Thursday, November 13, 2014

Dunia glamor anak selebriti



USIA belum menjangkau setahun, namun populariti yang diraih mengalahkan ibu atau bapa yang bergelar selebriti.
Kelahiran anak-anak selebriti disambut dengan liputan media serta dirakam dan disiarkan secara eksklusif di stesen televisyen. Ada juga yang memiliki akaun Instagram sendiri, bahkan, memiliki ratusan ribu pengikut.
Populariti mendadak itu secara tidak langsung membuatkan mereka menjalani kehidupan penuh glamor. Antaranya menghadiri sesi fotografi bersama akhbar serta majalah, mendapat tawaran iklan dan menjadi duta produk bayi.
Itulah fenomena yang dicipta oleh beberapa anak selebriti seperti Aaisyah Dhia Rana (Rozita Che Wan & Zain Saidin), Lara Alana (Scha Al-Yahya & Awal Ashaari), Julia Claire (Betty Banafe), Arrianshah Akid (Tomok) dan Noah Ismail Wong (Yasmin Hani & Sha’arin Razali).
Che Ta tidak kisah anak popular
Tanggal 1 November lalu, pasangan pelakon Rozita dan Zain telah menerima kehadiran puteri sulung mereka yang dinamakan, Aaisyah Dhia Rana.
Sebelum dilahirkan lagi, Aaisyah sudah mencipta sensasi apabila kelahirannya mendapat tajaan sepenuhnya daripada pihak Hosital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.
Sebaik sahaja dilahirkan, populariti Aaisyah mencanak naik apabila gambar comelnya dimuat naik di akaun Instagram Rozita dan Zain.
Menyedari populariti luar biasa yang diterima Aaisyah, Rozita atau mesra disapa Che Ta tidak menganggap itu satu bebanan yang berat.
“Saya tidak kisah dengan perhatian yang diberikan orang ramai kepada anak saya kerana bagi saya itu perkara yang normal. Ibu bapanya seorang selebriti, jadi bukan satu perkara yang pelik apabila Aaisyah juga turut popular,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

BELUM berusia sebulan, Aaisyah sudah menerima beberapa tawaran iklan.


Akui Che Ta, meskipun anaknya belum berusia sebulan, namun, bayi comel itu sudah menerima banyak tawaran sesi fotografi majalah dan iklan. Bukan itu sahaja, pendapatan yang diraih anaknya juga melebihi pendapatannya.
“Sejujurnya, saya tidak kisah untuk anak saya turut melibatkan diri dalam bidang seni pada usia muda kerana Zain juga pernah berlakon iklan ketika kanak-kanak. Sekarang, pendapatan Aaisyah lebih banyak daripada saya.
“Saya bukan menggunakan anak untuk dapatkan wang. Cara itu salah kerana sudah dikira mengeksploitasi anak. Sebaliknya, saya meneliti setiap tawaran terlebih dahulu. Jika sesuai barulah saya terima dan wang itu terus disimpan dalam akaun Aaisyah. Lebih baik dia ada simpanan pada usia yang muda untuk kegunaan pada masa hadapan,” balas Che Ta yang memiliki dua orang anak lelaki hasil perkahwinannya sebelum ini.
Dalam pada itu, wujud kebimbangan di hati Che Ta apabila anaknya menerima pujian yang melambung daripada orang sekeliling.
“Siapa tidak suka orang puji anak sendiri tetapi dalam hati saya wujud perasaan bimbang. Ini kerana tiada manusia yang sempurna.
“Apabila orang memberi komen di Instagram yang anak saya cantik dan sempurna, saya jadi bimbang. Kalau boleh memadai cakap comel sahaja. Saya juga tidak mahu anak saya dibandingkan dengan anak orang lain kerana setiap bayi mempunyai keistimewaan tersendiri,” luah Che Ta yang akan mula bekerja pada awal Januari tahun hadapan.
Julia ditawar duta produk
Jika Che Ta tidak kisah anak popular, begitu juga dengan pelakon dan penyanyi, Betty Banafe atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe.
Melahirkan anak perempuan sulung pada 1 Disember tahun lalu, Betty dan anaknya Julia Claire, 11 bulan, juga tidak terkecuali daripada tempias populariti.
Kehamilan Betty dan kelahiran Julia telah dirakam dalam sebuah program realiti, Baby Boo. Sejak itu, kemunculan Julia dan Betty meraih perhatian.
Terang Betty, dia tidak kisah anaknya menjalani kehidupan penuh glamor dan dikenali peminat namun, suaminya, Bruce Dargus Abdullah tidak menyenangi perhatian yang diterima.
“Sebagai selebriti saya sudah terbiasa dengan perhatian yang diberikan tetapi tidak buat suami kerana dia bukan artis.
“Sebab itu, suami pernah memarahi peminat yang ingin bergambar dengan anak saya ketika kami keluar berjalan. Sekarang, barulah suami faham kerjaya saya dan bersikap lebih terbuka dengan peminat,” ujar Betty.

LARA ALANA bersama ibunya, Scha Al-Yahya. Lara mempunyai lebih 200,000 pengikut di Instagram.


Betty akan membawa anaknya ke mana sahaja dia pergi termasuk ketika bekerja memandangkan Julia masih menyusu badan sepenuhnya.
“Julia anak pertama saya dan suami, jadi kami tidak tahu bagaimana mahu berpisah dengannya walaupun sekejap kerana dia masih menyusu badan.
“Sebab itu, saya membawanya ke mana sahaja saya pergi termasuk ketika bekerja dan ke majlis anugerah. Alhamdulillah, Julia mudah mesra dengan semua orang serta jarang meragam apabila berada di tempat orang ramai,” kata Betty.
Disebabkan kecomelan Julia, sebuah syarikat telah menawarkan Julia sebagai duta dan menggunakan namanya sebagai jenama pakaian kanak-kanak.
“Semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Apa yang diberitahu, mereka suka melihat aksinya dan dalam masa yang sama Julia memberi inspirasi kepada mereka untuk mencipta jenama pakaian itu.
“Walaupun beratnya 12 kilogram, Julia sebenarnya suka bergambar dan sebagai ibu saya hanya mengikut arus sahaja. Saya anggap ini rezeki Julia. Tidak salah untuk anak saya meraih pendapatan sejak kecil,” tutur Betty.
Arrian tiada Instagram
Seorang lagi anak selebriti yang cukup menarik perhatian ialah anak penyanyi dan pelakon Tomok, Arrianshah Akid yang berusia 2 tahun 5 bulan.
Populariti anak Tomok bermula sejak Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, aktif memuat naik gambar anak sulungnya itu dalam akaun Instagram miliknya.
Gambar dan video yang merakam keletah anaknya itu cukup memikat hati peminat sehingga pernah sebuah video Tomok memarahi Arrian menjadi viral di laman sosial.
Sungguhpun begitu, Tomok enggan anaknya menjalani kehidupan seperti selebriti, sebaliknya mahu membesarkan Arrian secara sederhana.
“Prinsip saya, yang bekerja sebagai selebriti ialah saya. Jadi, biarlah saya seorang sahaja yang berada di hadapan kamera bukannya isteri atau anak saya.
“Saya mahu anak saya menjalani kehidupan yang normal dan sederhana. Cukuplah anak saya dikenali di akaun Instagram saya sahaja,” luah Tomok.
Meskipun aktif memuat naik gambar anaknya di Instagram, Tomok tetap menjaga privasi bagi melindungi keselamatan Arrian.
“Selalunya apabila memuat naik gambar, saya tidak akan beritahu lokasi sebenar gambar diambil atau hanya meletak gambar selepas pulang ke rumah. Memang seronok letak gambar anak di laman sosial sebab semua ibu bapa zaman sekarang melakukan hal yang sama.
“Tetapi, saya harus berhati-hati kerana bukan semua orang berniat baik. Sebelum berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, lebih baik saya mengambil langkah berjaga-jaga,” terang Tomok yang mengakui anaknya pernah menerima tawaran iklan.

TOMOK bersama isteri, Siti Rahayu dan anak sulungnya, Arrianshah.


Lara fesyenista
Lara Alana Ahmad Awaluddin, 3 bulan, yang merupakan anak kepada pasangan selebriti Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari mempunyai akaun Instagram sendiri menggunakan nama @lara.alana.
Menariknya, akaun Instagram Lara sudah memiliki 217, 901 pengikut sejak diwujudkan pada 24 Oktober lalu.
Boleh dikatakan, Lara umpama selebriti kecil apabila fesyennya sering menarik perhatian peminat apatah lagi ibu bapanya juga memiliki selera fesyen yang tinggi.
“Lara mempunyai ratusan helai baju sehingga ada yang tidak sempat pakai kerana sudah tidak muat. Ada baju pemberian orang dan ada yang kami beli sendiri.
“Kami tidak kisah berbelanja untuk anak. Asal nampak baju cantik kami terus beli,” kata Awal yang dipetik ketika majlis akikah anaknya pada 24 Oktober lalu.
Noah atasi populariti ibu
Si kecil Noah Ismail Wong yang sudah menginjak usia setahun pada 12 November lalu, merupakan buah hati kepada pasangan selebriti Yasmin Hani Richardson dan Sha’arin Razali Wong.
Sama seperti Lara, Noah juga memiliki akaun Instagram menggunakan nama @noahismailwong. Sejak diwujudkan, akaun tersebut memiliki 47,842 pengikut.
Menurut Hani, ketika ditemui pada majlis pelancaran program Tastemaker baru-baru ini, dia dan suaminya tidak ada masalah apabila Noah dikenali peminat.
“Saya tidak kisah orang kenal Noah. Apabila kami keluar berjalan orang akan tegur Noah bukannya saya dan suami.
“Bagi saya, itu perkara yang normal dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan. Jika Noah diambil oleh orang yang tidak dikenali, orang sekeliling akan tahu kerana mereka turut mengenali siapa ibu bapa Noah yang sebenar,” tutur Hani sambil diakui oleh suaminya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: