Monday, November 18, 2013

Melahirkan penggusti lengan terhebat



KETIKA zaman persekolahan, setiap kali Mohamad Nizar Yusof berlawan gusti lengan pasti perlawanan tersebut menjadi tumpuan rakan-rakannya. Ini berikutan, dia berkemampuan mengatasi lawannya dengan mudah.
Keghairahan lelaki yang berasal dari Kedah itu terhadap aktiviti gusti lengan tidak terhenti di situ sahaja. Selepas tamat sekolah, dia yang kini berusia 29 tahun meneruskan minatnya dengan berkecimpung secara serius dalam arena gusti lengan. Penglibatannya nyata berbaloi apabila sering meraih gelaran johan atau naib johan dalam mana-mana pertandingan yang disertainya.
Pada awal penglibatan, dia hanya berlatih sendiri di rumah dengan menonton klip-klip video dan video kejohanan sukan gusti lengan antarabangsa di YouTube.
"Pada tahun 2004, saya gunakan khidmat jurulatih profesional. Barulah saya sedar, rupa-rupanya sukan ini seperti sukan lain memerlukan tunjuk ajar dan latihan yang sistematik. Ia membuahkan hasil kerana dalam tahun yang sama, saya menang tempat keempat pada pertandingan peringkat kebangsaan," jelas Nizar.
Atas sebab peribadi, Nizar berhenti seketika pada tahun 2004 dan kembali aktif enam tahun kemudian. Hasil ketabahan dan minat yang tidak pernah padam, Nizar berjaya menjadi johan gusti lengan kebangsaan kategori 75 kilogram ke bawah pada tahun 2010.

PEMENANG ketiga-tiga kategori sukan gusti lengan anjuran iSIHAT, dari kiri, Nizar, Valen dan Hairul Nazri Abd Halim.


Pemegang gelaran Mr. Selangor pada tahun 2011, Nizar berkata, kejayaan yang diperoleh adalah hasil berlatih dengan serius dan sistematik.
"Selain itu amalkan diet seperti pengambilan kalsium tinggi untuk tulang. Ia amat penting kerana pemain gusti lengan mudah tercedera dan kecederaan biasa ialah patah tangan. Saya juga membuat latihan kecergasan di gim untuk menguatkan otot tangan dan seluruh tubuh badan," kata Nizar.
Dalam pada itu, Nizar berkata, pembabitan orang ramai di negara ini masih kurang dan kebanyakan yang berjaya disebabkan faktor minat.
Kurang publisiti
"Walaupun banyak pendedahan kepada masyarakat termasuk pertandingan, bilangan yang menyertai sukan ini masih kecil dan biasanya ketika pertandingan para peserta adalah muka-muka yang sama.
"Ia mungkin disebabkan kurang publisiti terhadap pertandingan dan ia bukanlah sukan utama di negara ini. Jika dilihat di negara lain seperti Rusia, Thailand, Ukraine dan Austria, ia satu sukan yang diiktiraf dan banyak pertandingan bertaraf dunia diadakan di sana," kata Nizar.
Dia ditemui pada pertandingan gusti lengan anjuran majalah iSIHAT terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat produk kesihatan, Shaklee di pusat beli-belah Ampang Point, Ampang, Kuala Lumpur. Kira-kira 60 peserta menyertai pertandingan itu.
Pertandingan yang diadakan sebagai salah satu usaha mempromosi gaya hidup sihat kepada orang ramai dibahagikan kepada tiga kategori iaitu A (85.1 kilogram ke atas), B (75.1 hingga 85 kilogram) dan C (bawah 75 kilogram).

PENYOKONG boleh berdiri berdekatan pemain dalam usaha menaikkan semangat mereka.


Dalam pertandingan tersebut, Nizar berjaya memenangi kategori B pertandingan itu dan membawa pulang wang tunai RM300 dan hamper produk kesihatan Shaklee.
Bagi kategori A, dimenangi peserta dari Singapura, Valen Low Wai Luen, 19, sekali gus dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan hamper produk kesihatan Shaklee. Valen mula terbabit dalam sukan tersebut ketika berusia 16 tahun.
Dia berlatih dengan melayari video di internet dan laman web berkaitan sukan gusti lengan. Selain itu, dia pergi ke gim bagi menguatkan otot tangan di samping menyertai banyak pertandingan gusti lengan.
"Dulu, saya selalu menang kategori junior, kini hanya bertumpu kepada kategori dewasa dengan berat tertentu." katanya.
Seperti di Malaysia, Valen berkata, pendedahan terhadap sukan itu di Singapura juga masih kurang. "Saya selalu menyertai pertandingan di Malaysia kerana sukan ini semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dan menerima sokongan baik daripada pemain serta penganjur. Acara pada hari ini, misalnya, mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta dan berjalan dengan lancar," ujarnya.
Valen antara perintis sukan gusti lengan di negaranya berhasrat mengumpul sebanyak mungkin gelaran dan bersaing pada tahap lebih besar sebelum mencapai usia 21 tahun. "Saya yakin, Malaysia dan Singapura boleh menjadi negara kuat dalam sukan gusti lengan seperti di Thailand," jelas Valen.
Juara dunia
Jika Nizar dan Valen merupakan peserta berpengalaman serta menjuarai kategori masing-masing, lain pula ceritanya bagi Muhammad Ali Omar, 24, yang pertama kali menyertai pertandingan seumpama itu.
"Pengalaman mengikut bapa, Omar Surade, 53, menyertai pertandingan gusti lengan membuatkan saya teruja dan seronok melihat aksi-aksi peserta.
"Para penonton yang bersorak menaikkan semangat para pemain untuk menewaskan lawan masing-masing. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menewaskan lawan sekiranya tidak mempunyai latihan dan teknik yang betul. Saya lihat wajah ayah ceria dan puas apabila memenangi perlawanan sekali gus menarik minat saya untuk mengikut jejak langkahnya," kata Ali yang bersaing dalam kategori C. Bagaimanapun, dia tewas kepada lawannya.

CONTOH meja dan peralatan yang digunakan dalam sukan gusti lengan.


Meskipun begitu, dia tetap bersemangat untuk meneruskan minatnya dan berharap bimbingan yang diberikan bapanya akan membentuknya menjadi juara dunia sebelum berusia 28 tahun.
"Bapa mula-mula terlibat dalam bina badan, kemudian dia mengambil sukan gusti lengan sebagai karier sukannya. Sekarang giliran saya bersama-sama bapa," katanya yang memberitahu bapanya banyak memenangi pertandingan kategori veteran.
Penolong Pengarang Majalah iSIHAT, Hamidah Zabidi berkata, sebelum ini pihaknya telah menganjurkan pelbagai program seperti paintball, mencari harta karun dan sukan luncur udara namun penglibatan dalam sukan gusti lengan merupakan julung kali diadakan.
"Kami mempromosikan acara ini di laman sosial Facebook dan mendapat respons yang baik daripada orang ramai yang ingin turut serta termasuk peserta luar negara seperti Singapura.
"Walaupun sukan ini tidak mempunyai ramai pengikut tetapi kami terkejut melihat kehadiran peserta dan penyokong yang ramai di sini.
"Penganjuran sukan gusti lengan ini bagi membolehkan orang ramai menyertai pertandingan dan pada masa sama mereka dapat bersukan dalam suasana yang santai," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: