Friday, November 7, 2014

Pencetus Ummah kembali!


  • Barisan Pencetus Ummah musim kedua ini bermula pada Khamis, 13 November bersiaran langsung pada jam 9 malam menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD.Barisan Pencetus Ummah musim kedua ini bermula pada Khamis, 13 November bersiaran langsung pada jam 9 malam menerusi saluran Astro Oasis dan Maya HD.

ADALAH perkara biasa sekiranya program-program hiburan popular seperti Maharaja Lawak, Akademi Fantasia dan Kilauan Emas mendapat rating tertinggi setiap kali bersiaran.

Tetapi, jangan tidak tahu, Pencetus Ummah (PU) juga berjaya meraih kedudukan yang tinggi sekali gus membuktikan program realiti dakwah Islam itu mampu mencetuskan fenomena tersendiri sehingga menarik perhatian jutaan penonton.

Atas kesedaran itu, Astro  meneruskan lagi program pencarian pendakwah kreatif musim kedua ini mulai Khamis, 13 November yang akan disiarkan secara langsung pada jam 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (106) serta tayangan serentak di Maya HD (135).

Pengurus Saluran Astro Oasis, Namanzee  Harris berkata,  PU2  menerapkan pendekatan Seru Dengan Hikmah agar setiap peserta segera mempersiapkan diri untuk terus menilai diri,  memantapkan akhlak dan menguatkan diri sebagai seorang pendakwah.

"Tugas pendakwah adalah untuk menyampaikan kebenaran  Islam  dengan cara  yang  paling  sesuai mengikut keadaan masyarakat  agar  boleh diterima dengan penuh kesedaran," katanya pada majlis memperkenalkan 10 peserta PU2  di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai  PU2, Namanzee memberitahu PU2 membawa kelainan tersendiri terutama dari segi pesertanya.

"Ada di antara peserta PU2 adalah bekas mat rempit. Kami tahu setiap individu ada latar belakang yang pelbagai sama ada positif atau negatif.

"Namun, peluang kedua untuk berubah ke arah kebaikan itu tetap ada dan sebagai program yang berbentuk dakwah, pastinya kami ingin memberi ruang kepada mereka untuk berdakwah," katanya yang enggan berkongsi siapakah peserta PU2 terbabit.
Katanya, kisah lalu itu seharusnya dijadikan pengajaran yang bermakna.

PU2 disertai oleh Mohamad Azraie Mohamad Yunus dari Kedah; Amir Shahrizal Md Sharif (Kedah); Azihal Bangsawan (Sabah); Mohd Lokman Ahmad (Pahang); Mohd Yusof Arbain (Pahang); Mohd Nasri  Abd Manap (Kedah); Suhaimi Mohd Yunus (Perak); Johani Ibrahim (Johor); Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli (Kelantan) dan Azman Syah Alias (Kuala Lumpur).


Ambil peluang

Namanzee berkata, PU2 turut menampilkan Ustaz Haslin Baharim, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman dan Fauziah Nawi sebagai Murabbi atau fasilitator.
Menurutnya, 10 peserta ini amat bertuah kerana mendapat barisan tenaga pengajar yang berpengalaman sekali gus akan membantu mereka mencapai misi ini.

"Kami berharap setiap peserta dapat mengambil peluang ini untuk mencedok segala ilmu sebagai bekalan di masa depan.
"Ini kerana PU bukan hanya sebuah program televisyen semata-mata, tetapi sebuah program yang melahirkan pendakwah, yang kelak akan kembali ke pangkuan masyarakat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: