Friday, June 6, 2014

Cacat tak halang masuk universiti


  • Kecacatan dialami Mohammad Zulkifli tidak menghalangnya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.Kecacatan dialami Mohammad Zulkifli tidak menghalangnya untuk meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

SERI ISKANDAR - Walaupun keadaan diri tidak sempurna namun tidak menjadi halangan kepada seorang mahasiswa untuk memegang segulung ijazah seperti orang lain.

Mohammad Zulkifli Nordin berasal dari Felda Areng, Gua Musang Kelantan antara 2,544 pelajar  yang mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak Kampus Seri Iskandar pada 3 Jun lalu.

Dia yang mengalami kecacatan anggota iaitu dilahirkan tanpa tangan mahu membuktikan kecacatan itu menjadi penghalang untuknya meneruskan pengajian di menara gading dalam bidang Diploma Pengurusan Hartanah.

“Kita sedia maklum masyarakat kebiasaannya menanam kepercayaan insan cacat seperti saya tidak mampu mencapai kejayaan namun saya mahu mengubah persepsi berkenaan,” katanya.

Lebih membanggakan, anak ketujuh daripada lapan beradik itu satu-satunya ahli keluarga yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Jelasnya, dia mahu berusaha bersungguh-sungguh demi memenuhi cita-cita dan harapan keluarganya malahan mahu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Keluarga saya banyak memberikan sokongan dan dorongan agar saya berjaya dalam pelajaran sekali gus memenuhi impian saya untuk menjadi pensyarah.

“Saya juga terharu layanan mesra rakan-rakan dan sikap prihatin UiTM terhadap keperluan saya sebagai insan cacat untuk belajar di situ,” katanya.

Anak peneroka itu juga sedar hanya melalui ilmu sahaja yang dapat menjamin kehidupan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Keistimewaan anak kepada pasangan Nordin Ismail, 52 dan Latifah Isa, 56 ini adalah dia mampu bermain sepak takraw dan bola sepak setanding dengan rakan-rakan lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: