Friday, June 6, 2014

Penampilan khas Wawa- Aeril


  • Penampilan khas Wawa- Aeril

BERSEMPENA sambutan ulang tahun TV3 yang ke-30 pada Jun ini, saksikan sebuah drama eksklusif, Cerita Cinta Kita yang bersiaran setiap Rabu dan Khamis jam 9 malam mulai 4 Jun.
Lebih istimewa, drama bersiri 22 episod ini merupakan gandingan pertama pasangan suami isteri, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal di skrin TV.

Cerita Cinta Kita terbitan Orangetree Production diarahkan pengarah Azmi Hatta dan hasil nukilan skrip oleh Zarihah Hassan turut membariskan pelakon popular seperti Dazrin Kamarudin, Almy Nadia, Ika Nabila, Erry Putra, Liza Abdullah, Dilla Ahmad, Razak Ahmad, Datuk Eizlan Yusof, Arash Mohd dan Sherlie Merlis.

Drama bersiri yang berlatar-belakangkan tahun 80-an ini, menyingkap sebuah cinta agung antara Adam (Aeril Zafrel) dan Salmah (Wawa Zainal). Semarak cinta mereka bermula ketika Adam berumur 24 tahun, manakala Salmah berusia 19 tahun sehingga ke usia tua walaupun mereka berdua terpaksa mengharungi pelbagai dugaan untuk bersatu.

Keluarga Salmah membantah hubungan cinta mereka kerana perbezaan darjat. Ketika itu, Salmah sedang menuntut di sebuah Maktab Perguruan. Dalam usaha memisahkan Adam dan Salmah, keluarga Salmah telah membawa Salmah pulang dari Teluk Intan, Perak ke Kuala Lumpur. Adam dan Salmah telah menulis surat untuk terus berhubung tetapi sayangnya surat-surat tersebut telah ditahan dan disimpan oleh ibu Salmah, Melati.

Lima tahun berlalu tanpa khabar berita tetapi Adam tetap merindui dan mencintai Salmah. Namun Salmah pula, menganggap Adam telah melupakannya. Dia yang kini bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital telah dijodohkan dengan Dr Khairudin (Dazrin Kamarudin).

Pertemuan semula Adam dan Salmah, telah memberikan harapan kepada Adam. Mereka kembali berhubung tetapi menjaga batas pergaulan. Bagaimanapun Salmah dan Dr Khairudin terlibat dalam kemalangan, sehingga meragut nyawa suaminya.

Salmah pula hilang tempat bergantung. Demi cinta, Adam sanggup berulang alik menjaga Salmah.

Namun kebahagiaan yang dinikmati oleh Adam dan Salmah tidak berpanjangan kerana ingatan Salmah semakin merosot.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan drama bersiri yang mengusik kalbu ini pada setiap hari Rabu dan Khamis jam 9.00 malam mulai 4 Jun 2014.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: