Wednesday, June 11, 2014

Pengarah Drama Kesal Dihina Kerana Seekor Beruk


Pengarah Shuhaimi Lua (tiga dari kanan) ketika mengarahkan Beruk Tok Ayah.
PETALING JAYA: Bunyinya seperti lucu tetapi itulah hakikatnya apabila seorang pengarah drama ditertawakan dan dihina gara-gara menerima tawaran mengarah sebuah telefilem yang dilakonkan seekor beruk.

Pengarah berkenaan Shuhaimi Lua Abdullah, 39, berkata, dia rasa terhina apabila pihak berkenaan sanggup memperkecilkan bakatnya selepas dia mendapat tawaran mengarahkan telefilem bejudul Beruk Tok Ayah.
“Ada orang mentertawakan bakat saya selepas saya mengambil peluang mengarah drama yang mana beruk adalah ‘pelakon’ utamanya,” jelas Shuhaimi kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

mStar Default Image
Zamarul Hisham dan Intan Ladyana dalam Beruk Tok Ayah.

Drama Beruk Tok Ayah ayah bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama di TV3 pada Sabtu ini pukul 10 malam sempena sambutan Hari Bapa.

Ia membariskan pelakon Zamarul Hisham, Wan Hanafi Su, Syafie Naswip, Intan Ladyana dan Keena (Mentor).

Penggambaran drama ini dilakukan di Kota Bharu, Kelantan manakala skripnya ditulis oleh MF Kencana.

shuhaimi lua
Shuhaimi Lua Abdullah

Jelas Suhaimi, bukan mudah untuk dia mengarahkan sebuah drama yang dilakonkan oleh haiwan yang tidak terlatih seperti seekor beruk kerana ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

Malah katanya, adegan yang dikehendaki dalam skrip iaitu beruk berkenaan perlu mengambil tisu untuk diberikan kepada tuannya yang sedang menangis terpaksa ditiadakan kerana haiwan berkenaan tidak boleh berbuat demikian walaupun telah diajar.

Kata Shuhaimi, dia terpaksa menggunakan kreativiti lain bagi membolehkan watak beruk yang bernama Comel itu benar-benar hidup agar drama berkenaan mencapai sasarannya.

“Kepada sesiapa yang nak ketawakan saya tu, cubalah arahkan drama atau filem melibatkan haiwan. Ia bukan perkara mudah. Jadi, ketawalah pada diri sendiri dahulu,” katanya.

Dalam pada itu Shuhaimi berkata, dia percaya ada pihak yang cemburu dengan peluangnya itu apatahlagi karya berkenaan mendapat slot untuk tayangan pada waktu perdana di TV3.

Beruk Tok Ayah mengisahkan pengorbanan seorang bapa bernama Tok Ayah (lakonan Wan Hanafi Su) yang hidup kesunyian selepas kematian isteri.
Bagi mengubat kesunyiannya, seekor beruk bernama Comel dijadikan peneman dan sumber rezeki untuk memetik buah kelapa.

Tok Ayah dimusuhi oleh anak sendiri iaitu Hisham (Zamarul Hisham) yang mengangap beruk berkenaan membawa sial kerana menjadi punca kematian ibunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: