Thursday, November 13, 2014

Jenama kopi Jepun tetap digemari



Sekiguchi mempertahankan Cafe de L’Ambre miliknya biarpun terdapat saingan daripada produk kopi komersial.


DI SEBALIK kesibukan orang lalu-lalang, anak-anak muda di Tokyo, Jepun lebih tertarik untuk bersantai di Starbucks di jalan Shibuya.
Syarikat kopi dari Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan perancangan untuk membeli saham sebanyak RM3 bilion, sekali gus mengambil alih sepenuhnya operasi Starbucks yang merupakan pasaran kedua terbesar jenama itu di Jepun.
Bagaimanapun, tidak semua orang menggemari rasa kopi yang turut menawarkan perkhidmatan sambungan internet secara percuma di lebih 1,000 cawangan di seluruh Jepun itu.
“Cara mereka membuat kopi tidak betul. Ia langsung tidak mempunyai rasa,” keluh Ichiro Sekiguchi, pemilik sebuah kedai kopi, Cafe de L’Ambre yang sudah beroperasi lebih 100 tahun di Tokyo.
Meskipun menggunakan dekorasi kayu dan lampu samar-samar, kedai yang menyediakan minuman berasaskan kopi itu sentiasa dipenuhi para pengunjung yang datang untuk merasai sendiri segelas air tersebut dengan harga 700 yen (RM20) yang dikatakan sebagai kopi terbaik di Jepun.
Rasa kopinya sangat kuat dan pengunjung menganggap harga yang dibayar sangat berbaloi serta jauh lebih baik daripada jenama Starbucks.
Seperti kebanyakan kedai kopi lain, Cafe de L’Ambre mempunyai penggemar tersendiri termasuk ahli politik, Antonio Inoki. Kedai kopi tersebut terletak berhampiran dengan Cafe Paulista iaitu sebuah kedai kopi kegemaran John Lennon dan Yoko Ono.
Kopi panggang
Pengunjung yang datang berpendapat, keistimewaan kopi di Cafe L’Ambre’ terletak pada rasa kopi yang dipanggang sendiri oleh Sekiguchi dan pekerjanya setiap hari. Ia menjadi tradisi dalam pembuatan minuman itu sejak lima tahun dahulu.
Sekiguchi membuka kedai kopi itu pada tahun 1948 selepas kedatangan askar-askar AS yang memperkenalkan minuman tersebut di negara yang menjadikan teh hijau sebagai amalan harian.
Jepun merupakan pelanggan kopi keempat terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, Brazil dan Jerman dengan jumlah minuman sebanyak 446,392 tan kopi pada tahun 2013.
Salah satu penyumbang kepada statistik tersebut adalah menerusi minuman kopi dalam tin menggunakan mesin layan diri yang terdapat di seluruh negara itu.
Konsep yang menjadi kegemaran penduduk Jepun itu turut dijual secara meluas di kedai serbaneka manakala kedai rantaian seperti 7-Eleven dan Lawsons berdepan cabaran menjual kopi segera dengan tawaran harga jauh lebih rendah iaitu 100 yen (RM2.80)
“Ramai yang menggemari kopi tetapi mereka menikmati rasa yang teruk,” ujar Sekiguchi yang memberitahu hanya terdapat lima kedai kopi yang menyediakan minuman itu dengan baik di Jepun termasuk jenamanya.

KOPI yang dihasilkan di Cafe de L’Ambr menggunakan resipi tradisional yang diwarisi sejak 100 tahun lalu.


Merokok
Larangan merokok di Starbucks antara penyumbang utama peminum kopi senior masih kekal memilih kedai-kedai lama seperti Cafe L’Ambre.
“Jepun masih jauh ketinggalan dalam polisi antimerokok terutamanya dalam menentang perokok kedua,” ujar doktor dan pakar rokok di University of Occupational and Environmental Health, Kitakyushu, Hiroshi Yamato.
“Ramai perokok bebas menghembus asap di kawasan orang awam seperti bangunan pejabat, kedai kopi dan restoran,” tambahnya.
Sekiguchi berkata, larangan merokok di kedai kopi adalah tidak patut kerana pada pendapatnya, seseorang perlu menghisap rokok selepas meminum segelas kopi.
Kepulan asap turut kelihatan di Aroma iaitu sebuah kedai kopi yang terletak di tingkat dua bangunan lama di pasar ikan Tsukiji, Tokyo.
Aroma dibuka 30 tahun lalu di kawasan yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan orang ramai. Ia bersebelahan dengan kedai-kedai kopi tempatan yang kebanyakannya masih mengekalkan ciri-ciri klasik.
Pengunjung kelihatan santai sambil meminum kopi, menghisap rokok dan bersiul mengikut rentak lagu Stand By Me dari corong-corong stereo lama.
“Setiap pengunjung mempunyai gaya peribadi yang tersendiri. Walaupun datang seorang diri, mereka masih boleh berborak dengan pengunjung lain,” ujar pemilik Aroma, Junko Koshiba yang menjalankan perniagaan itu bersama anak perempuannya.
“Keadaan sangat tenang di sini,” kata wanita berusia 63 tahun yang memberikan pisang percuma kepada pengunjung setianya itu.
Walaupun mempunyai rasa yang berbeza dengan Cafe L’Ambre, kedai kopi Koshiba masih mempunyai penggemar dan mampu bertahan meskipun terpaksa bersaing dengan kedatangan jenama luar seperti Starbucks atau kemunculan gerai kopi baharu tempatan antaranya Doutor serta Caffe Veloce.
“Di sini, anda boleh relaks dan bersenang-senang. Berbanding di Starbucks, anak-anak muda sibuk dengan hal masing-masing dan sentiasa memegang gajet mereka,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: