TERPEDAYA. Itulah reaksi yang diterima daripada penonton dan peminat program realiti Kilauan Emas musim keempat (KE-4) apabila program yang sepatutnya berakhir pada malam Rabu lalu dilanjutkan ke minggu hadapan.
Lima orang peserta yang layak ke peringkat akhir iaitu Nordin, Nas, Ben, Zain dan Arip juga tidak menyangka dengan kejutan tersebut.
Selepas mengumumkan Nas memenangi tempat kelima dan Nordin tempat keempat, pengacara program itu, Raja Azura mengumumkan tiga peserta lagi, Ben, Zain dan Arip akan kembali berentap untuk berebut gelaran juara pada minggu hadapan dalam Konsert Mega Final.
Pengumuman itu membuatkan ramai penonton tidak berpuas hati kerana ada yang datang dari jauh semata-mata mahu menonton final KE-4 pada Rabu lalu.
Menurut pengurus saluran Astro Prima, Namanzee Harris yang ditemui usai Konsert Final KE-4, kejutan itu sudah dirancang sejak awal lagi.
“Musim sebelumnya peserta hanya ada 10 orang tetapi musim ini kami mengambil 13 orang. Sebabnya, memang kami sudah merancang untuk mengadakan Konsert Mega Final.
“Pada musim ini, kami mendapat bakat yang amat luar biasa dan program ini menjadi fenomena. Rasanya dengan mengadakan Konsert Mega Final akan menambahkan lagi kehangatan program KE-4,” ujar Namanzee.
Namun, timbul persoalan adakah kejutan itu adil buat Nas dan Nordin sedangkan pihak juri merasakan kedua-dua mereka layak sebagai peserta final.
Ini jawapan mereka berdua.
“Sejujurnya, kalau boleh saya mahu bersama dengan tiga peserta lain yang dapat sekali lagi peluang untuk membuat persembahan.
“Adil atau tidak, saya percaya itu rezeki mereka. Kami sudah diberitahu daripada awal, jika ada sesuatu yang berlaku jangan terkejut cuma perlu reda. Jadi, saya reda sahaja dengan keputusan ini,” beritahu Nas yang memperolehi wang tunai RM10,000.
Meskipun tidak menyangka dengan kejutan itu, tiga peserta yang mara ke peringkat akhir tetap meluahkan rasa syukur kerana mereka dapat lebih masa dan peluang untuk memperbaiki diri.
“Saya terkejut tetapi pada masa yang sama saya bersyukur kerana ada lebih masa untuk berlatih dan memikirkan lagu yang sesuai untuk persembahan final.
“Nama pun program realiti, jadi apa sahaja kejutan yang dilakukan oleh pihak produksi, sebagai peserta saya harus terima dengan lapang dada,” ujar Zain yang juga seorang bekas vokalis kumpulan Arrow.
Bagi sistem pemarkahan di Konsert Mega Final, hanya 30 peratus undian penonton akan dibawa ke minggu hadapan, manakala 70 peratus markah daripada pihak juri diperbaharui semula.
Selain isu kejutan terbaharu itu, Konsert Final KE-4 juga dicemari dengan rusuhan penonton di pintu utama Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kebanyakan mereka berang apabila tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Ada yang memukul poster dan memaki hamun tanda protes. Akhirnya pihak Astro membenarkan mereka masuk walaupun terpaksa berdiri sepanjang konsert.
Kapasiti dewan yang hanya dapat memuatkan 700 penonton itu dirasakan tidak sesuai sebagai lokasi sebuah konsert yang besar. Walaupun begitu, pihak Astro tetap akan mengadakan Konsert Mega Final di lokasi yang sama pada 11 Jun ini.
“Tempat sangat terhad. Kami akan memberi keutamaan kepada kelab peminat peserta. Hanya 200 tempat akan diberikan kepada peminat yang ingin hadir tetapi melalui kuiz di radio dan portal online di bawah Astro.
“Saya harap penonton dapat memberi sokongan dengan menonton dari rumah sahaja,” ujar Namanzee.
Konsert Mega Final KE-4 yang akan berlangsung pada Rabu minggu hadapan menyaksikan tiga peserta akhir, Ben, Zain dan Arip merebut gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 beserta sebuah kereta Toyota Camry.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: