MELAKA – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas enam pertuduhan menipu seorang doktor lelaki membabitkan kerugian berjumlah RM75,750 pada Oktober dan November lalu.
Tertuduh Siti Latipah Mohd. Said, 27, dari Telok Mas, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin.
Mengikut pertuduhan, Siti Latipah yang bekerja sebagai jurutera aplikasi komputer sambilan didakwa memperdayakan seorang doktor berusia 26 tahun dengan menggunakan nama Khalisya Najwa sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai sebanyak enam kali yang kesemuanya berjumlah RM75,750.
Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu di tiga lokasi iaitu Pejabat Pos Besar Bukit Baru, Pasar Raya Aeon Ayer Keroh dan Bank Rakyat di Jalan Hang Tuah, di sini antara 7 Oktober hingga 3 November lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Norina menetapkan ikat jamin RM11,400 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 24 Disember ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. Tertuduh membayar wang ikat jamin tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: