|
KALI pertama melancong ke Malaysia, Tagreed Jauhari, 28, membuat perancangan rapi. Sebelum berlepas dari Jeddah, Arab Saudi, dia menempah penginapan selama seminggu di Hotel Arenaa Star, Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.
Seminggu di Malaysia, pelbagai destinasi pelancongan telah dikunjunginya bersama suami dan tiga orang cahaya mata. Ketika ditemui kru Horizon, Tagreed baru pulang daripada bersiar-siar di Genting Highlands.
Baginya, pemilihan penginapan yang selesa merupakan salah satu cara terbaik untuk berehat sebelum meneruskan pengembaraan pada keesokan harinya.
“Tingkat satu Hotel Arenaa Star menjadi kediaman kami sepanjang berada di Malaysia. Apa yang menarik perhatian saya ialah poster dan lukisan yang digantung sepanjang lorong untuk ke bilik kami. Staf hotel memberitahu, ia merupakan poster pelakon terkenal dari Malaysia,” ujarnya yang merujuk kepada poster Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Jelas Tagreed, penggunaan tema filem oleh Hotel Arenaa Star menarik minatnya untuk mengetahui industri perfileman di Malaysia dan seluruh dunia.
Hotel Arenaa Star antara hotel yang menjadi tumpuan pelancong untuk menginap di tengah-tengah ibu kota. Hotel tersebut mengetengahkan sembilan tema industri perfileman terkenal seluruh dunia.
Selain poster, hotel yang dibuka pada Januari tahun lalu itu menggunakan peralatan perfileman klasik seperti kamera, kerusi pengarah dan papan tindih untuk menaikkan mood seperti berada di lokasi penggambaran. Peralatan itu diimport dari Thailand, China dan Eropah.
Sebaik tiba di lobi hotel, tetamu disajikan dengan sebuah poster gergasi, Casablanca iaitu sebuah filem Hollywood romantik yang diterbitkan pada tahun 1942.
Dianggarkan sebanyak 500 poster digantung di dalam hotel 14 tingkat itu merangkumi bangunan pertama dan kedua. Setiap tingkat hotel juga mengetengahkan tema filem yang berbeza.
Lapan kategori bilik penginapan untuk tetamu di setiap tingkat juga menggambarkan elemen-elemen kebudayaan dari negara asal filem tersebut.
Sebagai contoh, tetamu dapat merasai suasana seperti di Hong Kong sekiranya menginap di tingkat enam yang mengetengahkan tema industri perfileman dari negara itu. Tetamu juga pasti terpukau dengan dekorasi hiasan dinding berwarna merah dan perabot.
Bilik
Pengarah Bahagian Jualan dan Pemasaran Hotel Arenaa Star, Lyn Aziz memberitahu, sebanyak 247 bilik dalam lapan pakej penginapan disediakan untuk para tetamu.
Jelasnya, selain pelancong luar negara, hotel tersebut juga menjadi tumpuan agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan mesyuarat selain menginap di situ.
“Agensi pelancongan dari negara-negara Asia Pasifik menjadikan Hotel Arenaa Star sebagai penginapan pilihan untuk pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
“Dianggarkan sebanyak 80 hingga 120 bilik penginapan ditempah oleh pelancong luar negara saban hari.
“Pemilihan tema filem merupakan tarikan utama tetamu untuk menginap di sini. Anggaran harga untuk penginapan dalam pakej itu ialah RM130 hingga RM2,500,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selain penginapan, Hotel Arenaa Star juga menyediakan empat bilik mesyuarat untuk acara rasmi di hotel tersebut. Setiap bilik mesyuarat boleh menempatkan seramai 200 orang dalam satu-satu masa.
Tidak perlu keluar dari hotel, tetamu boleh menikmati makanan di dua restoran utama iaitu Harry’s Bistro yang menyajikan menu autentik dari Malaysia manakala M A Terrace pula hidangan ala Barat.
Kek coklat dan kek lobak merah merupakan antara menu pencuci mulut yang wajib dicuba oleh tetamu sekiranya menjamu selera hidangan makan tengah hari di M A Terrace.
Bagi tetamu yang inginkan penginapan serba mewah, anda boleh menempah bilik Idol Suite di tingkat 11. Bilik yang menempatkan tiga bilik utama itu sesuai untuk tetamu mengadakan acara privasi.
Selain bilik yang luas, ruang tamu Idol Suite menjadi ruang sesuai untuk beristirehat. Dekorasi ruang tamu bilik itu juga masih menggunakan tema filem dengan Marilyn Monroe dijadikan subjek utama di ruangan sofa.
Tingkat tujuh pula menjadi pilihan utama pelanggan Hotel Arenaa Star. Tingkat tersebut menyerlahkan tema filem Bollywood di setiap lorong ke bilik yang dihias berwarna-warni.
Ditempah khas
Tetamu dapat melihat potret pelakon-pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan, Kajol, Amitabh Bachchan dan Aishwarya Rai yang dilakar oleh pelukis dari China sebaik keluar dari pintu lif.
Kebanyakan kelengkapan perfileman, poster dan potret bintang filem itu ditempah khas dari luar negara untuk disesuaikan dengan konsep hotel.
Hotel Arenaa Star merupakan salah sebuah hotel yang dimiliki oleh Arenaa Hotels Group. Syarikat tersebut juga mengendalikan Hotel Arenaa Mountbatten di Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur; Hotel Arenaa De’luxe di Jalan Ujong Pasir, Melaka dan Hotel Butik Arenaa Batik di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan, Pahang.
Sementara itu, seorang lagi tetamu dari Rawang, Selangor, Tina Tangaraju, 24, memberitahu, lokasi Hotel Arenaa Star yang terletak di tengah-tengah ibu kota ternyata memudahkan para tetamu.
Walaupun berasal dari Lembah Klang, Tina menginap di hotel itu bersama adik dan ibunya kerana tertarik dengan tema filem yang ditonjolkan.
“Lokasi hotel terletak berdekatan stesen LRT. Ia memudahkan saya untuk bergerak ke destinasi membeli-belah di ibu kota seperti Bukit Bintang dan Masjid India.
“Kami menginap di bilik Family Star di tingkat lima yang bertemakan filem-filem dari China. Dekorasi setiap kawasan amat meriah dengan warna merah, termasuk di dalam bilik.
“Saya rasa seperti berada di China,” ujar koordinator jualan di salah sebuah syarikat di bandar raya Kuala Lumpur itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: