Thursday, November 28, 2013

Tablet untuk kanak-kanak


DARI kiri: Vincent, Long Shyang dan Justin bergambar pada majlis pelancaran Samsung Galaxy Tab 3 Kids di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.


ANAK-ANAK kecil yang menggunakan telefon mahupun tablet pintar pada dunia yang serba moden kini bukanlah suatu pemandangan yang asing. Kita mudah menyaksikan mereka membelek atau bermain permainan video di pusat beli-belah atau di restoran-restoran.
Keadaan tersebut menyebabkan kebanyakan ibu bapa merungut kerana tablet yang harganya mahal itu rosak ketika digunakan oleh anak kesayangan.
Pelbagai foto membabitkan insiden seperti skrin tablet pecah dan calar itu telah dimuat turun oleh ibu bapa dalam laman sosial Facebook dan Instagram.
Kini, ibu bapa tidak perlu khuatir apabila sebuah tablet khas untuk kanak-kanak telah memasuki pasaran dalam negara baru-baru ini.
Tablet tersebut dilancarkan syarikat Samsung Malaysia Electronics (SME) yang direka khusus untuk kanak-kanak berumur antara tiga hingga sembilan tahun.
Naib Presiden Teknologi Maklumat dan Komunikasi Mudah Alihnya, Ng Long Shyang berkata, pengenalan tablet itu berikutan kanak-kanak lebih kerap menggunakannya.
"Tablet terbaharu ini dilengkapi kandungan berkonsepkan pendidikan, kreativiti dan permainan. Selain itu, terdapat lebih 600 aplikasi untuk kanak-kanak yang boleh dimuat turun menerusi Kid's Store," katanya pada sidang media pada majlis pelancaran tablet berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ia diperbuat daripada plastik dan bahan bergetah selain dilengkapi dengan pen stylus C yang bersaiz besar. Sarung Tab 3 Kids berfungsi sebagai alat pemegang yang tahan lasak dan cukup tebal untuk menahan hentakan sekiranya tidak dipegang dengan baik. Pen stylus yang disertakan boleh disimpan di dalam alat pemegang yang sama.
Tab 3 Kids mempunyai muatan dalaman sebesar 8 Gigabait dan menyokong penambahan memori dalaman dengan menggunakan kad MikroSD sehingga 64 Gigabait. Ia juga mempunyai antaramuka (interface) yang tersendiri. Aplikasi yang dimuat turun disusun dalam bentuk kad imbas dan terdapat watak-watak kartun bergerak mengikut pilihan pengguna.

MODEL cilik, Crystal Lee begitu teruja ketika mencuba tablet yang direka khusus untuk kanak-kanak ini.


Mengawal masa penggunaan
Selain itu, antaramuka kanak-kanak yang direka tampak menarik untuk digunakan. Fungsi mengubah antaramuka kepada antaramuka TouchWiz biasa untuk memudahkan ibu bapa menggunakan tablet tersebut. Ia tidak terhad untuk digunakan oleh si kecil sahaja. Lebih menarik lagi, ibu bapa juga boleh mengawal kad imbas yang dipaparkan pada skrin hadapan.
Galaxy Tab 3 Kids mempunyai skrin bersaiz 18 sentimeter. Ia turut hadir dengan Application Manager untuk membolehkan ibu bapa memantau dan mengawal aplikasi yang boleh diakses oleh anak-anak mereka.
Sebuah aplikasi dinamakan Time Management turut disertakan untuk membolehkan tablet tersebut dikunci secara automatik sekiranya digunakan melangkaui masa yang ditetapkan. Kemudahan ini memudahkan ibu bapa mengawal penggunaan tablet oleh anak-anak mereka.
Keseluruhannya, tablet berasaskan android ini membawakan cip pemprosesan dwiteras 1.2 gigahertz (Ghz), memori 1 gigabait dan juga kamera 3 megapiksel pada bahagian belakang. Ia juga mempunyai sambungan Wi-Fi, bluetooth 3.0 dan port USB 2.0.
Di Malaysia, tablet ini dijual pada harga RM799 seunit dan boleh didapati dalam warna kuning bermula Khamis lalu.
Turut hadir Pengarah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Mudah Alih SME, Vincent Chong, Pengurus Produk (Tablet dan Komputer) SME, Victor Ng dan Pengurus Perniagaan SME, Justin Joo.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: