Tuesday, June 3, 2014

'Dengarlah Bintang Hatiku' Buka Ruang De'Meises Ke Malaysia


De' Meises popular dengan lagu Dengarlah Bintang Hatiku.
PETALING JAYA: Kumpulan muzik dari Indonesia iaitu De'Meises tidak menyangka lagu mereka Dengarlah Bintang Hatiku yang  pada tahun 2009 mendapat perhatian di Malaysia biarpun selepas lima tahun ia dilancarkan.

Vokalis utamanya, Iman Lukman Asikin, 25, berkata, pemilihan lagu berkenaan untuk dijadikan lagu tema drama bersiri Ijab dan Qabul di negara ini telah membuka ruang kepada mereka untuk mencipta nama di Malaysia.

"Kami sangat teruja apabila mengetahui lagu berkenaan sangat digemari oleh pendengar biarpun ia telah lama dilancarkan di Indonesia kira-kira lima tahun lalu.

"Impak lagu berkenaan menerusi Ijab dan Qabul sehingga menjuarai carta lagu di radio membuka ruang kepada kami untuk mendekati peminat di Malaysia dalam memperkenalkan muzik yang kami perjuangkan," katanya kepada mStar Online dalam satu sidang video menerusi Skype di pejabat Warner Music Malaysia di sini, Isnin.

Selain Iman, De'Meises turut dianggotai oleh Messias Mochammad Mahdi (gitar), Neno Juliama (bass) dan Moch Riza Lesdiana Mulyana (drum).

Dalam pada itu Iman berkata, mereka berharap dapat menjejakkan kaki ke Malaysia dalam masa terdekat bagi menyatakan penghargaan kepada semua peminat yang menyokong selain ingin mengadakan persembahan pertama di negara ini.

"Kami semua belum pernah datang ke Malaysia dan berharap sangat dapat ke sana untuk bertemu semua peminat kami yang sebelum ini hanya berinteraksi menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram," jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai nama De'Meises, Iman berkata, ia bermaksud butiran coklat dan secara falsafahnya makanan itu disukai semua orang dan berharap tuah itu turut terkena kepada mereka.

Bagaimanapun kata Iman, persahabatan di antara mereka yang terjalin sejak berusia enam tahun membuatkan mereka sentiasa tabah dan bersatu dalam menghadapi segala cabaran untuk berjaya sebagai pemuzik.

"Tidak dinafikan adakalanya kami bertengkar namun pertalian yang sudah terjalin sejak kecil membuatkan kami memahami sikap masing-masing dan paling penting cinta kami terhadap muzik menyatukan kami," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Iman berkata, selain mempromosikan lagu Dengarlah Bintang Hatiku mereka kini sedang sibuk menyiapkan album kedua mereka dan berharap ia akan dipasarkan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: