- Antara kanak-kanak warga Myanmar dan tenaga pengajar yang dilihat keluar dari sebuah premis di Bukit Sentosa yang dijadikan sekolah.
Tinjauan Sinar Harian di premis tersebut mendapati, terdapat tenaga pengajar warga Amerika Syarikat yang dipercayai mengajar subjek bahasa Inggeris termasuk tenaga pengajar yang mengajar subjek matematik dan sains.
Malah van juga disediakan untuk mengambil dan menghantar pelajar ke premis yang dijadikan sekolah itu.
Difahamkan, sekolah tersebut yang disediakan majikan kepada ibu bapa pelajar tersebut dibuka setiap Isnin hingga Jumaat itu menggunakan sistem pendidikan negara mereka sendiri.
Jadi rumah ibadat
Wartawan turut berkesempatan bertemu remaja dan kanak-kanak warga Myanmar yang bersekolah di premis itu di padang awam Jalan Cempaka, semalam.
Menurut salah seorang remaja yang sudah lebih enam tahun bekerja di sini yang tidak mahu dikenali, dia memang bersekolah di premis tersebut yang turut dijadikan rumah ibadat mereka.
“Sudah lama sekolah di situ. Semua belajar bahasa Inggeris, matematik dan sains,” katanya.
Pantau subjek diajar
Seorang penduduk, Kamal Efendi Nawab, 52, berkata, tidak salah jika mereka menggunakan premis itu sebagai tempat belajar namun pihak bertanggungjawab harus memantau segala subjek yang diajar.
"Tiada yang buruk jika soal pendidikan kerana matlamatnya mengajarkan ilmu. Apa yang mereka buat ini memang baik sebab mahu anak-anak pandai dan bersekolah, tapi kenapa guna sekolah sendiri.
“Kita pun tak tahu apa yang mereka ajar, betulkah cara mereka. Kenalah pantau,” katanya.
Menurutnya, sekolah Myanmar itu mengajar kanak-kanak tadika, sekolah rendah dan menengah, malah turut menggunakan pakaian seragam sendiri terutama bagi sekolah rendah.
Wujud lebih tiga tahun
Sementara itu, bekas pengerusi persatuan penduduk Pangsapuri Seri Cempaka, Mohamad Zainuddin Yeob berkata, sekolah Myanmar itu dipercayai sudah wujud antara tiga hingga empat tahun lalu dan didakwa tidak mempunyai permit.
Menurutnya, kebanyakan keluarga pelajar sekolah warga Myanmar itu tinggal di Pangsapuri Seri Cempaka dan Pangsapuri Seri Tanjung yang terletak kira-kira 150 meter dari premis tersebut.
“Sekolah itu sudah ada sebelum saya buka kedai runcit lagi dan sampai sekarang masih ada.
“Setahu saya mereka tidak ada permit buka sekolah tersebut dan ada di antara ibu bapa atau mungkin anak sekolah itu juga tidak ada pasport atau pendek kata pendatang tanpa izin,” katanya.
MDHS akan siasat
Dalam pada itu, Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Zon Bukit Sentosa, Lim Poh Kuan berkata, beliau tidak pernah menerima aduan mengenai masalah yang ditimbulkan pemilik mahupun pelajar sekolah tersebut namun mengakui kewujudan sekolah tersebut menyalahi undang-undang.
Katanya, beliau akan menyiasat perkara tersebut dan akan mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara itu melibatkan isu warga asing dan institusi pendidikan asing yang tidak berkelayakan.
“Setakat ini memang tiada aduan kita terima tapi saya akan siasat perkara ini,” katanya.
Penolong Pegawai Perhubungan Awam MDHS, Junainah Abdullah ketika dihubungi turut memberitahu tiada sebarang maklumat daripada jabatan berkaitan mengenai kewujudan sekolah tersebut namun pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: