Thursday, November 28, 2013

Cantuman fesyen, pelembut pakaian

VIVY menunjukkan rekaan FashionValet sempena kolaborasi mereka bersama Downy Parfum Mystique.


PAKAIAN eksklusif, mewah dan diperbuat daripada material mahal memerlukan penjagaan yang teliti. Begitu juga cara ia dibasuh, kebiasaannya pakaian sebegitu perlu dihantar ke dobi untuk dicuci kering.
Bagaimanapun 14 rekaan menawan ilham FashionValet sempena kolaborasi mereka bersama pelembut pakaian Downy mengubah prinsip tersebut. Hab fesyen dalam talian tempatan itu membuktikan bahawa pakaian dengan nilai elegan yang tinggi juga boleh dicuci biasa menggunakan pelembut pakaian.
Pengarah Urusan FashionValet, Vivy Sofinas Yusof memberitahu, kerjasama unik itu membolehkan standard fabrik dan teknik penjagaan pakaian ditekankan untuk rujukan orang ramai.
“Penjagaan pakaian sangat penting dalam fesyen. Seperti yang kita sedia maklum, cucian kering menelan belanja yang agak mahal dan saya mahu orang tahu bahawa terdapat alternatif lebih menjimatkan untuk menjaga pakaian.
“Kesemua 14 helaian di bawah koleksi premium ini dihasilkan daripada fabrik berkualiti tinggi seperti sifon, satin dan krep serta boleh dibasuh biasa,” kongsi Vivy ketika ditemui media pada majlis pengumuman pemenang peraduan FashionValet for Downy Parfum Collection.

KESEMUA 14 helai pakaian bernilai RM4,000 daripada koleksi istimewa ini dihadiahkan kepada pemenang utama peraduan FashionValet for Downy Parfum Collection.


Menerusi peraduan tersebut, pembeli Downy bertuah, Norzanah Mohamed Din memenangi kesemua 14 helaian koleksi tersebut bernilai RM4,000.
Merangkumi dres, skirt maxi dan jumpsuit, koleksi eksklusif daripada FashionValet itu mengetengahkan konsep warna berdasarkan rona produk Downy baharu, Downy Parfum Mystique.
Rona keemasan menyaluti indah setiap helaian koleksi itu yang disasarkan khusus kepada wanita berkerjaya. Daripada 14 item tersebut, hanya satu yang dihasilkan menggunakan fabrik berkilat.
Penampilan chic dapat ditonjolkan si pemakai ketika bekerja atau selepas waktu pejabat. Nilai minimalis menjadi keutamaan koleksi tersebut dan pemakai digalakkan menambah aksesori seperti kalung berperincian besar bagi memberi penegasan kepada keseluruhan gaya.
Tidak terhad terhadap satu-satu gaya, anda juga boleh mengadaptasi konsep suai padan. Baju berstruktur dalam koleksi itu misalnya, boleh dipadankan dengan seluar slack hitam atau jean jenis boyfriend.
Bentuk rupa klasik bak ikon fesyen Audrey Hepburn atau Grace Kelly ketika menyarungkan item terhangat koleksi tersebut iaitu skirt volume.
Selain itu, pilihan seperti dres wrapped dengan potongan seperti kimono, seluar palet dan dres hibrid khusus buat Muslimah moden turut ditawarkan. Tidak ketinggalan, baju sarung (outer) dan kasut juga disediakan.
Jelas Vivy, haruman mewah dan sofistikated Downy memberikan inspirasi kepada pihaknya mencipta helaian elegan yang ringkas.
“Ia memang direka dalam kelompok pakaian premium tetapi harganya sangat berpatutan. Ia dijual pada harga antara RM129 sehingga RM269,” tambah Vivy.
PAKAIAN eksklusif keluaran khas FashionValet boleh dicuci biasa menggunakan pelembut pakaian Downy.


Downy Parfum Mystique
Sementara itu, Pengurus Komunikasi P&G Malaysia, Goh Seng Jone ketika mengulas tentang kerjasama Downy dan FashionValet berkata, kini Downy telah melangkah setapak ke hadapan dengan pengenalan produk pelembut pakaian berhaluan fesyen.
Downy Parfum Mystique dicipta dengan haruman sofistikated dan glamor namun masih mengekalkan keutamaan fungsional dalam melembutkan fabrik agar segar dan selesa untuk dipakai.
Ia dicipta berteraskan wangian flora dan rempah berciri ketimuran. Nota atas yang segar dibawa oleh ekstrak limau gedang, aprikot dan buah-buahan merah serta diadun sempurna bersama unsur bungaan daripada bakung Perancis, osmanthus, biji tonka dan vanila berkrim.
Haruman asasnya pula diperkaya dengan aroma ambar, kesturi dan kayuan yang disatukan dengan rempah-rempah terpilih.
Pelembut pakaian Downy Parfum Mystique kini boleh didapati di semua pasar raya dan kedai runcit utama di seluruh negara pada harga RM5.85 untuk pek 370 mililiter (ml), RM10.90 (900ml) dan RM20.90 (1,800ml). Untuk maklumat lanjut mengenai koleksi tersebut, sila layari laman web www.fashionvalet.com.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: