Friday, November 22, 2013

Mahkamah isytihar AGM Seniman terbatal, tidak sah


WAN ROHIMI (dua dari kiri) menunjukkan laporan kenyataan mahkamah berhubung isu Seniman kepada Abu Bakar (dua dari kanan) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam mengisytiharkan mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kali ke-14 dan Pemilihan Jawatankuasa Seniman pada 26 Mei tahun lalu adalah terbatal dan tidak sah.
Keputusan itu secara tidak langsung menggugurkan nama pelakon Zed Zaidi selaku Presiden Seniman berkuat kuasa semalam.
Keputusan itu dibuat selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop mendapati, lima artis veteran yang menyaman Seniman dan tujuh yang lain berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan berhubung dakwaan AGM itu sebagai tidak sah kerana minit mesyuarat telah dipalsukan dan ahli baharu yang meragukan.
Tindakan itu adalah susulan daripada saman yang dikemukakan ahli-ahli Seniman diketuai oleh Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sony Abdullah) telah memfailkan saman terhadap Seniman pada 25 Januari lalu.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Presiden Seniman, Harun Salim Bachik serta ahli jawatankuasanya iaitu Omar Kamarudin atau dikenali sebagai Yusof Kelana, Wafa A. Kadir, Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar dan Zaharudin Wahab atau dikenali sebagai Den Wahab.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan mesyuarat agung dan pemilihan jawatankuasa Seniman ke-14 diadakan semula dengan dikendalikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam tempoh dua bulan bermula semalam.
Rosilah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi-saksi plaintif dan defendan dan beliau mendapati plaintif telah berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan.
"Sepanjang perbicaraan, saksi-saksi defendan terutamanya Harun Salim Bachik, Yusof dan Zed Zaidi telah memberi keterangan bercanggah dan tidak konsisten," katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Presiden Seniman ketika itu, Harun atau nama sebenarnya Harun Aminar Rashid Salim, Yusuf Kelana atau Omar Kamarudin dan Wafa A. Kadir membayar ganti rugi khas berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa di sini berjumlah RM56,000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: