Friday, November 29, 2013

Bijaksana mengingati kematian


MUHD. KAMIL bersama anak bongsunya, Sofea ketika menunaikan umrah baru-baru ini.


MADINAH dan Mekah sunyi sepi selepas musim haji berakhir. Ia membawa banyak kesan sekurang-kurangnya buat saya sendiri dalam melaksanakan amal ibadat di Masjid Nabawi.
Misalnya, saya amat senang bersolat di saf-saf hadapan tanpa bermasalah. Kesukaan saya untuk solat jenazah bersama imam di dalam bilik jenazah juga amat mudah.
Malah menunaikan umrah nyata mempesonakan. Pertama, harga sewa hotel untuk kami bertiga beranak jatuh merudum. Hotel yang paling hampir dengan Masjidil Haram berharga SR600 (RM514) untuk tiga katil semalam berbanding SR6,000 (RM5,144) hingga SR8,000 (RM6,859) semalam pada musim puncak.
Kedua, tawaf wajib dan sunat hanya dapat diselesaikan dalam tempoh singkat. Lebih kurang 15 minit. Malah amat menarik melihat barisan jemaah lelaki dan wanita dibina bagi mereka yang mahu mengucup Hajar Aswad. Setiap orang berpeluang untuk melakukannya.
Saya mengambil peluang untuk menunaikan ibadat umrah pada minggu lalu. Itulah yang saya peroleh. Allah ya Allah, ia nikmat yang dianugerahkan-Nya yang tidak dapat saya dustakan.
Satu ketetapan
Namun, ada sesuatu berlaku yang menyebabkan saya tersentak dan berfikir. Usai saie saya keletihan. Kemudian, ketika bercukur membotakkan kepala, saya ternampak rambut putih hampir menyamai yang berwarna hitam.
Lalu saya tersedar secara serius betapa uban-uban menghiasi tubuh badan. Saya berfikir betapa tenaga semakin berkurang, minda tidak setajam dulu dengan anak-anak semuanya sudah akil baligh. Ayah, Wan dan Abah juga telah tiada. Mak pula pastinya bakal menyusul. Ia ketetapan yang pasti berlaku.
Lalu, itulah isyarat paling hampir bertaut pada diri sendiri yang perlu diamati. Malah Allah SWT menyebut secara jelas isu tua dan beruban ini melalui ayat 17, surah al-Muzammil bermaksud: "Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia, maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu kalau kamu kufur ingkar (dari azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?"
Tiba-tiba saya teringat kepada soal kematian. Kisah yang semua orang tahu. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana membuat saya berfikir sejenak.
Bayangan syurga menempa minda. Tentu sekali saya mahu ke Firdaus bersama isteri dan anak-anak. Tentunya mata mahu melihat seluruh kaum keluarga dan mereka yang hampir saling mengucap selamat di dalam syurga Firdaus.
Benar, setiap daripada kita insya-Allah, dengan rahmat-Nya akan berada di syurga. Bezanya, kita tidak mahu dahi bertanda akibat mendapat seksaan api neraka yang amat dahsyat azabnya terlebih dahulu.
Maka, saya berterus-terang dengan Allah SWT agar saya melangkah masuk ke sana tanpa dihisab. Saya memohon bersungguh-sungguh supaya terlepas daripada fitnah dunia dan akhirat.
SETIAP yang bernyawa pasti akan merasai kematian kerana dunia adalah sekadar persinggahan. - Gambar hiasan


Saya mahu lena tidur di alam kubur dan hanya dibangkit seolah-olah berada sehari di dalamnya. Bukankah ia pernah berlaku? Terjemahan ayat 19, surah al-Kahfi ada tercatat: "Dan demikianlah pula Aku bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur."
Allah ya Allah, biarlah saya terlepas daripada azab kubur, penantian di Padang Mahsyar dan terhumban ke dalam neraka yang apinya membakar tanpa belas kasihan. Lalu penantian menuju kematian merupakan saat pertama selepas menjalani kehidupan bernyawa di dunia.
Maka tersangat logik dan bijaksana menanti saat-saat tersebut dengan berdoa, berusaha dan berharap agar terpilih memasuki syurga Firdaus di kala masa berbaki yang amat suntuk.
Tua beruban membuat saya cemas. Namun saya tetap menyerah seluruh jiwa raga kepada-Nya kerana percaya dan yakin betapa Dia Maha Pengasih. Malah, saya tidak pernah berasa hampa dan kecewa dengan Allah SWT.
Ingat kematian
Saya risaukan anak-anak yang bakal ditinggalkan. Sara, Azrai, Amirul dan Sofea merupakan kesayangan saya dan Roza. Saya jangkakan kedua-dua kami akan pergi terlebih dahulu. Aturannya begitu.
Situasi beruban akan menemui ajalnya terlebih awal berbanding anak muda. Namun Allah SWT Maha Berkuasa. Ajal maut di tangan-Nya. Walaupun demikian, sekali-sekala mereka yang masih muda meninggalkan kedua-dua ibu bapa terlebih dahulu.
Kerisauan saya bersebab. Pertama, jika mereka sentiasa berfikir yang masa berbaki masih lagi panjang. Saya tidak mahu mereka melalui jalan seiras dengan laluan yang telah saya tempuh.
Kedua, saya melihat bagaimana Nabi Nuh as sendiri tidak mampu membawa isteri dan anak-anak menaiki bahtera bagi membawa mereka ke tempat yang selamat di dunia dan akhirat.
Siapalah saya? Saya hanya insan biasa penuh dengan segala macam kelemahan dan kekurangan diri. Barangkali kisah-kisah lampau menyebabkan saya terkhilaf dalam mendidik mereka.
Mengingati kematian menjadikan kita semakin bijaksana. Biar kita semakin hampir kepada-Nya. Jumpa lagi minggu hadapan.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: