Monday, November 17, 2014

Kreativiti pelajar wajar diiktiraf


PARA pelajar dan guru SMK Datuk Ahmad Razali menunjukkan hasil eksperimen enzim sampah pada pameran YV4C di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“KITA meminjam alam ini daripada generasi akan datang dan ia bukan hak kita,” kata Masyitah Khairudin, 16, memetik kata-kata pemimpin terulung India, mendiang Mahatma Gandhi.
Masyitah menyampaikan kata-kata itu ketika ditanya mengenai kepentingan masyarakat dalam menjaga alam sekitar, sekali gus memastikan kelangsungan alam demi generasi pada masa akan datang.
Katanya, manusia perlu sedar bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan perlu memainkan peranan agar persekitaran dan hidupan semula jadi tidak dimusnahkan.
“Sekarang ini, wujud manusia yang tidak sensitif dengan kelangsungan kehidupan alam walaupun mereka sedar fungsi kewujudan alam semula jadi ini.
“Sedih apabila saya memikirkan semakin banyak pokok ditebang, bukit ditarah dan pembakaran secara terbuka hingga menyebabkan masalah udara seperti jerebu. Kami mewakili generasi muda perlu kembali memperjuangkan alam sebelum ia terlambat nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Masyitah merupakan ketua kumpulan kepada 20 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, Cheras, Selangor yang mempersembahkan penanaman sayur-sayuran secara organik.
Pelajar tingkatan 4 Bestari itu berkata, penanaman secara organik ialah kaedah tanaman bebas racun dan kimia demi menjaga nilai pH tanah serta hidupan serangga yang membantu menyuburkan tanaman.
“Racun serangga yang kami gunakan adalah adunan daun pandan dan air. Sepanjang enam bulan lalu, ia disembur pada sayur untuk menghalau serangga perosak.
“Sayur yang rosak pula tidak dibuang sebaliknya sisa kebun itu dicampur dengan tanah dan dibiarkan mengering sebelum dijadikan baja,” katanya sambil menunjukkan sayur terung, bayam dan cili yang ditanam di kawasan tanah terbiar di sekolahnya.
Program dan pameran yang dikenali dengan singkatan YV4C itu merujuk kepada Young Voices for Conservation dianjurkan oleh pertubuhan Treat Every Environment Special (TrEES) itu merupakan inisiatif untuk menggalakkan golongan pelajar mencintai alam sekitar.
Ia mendapat kelulusan dan sokongan Kementerian Pelajaran dan Affin Bank Berhad (Affinbank).
Sebanyak enam buah sekolah terpilih untuk menyertai pameran tersebut iaitu SMK Engku Husain, SMK King George V, SMK Wangsa Melawati, SMK Datuk Ahmad Razali, SMK Cheras Jaya dan SMK Bandar Baru Sungai Buloh.
Hasil eksperimen kesemua sekolah itu berkaitan kaedah menjaga dan memulihara alam sekitar dipamerkan di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya Bangsar, Kuala Lumpur.

HASIL tanaman secara organik yang diusahakan kumpulan SMK Cheras Jaya, Selangor.


Cecair komposit pelbagai guna dari pasukan SMK Datuk Ahmad Razali, Ampang, Selangor mencuri perhatian pengunjung kerana dihasilkan melalui sisa komposit yang mudah diperoleh.
Menghasilkan enzim sampah (GET) bertujuan mengurangkan pembuangan sisa organik dan penggunaan kimia yang membebaskan gas metana menyumbang kepada pemanasan global.
Kandungan GET terhasil melalui campuran gula perang, sisa organik dan air dengan kiraan skala 1:3:10 direndam selama beberapa bulan.
Bahan organik
“Bahan organik yang digunakan ialah sayur-sayuran dan buah-buahan. Sayuran pula perlu segar dan buah citrus digunakan untuk menghasilkan bau yang wangi,” kata ketua kumpulan sekolah itu, Muhammad Khairulnizam Madani, 16.
Katanya, GET juga boleh dijadikan sebagai baja dengan mencampurkan bahan tersebut bersama baja terpilih. Lebih lama GET direndam, ia akan menghasilkan kesan yang lebih optimum ketika digunakan.
Ujarnya, proses saringan dan tapisan antara faktor yang sering dititikberat olehnya bersama 20 ahli yang lain.
Dalam pada itu, Pengetua SMK Datuk Ahmad Razali, Siti Zaharah Kadir menganggap program itu sebagai kaedah pembelajaran luar dari kelas yang sangat berkesan.
“Konsep pembelajaran hari ini menuntut murid bijak dari sudut teori dan teknikal. Program ini merupakan sebahagian daripada kaedah pembelajaran luar daripada bilik darjah.
“Sudah tentu kami memberi galakan kepada pelajar untuk melakukan aktiviti luar dari bilik darjah termasuk dalam usaha memulihara alam sekitar,” katanya ringkas.
Katanya, dia bersama pasukan guru yang lain sering turun padang untuk menyaksikan sendiri gerak kerja kumpulan itu.
Mengulas mengenai program itu, Siti Zaharah berkata, ia wajar diteruskan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: