|
MERAIH peluang untuk memegang watak utama dalam sebuah filem yang bertemakan percintaan yang agak berat, pelakon Fezrul Khan merasakan tawaran berlakon dalam filem Aku Pilih Kamu itu tidak harus dilepaskan sama sekali.
Tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan dalam filem berkenaan tetapi Fezrul memberitahu, dia terpaksa berhadapan dengan tekanan pada peringkat awal sewaktu hendak memulakan penggambaran sekitar bulan Mac lalu.
"Mungkin ramai tidak tahu yang saya pernah hampir menolak untuk membintangi filem ini memandangkan isteri saya ketika itu sedang sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk melahirkan cahaya mata sulung kami.
"Ketika itu perasaan saya berbelah bahagi sama ada mahu terima atau tolak kerana mengenangkan isteri di rumah. Selain itu, saya cukup risau sekiranya tidak dapat memberikan sepenuh komitmen kepada produksi," ujarnya ketika memulakan bicara.
Bagaimanapun, dengan sokongan yang diberikan isteri tercinta, akhirnya dia menerima tawaran tersebut dan Eyra Rahman selaku pengarah filem itu pula bersetuju untuk memberi kelonggaran dan memahami situasi yang melanda dirinya saat itu.
|
Menceritakan lebih lanjut tentang pembabitannya dalam filem tersebut, pelakon yang memegang watak Mohd. Alif itu menyatakan, dia terpaksa berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Cameron Highlands memandangkan penggambaran dilakukan di sana.
Mengakui langkah sedemikian membuatkan dirinya berasa penat dan boleh menjejaskan tumpuan lakonannya, dia menganggap bahawa ia merupakan satu pengorbanan yang cukup besar sepanjang bergelar pelakon.
"Saya mula terbabit dalam penggambaran sejak hari pertama lagi di Cameron Highlands. Sebaik sahaja selesai saya terus pulang ke Kuala Lumpur dan sudah ditakdirkan isteri saya bersalin pada keesokan harinya.
"Kemudian saya sempat meluangkan masa bersama anak dan isteri selama sehari sahaja sebelum pergi semula ke Cameron Highlands untuk menyambung penggambaran sehingga selesai," ujar ayah kepada Farrell Khan yang kini sudah mencecah usia lapan bulan itu.
Aku Pilih Kamu yang mula ditayangkan di pawagam sejak 14 November lalu mengisahkan tentang Qesya lakonan Intan Ladyana yang kurang mendapat perhatian setelah ibunya meninggal dunia dan bapanya pula sibuk dengan kerjaya sebagai pegawai tentera.
Apabila dewasa, timbul konflik antara hubungan anak dan bapa apabila dia dijodohkan dengan Alif, sedangkan pada masa yang sama dia sudah mempunyai pilihan hati sendiri iaitu Iskandar (Zain Hamid).
Berkenaan dengan wataknya sebagai Alif pula, pelakon yang mula dikenali ramai menerusi drama bersiri Jelatang itu memberitahu, mainan emosi dalam karakter yang dibawakannya itu merupakan satu lagi cabaran yang harus ditempuhinya.
"Kalau boleh saya mahu lakonan yang ditampilkan itu nampak asli dan penonton dapat merasai emosi yang ada dalam diri Alif. Namun begitu, adakalanya saya lari seketika daripada karakter yang dimahukan oleh pengarah tetapi saya sudah lakukan yang terbaik.
"Saya tidak nafikan ia berlaku apabila fikiran saya sedikit terganggu apabila terbayangkan isteri dan anak di rumah.
"Bagaimanapun, saya anggap ia satu pengalaman bermakna serta cabaran yang paling getir pernah dilalui sepanjang menjadi pelakon," ujarnya.
Produksi luar
Biarpun sudah agak lama berkecimpung dalam bidang lakonan dan semakin mendapat pujian ramai pihak, Fezrul tidak pernah dilihat tampil dengan produksi luar, selain Metrowealth untuk layar perak.
Ujarnya, dia sendiri sebenarnya mempunyai keinginan yang tinggi untuk bekerja dengan produksi luar, malah Metrowealth sendiri memberi galakan kerana ia dilihat sebagai langkah mendapat pengalaman yang lebih luas.
"Kalau diikutkan saya sudah kerap berlakon dengan produksi luar untuk drama bersiri atau telemovie tetapi peluang dalam filem pula masih lagi belum tercapai setakat ini.
"Sebenarnya sudah beberapa kali saya memperoleh tawaran daripada syarikat luar, namun saya terpaksa menolaknya kerana bertindih dengan jadual lain. Kalau ada peluang lain serta bersesuaian dengan watak, saya bersedia untuk menerimanya," jelas Fezrul.
Mengenai perkembangan terbaharunya pula, Fezrul bakal membintangi sebuah lagi filem baharu berjudul Kitai bersama beberapa pelakon popular lain seperti Shaheizy Sam dan Farid Kamil.
Saat akhir
Selain Fezrul, seorang lagi bintang utama dalam filem Aku Pilih Kamu iaitu Intan Ladyana menceritakan, dia turut berhadapan dengan tekanan memandangkan tawaran diterima pada saat-saat akhir.
Menurut Intan, dia hanya ditawarkan berlakon dalam filem berkenaan kira-kira tiga hari sebelum penggambaran bermula kerana terpaksa menggantikan pelakon asal yang mempunyai komitmen lain.
"Sudah tentu tempoh yang saya ada sangat singkat dan persediaan untuk menghayati karakter sebagai Qesya juga kurang. Memang terdapat sedikit tekanan yang dirasai tetapi itu semua tidak menjadi penghalang buat saya melakonkannya dengan sebaik mungkin.
"Walaupun ini kali pertama saya berlakon bawah arahan Eyra, namun dengan persahabatan yang sudah lama terjalin antara kami membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah," ujarnya.
Berkongsi cerita mengenai watak yang dibawakannya itu pula, Intan memberitahu, antara cabaran yang agak menarik adalah mewujudkan perasaan benci terhadap Alif yang dibawakan oleh Fezrul.
Ia disebabkan pada peringkat awal penceritaan dalam filem berkenaan memaparkan kebencian Qesya yang mendalam terhadap Alif gara-gara dipaksa berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak dicintainya.
"Sepanjang berada di lokasi penggambaran Fezrul selalu menyakat saya sehingga timbul sedikit kebencian terhadapnya. Jadi, perasaan benci itu turut terbawa-bawa semasa penggambaran," selorohnya sambil turut memberi pujian terhadap lakonan yang ditampilkan Fezrul dan Azhan Rani.
Bagaimanapun, Intan menyatakan menerusi filem ini penonton akan melihat sisi lain lakonannya yang sebelum ini lebih banyak tampil dalam filem yang bergenre komedi, aksi dan seram.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: