Monday, June 9, 2014

Ajak (Shiro) Kejar Pencuri Sehingga Kereta Rosak

Ajak (kiri) bersama gandingannya dalam kumpulan Shiro, Shahrol.
PETALING JAYA: Kereta Honda Accord yang baru dibeli tiga bulan lalu oleh pelawak Ajak (Shiro) rosak teruk selepas dia menggunakan kenderaan itu untuk mengejar pencuri yang cuba memasuki rumahnya di Kempas, Johor pada pagi Ahad.

Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, 28, berkata, seramai tiga orang pencuri yang membawa lori jenis Isuzu cuba mengambil barangan katering yang disewa dan diletakkan di belakang rumah untuk kegunaan majlis pertunangan adiknya Sabtu lalu.

"Mujurlah ibu saya perasan ada orang di belakang rumah  mengambil barangan katering tersebut dan dia terus menjerit melihat pencuri-pencuri berkenaan.

"Selepas mendengar jeritan ibu, mereka berhenti mencuri dan terus lari. Saya pula terus mendapatkan kereta saya untuk mengejar mereka.

"Bayangkan dari Kempas sampai ke Kulai saya kejar. Sudah macam adegan dalam filem pula. Habis jalan berlubang saya redah sampai rosak kereta  dibuatnya. Walhal baru tiga bulan kereta itu saya beli," katanya kepada mStar Online.
Lori yang ditinggalkan pencuri gara-gara mahu menyelamatkan diri. 
Tambah Ajak, bagaimanapun ketiga-tiga pencuri tersebut meninggalkan lori mereka di tepi jalan dan menyelamatkan diri masing-masing sementara barang yang dicuri masih lagi berada dalam lori berkenaan.

Selepas kejadian tersebut, Ajak telah membuat laporan polis di Balai Polis Kulai dan di Skudai.

Dalam pada itu, pelawak Jep (Sepah) turut berada di tempat kejadian.

"Saya tak sangka Jep pun sanggup turun padang mahu membantu saya. Apa-apapun saya anggap ia sebahagian pengalaman yang tidak akan dilupakan kami sekeluarga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: