![]()
ENAM pelakon AADC berkumpul dan kembali terbabit di dalam naskhah tersebut yang diterbitkan dalam bentuk drama mini #alumniAADC yang kini menjadi viral di internet . Dari kiri: Titi Kamal, Dian Sastrowardoyo, Adinia Wirasti, Ladya Cherill, Sissy Priscillia dan Nicholas Saputra.
|
Dua belas tahun adalah satu tempoh waktu yang cukup panjang. Pelbagai peristiwa dan perubahan boleh berlaku. Apa lagi jika ia berkaitan soal hati, kerana hati manusia senang berubah.
Namun, barangkali tidak untuk satu naskhah ini. Dua belas tahun berlalu, filem Ada Apa D\engan Cinta? (AADC) masih menjadi naskhah cinta paling agung dan berbekas kemas bagi kebanyakan khalayak yang membesar dalam era tersebut, sekali gus terhanyut jauh dengan visual-visual dan dialog cinta di dalam karya arahan sutradara Rudi Soedjarwo itu.
Dua karakter yang cukup ikonik, Rangga dan Cinta selalu menjadi mimpi buat anak-anak sekolah atau remaja yang meletakkan sosok diri mereka sebagai dua karakter tersebut. Nicholas Saputra sebagai Rangga membawa karakter itu luar biasa hebat dengan penuh misteri. Dian Sastrowardoyo pula sebagai Cinta cemerlang sebagai anak gadis remaja yang bijak, cantik dan terbuai keliru saat pertama kali jatuh cinta.
Maka tidak hairanlah apabila AADC yang filemnya ‘dimatikan’ tergantung dengan pemergian Rangga ke luar negara di Lapangan Terbang Soekarno Hatta meninggalkan Cinta di Jakarta, Indonesia disambung dengan hanya durasi 10 minit, ia telah kembali menyaksikan badai keterujaan penggemar tegar filem ini menjadi begitu penasaran.
Ironi, AADC 2014 dihasilkan untuk mempromosi sebuah aplikasi chat sosial Line kepada pengguna di Indonesia. Iklan yang dipanggil sebagai #alumniAADC itu hanya menelan durasi 10 minit dikemas dengan sinematografi yang cantik.
Namun, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan. Dalam tempoh kurang 24 jam selepas ia dilancarkan pada 7 Oktober lalu, #alumniAADC telah disaksikan oleh lebih satu juta pelayar di YouTube dengan lebih 2,000 komen positif yang ditinggalkan terhadap pembikinan kesinambungan filem tersebut.
Majoriti meninggalkan komen yang mengatakan nostalgia mereka akan kisah Rangga dan Cinta kembali tercuit. Melihat bagaimana Nicholas masih mampu mencairkan hati wanita dan Dian masih begitu menjadi dambaan, timbul kerinduan yang sangat tinggi terhadap versi asal AADC yang ditayangkan kepada umum pada 8 Februari 2002 itu. Malah, ada yang meminta AADC segera disambung dalam bentuk sekuel filem panjang.
Mengakui drama mini itu telah berjaya mencetuskan semula keghairahan khalayak terhadap filem tersebut, pemilik rumah produksi Miles Film dan penerbit AADC, Mira Lesmana memberitahu, pada dasarnya beliau sudah lama memikirkan untuk menggarap sekuel AADC selepas mendapat permintaan yang tinggi daripada pelbagai pihak untuk menyambung kisah cinta Rangga dan Cinta.
Namun, itu bukan bererti selepas 12 tahun dan selepas kemunculan #alumniAADC ini khalayak akan dapat menonton sekuel filem tersebut dalam kadar segera.
“Ya, sejujurnya saya sudah lama mendapat permintaan dan memikirkan untuk menyambung sekuel filem ini. Namun saya tidak mengatakan bahawa saya akan menggarap sebuah sekuel berdasarkan sambutan luar biasa terhadap drama mini tersebut. Bagaimanapun, besar harapan saya dengan tayangan #alumniAADC ia mampu mengisi permintaan khalayak terhadap sambungan kisah cinta mereka,” katanya sewaktu dihubungi Kosmo!, menerusi pesanan WatsApp awal minggu ini.
Mira kemudian menjelaskan bahawa beliau sebenarnya telah tersilap tebakan tentang menggarap iklan drama mini tersebut. Jangkaannya, ia tidak akan begitu membekas di jiwa, namun ternyata semua peminat kini kembali ‘gila’ dengan filem tersebut.
Katanya yang bakal muncul dengan filem Pendekar Tongkat Emas: “Saya telah tersilap tebakan tentang penerimaan khalayak terhadap drama mini ini. Sambutannya terlalu luar biasa dan saya kini mendapat permintaan tentang sekuel ini dengan lebih hebat sekarang!”
Sementara itu, Nicholas yang juga dihubungi menerusi WatsApp memberitahu, dia bersetuju dengan lamaran Line kerana melihat jenama tersebut sesuai dan relevan dengan sasaran khalayak mereka.
“Secara umumnya, Line Indonesia mahu mempromosikan aplikasi chat sosial mereka dengan satu elemen baharu yang dikenali sebagai Find Alumni. Jadi apabila pihak syarikat tersebut mengajak kami bergabung, kami bersetuju kerana melihat ia cocok dengan status Ada Apa Dengan Cinta? (AADC). Ya, kerana temanya sama, AADC dan alumni, yang kemudian menggerakkan kerjasama ini terjalin,” ujar Nicholas.
Menjalani penggambaran selama dua hari di Seoul, Korea Selatan, Nicholas turut menjelaskan, jalan cerita dan konsep drama mini tersebut merupakan garapan idea bersama serta dimantapkan lagi oleh pihak Line.
“Kami kerjakan ia bersama, dari segi dialog dan skrip supaya ia dapat dihasilkan dengan baik dan sempurna dalam durasi yang singkat,” katanya yang tercalon dalam kategori Aktor Terbaik menerusi karakter Rangga di dalam Festival Filem Indonesia 2004.
Ditanya adakah dia bersedia sekiranya AADC akan digarap dalam bentuk filem sekuel penuh, Nicholas hanya memberitahu, dia perlu menelaah skripnya terlebih dahulu dan ia bergantung kepada kehendak pengarah iaitu Mira.
![]() |
POSTER filem Ada Apa Dengan Cinta? yang diterbitkan pada Februari 2002.
|
Sementelah aktor berusia 30 tahun itu kini teruja melakukan promosi dan menanti tayangan filem lakonannya yang diadaptasi daripada komik popular, Pendekar Tongkat Emas di bawah produksi Miles Film bulan hadapan.
Diusik dengan soalan adakah khalayak perlu menunggu sehingga 12 tahun lagi untuk menyaksikan penyudah cinta Rangga dan Cinta, Nicholas menjawab: “Secara jujurnya, saya tidak mempunyai jawapan untuk soalan tersebut.”
Menerusi temu bual kiriman e-mel, Dian pula mengaku teruja kerana telah kembali dapat bekerjasama dengan teman-teman pemain asal filem tersebut.
Bercerita mengenai pembikinan drama mini tersebut, kata Dian mereka telah diberi kebebasan oleh pihak Line untuk duduk bersama memberi idea bagi menjayakan drama mini yang hanya berdurasi 10 minit itu.
“Walaupun ia merupakan idea asal daripada pihak Line, mereka memberikan kami ruang daripada sisi kreatif dan boleh memberi usulan-usulan yang diperlukan dalam cerita ini.
“Misalnya, saya dan Nico bersama-sama dengan Galuh (ketua produksi dari Line), duduk bersama membicarakan dialog yang cocok untuk dipakai oleh Rangga dan Cinta. Kami juga bersama-sama membuat puisinya.
“Pelakon lain juga memberi idea tentang pekerjaan mereka selepas 12 tahun. Karakter Alya yang dibawa oleh Ladya awalnya diusul pihak Line sebagai seorang barista (pembancuh kopi), namun Ladya memberi idea lebih bagus sebagai seorang pengusaha kedai bunga, kerana lebih sesuai dengan karakter Alya dan pelakon lain,” ujar Dian yang juga memberitahu busana yang digayakan mereka di dalam drama mini tersebut juga merupakan pilihan mereka.
Ditanya perkara yang paling hangat untuk dilupakan selepas alumni tersebut, ibu kepada dua orang anak itu mengaku rasa rindu untuk bermain semula di dalam satu naskhah begitu membekas.
Mengaku tidak pernah terfikir mereka akan kembali bersama selepas 12 tahun untuk menghidupkan semula naskhah ‘berhantu’ itu, Dian yang sering berkumpul dengan rakan-rakan pelakon filem itu menyampaikan keinginannya untuk menjadikan #AlumniAADC dibikin dalam bentuk sekuel filem panjang.
“Kalau boleh saya ingin sekali berkumpul untuk menggarap filem ini dalam versi sebenar. Namun setakat hari ini, ia memang belum dibahaskan secara serius.
“Tapi siapa tahu, suatu hari nanti ia (sekuel) akan menjadi kenyataan bukan?,” katanya.
Realiti kehidupan
#AlumniAADC meneruskan kisah dari dua anak manusia (Rangga dan Cinta) 12 tahun kemudian selepas Rangga terbang melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dan Dian pula menyambung kehidupan di Jakarta.
Ia dimulakan dengan Rangga kini sudah bekerja sebagai wartawan di New York, Amerika Syarikat dan Cinta bekerja dengan sebuah majalah di Indonesia.
Tidak ketinggalan, selain mereka berdua, para sahabat lama iaitu Alya (Ladya Cherill), Carmen yang dimainkan Adinia Wirasti, Titi Kamal sebagai Maura dan Milly (Sissy Priscillia), semua telah beranjak dewasa dan meneruskan kehidupan.
Rangga yang ditugaskan pulang ke Indonesia tiba-tiba teringat akan kisahnya bersama Cinta. Menggunakan aplikasi Find Alumni, dia memasukkan nama sekolah menengahnya dan mendapati nama Cinta turut berada di dalam senarai.
Berperang dengan keinginan dan ego, Rangga akhirnya menghubungi Cinta dengan pesan pertama yang serba canggung: “Cinta?”
Bermula dengan satu pesanan itulah, drama mini ini lantas bergulir. Khalayak yang pernah menonton AADC akan mendapatkan suasana yang akrab, lebih-lebih lagi dengan babak kilasan-kilasan masa lalu yang diambil dari adegan filem tersebut yang tetap mengingatkan para penonton mengenai pesona dari filem hebat itu.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: