak RM5,165. Adakah tindakan tersebut mengiyakan tindakan anda mencuri telefon tersebut?
Setelah dinasihatkan oleh peguam saya di sana (Singapura), mereka menyarankan saya membayar denda kerana tidak mahu memanjangkan kes itu. Jika saya mengaku tidak bersalah dan pilih untuk dibicarakan, mungkin perjalanan kes memakan masa yang panjang sehingga tahun hadapan. Jadi, saya mengambil keputusan untuk membayar denda tersebut sekali gus menutup kes itu. Keputusan tersebut diambil kerana saya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya seni. Saya tidak mahu isu itu menjejaskan karier saya.
Baru-baru ini, seorang individu telah memberi komen dalam laman sosial Instagram milik adik perempuan anda iaitu Aisyah. Individu tersebut mendakwa telah ternampak anda dimasukkan ke hospital di Singapura kerana mabuk pada 23 Oktober lalu. Bagaimanapun, komen berkenaan telah pun dipadamkan. Benarkah dakwaan tersebut?
Saya mengaku ada dimasukkan ke hospital cuma lupa tarikhnya bila. Tetapi saya bukan mabuk. Perkara itu berlalu apabila saya tidak sedarkan diri di rumah dan terpaksa dibawa ke hospital menggunakan ambulan, sebenarnya, saya ada masalah sukar membuang air kecil dan mengambil beberapa ubat yang diberikan doktor. Namun begitu, ubat berkenaan tidak sesuai dengan tubuh saya. Itu yang menyebabkan saya pitam.
Adakah anda sedar bahawa semua isu berkenaan mencalarkan imej anda sebagai seorang penyanyi dan selebriti popular?
Saya sedar isu-isu itu memberi impak negatif terhadap karier seni. Saya turut berasa kasihan melihat nasib keluarga yang turut menerima tempias ekoran daripada semua kontroversi itu. Kontroversi juga membuatkan saya tidak mahu mengendahkan laman sosial buat seketika. Bukan saya mahu lari daripada masalah, tetapi tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
Bercakap mengenai album terbaharu anda berjudul Rebirth, bolehkah anda ceritakan mengenai kandungannya?
Alhamdulillah, jika tidak ada aral melintang saya akan melancarkan album terbaharu yang saya berjudul Rebirth menjelang awal Januari 2014. Kalau diikutkan, album ini sepatutnya dilancarkan pada tahun 2014, namun, terpaksa ditangguhkan disebabkan beberapa masalah peribadi yang menimpa saya.
Genre lagu-lagu yang terdapat di dalam album itu juga jauh berbeza berbanding sebelum ini. Ia cenderung ke arah pop dan balada berbanding konsep muzik rancak yang sinonim dengan anda. Boleh anda ulaskan?
Saya hanya mahu bereksperimen dengan genre muzik yang pelbagai seiring dengan peningkatan usia. Saya tidak mahu lekat dengan hanya satu genre muzik. Saya juga mahu variasi kemampuan vokal saya seiring dengan kehendak pasaran. Setakat ini, saya merasakan album Rebirth merupakan album terbaik yang pernah saya hasilkan sepanjang enam tahun dalam bidang muzik. Album ini mempunyai sembilan buah lagu dan kebanyakannya lagu dan liriknya hasil sentuhan Faizal Tahir dan Awi Rafael. Saya percayakan bakat mereka dalam penulisan lirik dan lagu. Tambahan pula, saya juga amat meminati Faizal Tahir dan karya yang dihasilkan olehnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: