Friday, November 29, 2013

Taksub terhadap ajaran sesat


HANYA dengan mempunyai ilmu mampu menjadi benteng yang menyelamatkan akidah seseorang. - Gambar hiasan


WALAUPUN kita hidup pada zaman serba moden, namun masih ada segelintir masyarakat yang masih percaya dengan ajaran sesat yang menjangkaui logik akal manusia.
Beberapa tahun dahulu, di Terengganu kita dikejutkan dengan kewujudan fahaman Ayah Pin yang kononnya mempunyai keupayaan mistik yang luar biasa. Terbaharu, kita dikejutkan pula dengan fahaman 'Tuhan Harun' yang berupaya menarik ratusan pengikut.
Kewujudan manusia yang mendakwa bahawa diri mereka tuhan bukanlah satu perkara baharu. Tetapi, hakikatnya ramai orang masih percaya bahawa seseorang itu boleh menjadi tuhan hanya sekadar mereka mempunyai keupayaan luar biasa tertentu.
Adakalanya 'keistimewaan' yang ditonjolkan itu tidak lebih sekadar silap mata untuk memanipulasi pengikut sahaja.
Mengapa masih ada manusia yang percaya bahawa seseorang itu mampu menjadi tuhan atau mempunyai keupayaan luar biasa? Mengapa pula ada pengikut yang percaya dengan semua kata-kata ketua kumpulan dan menjalankan aktiviti mereka walaupun ada yang terlibat dengan kegiatan jenayah tidak bermoral?
Dalam psikologi, situasi ini dinamakan sebagai identity fusion yang menjadikan ahli kumpulan merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada kumpulan.
Bagi pengikut yang ekstrem, kumpulan adalah lebih utama daripada diri mereka. Mereka merasakan kumpulan adalah segala-galanya. Malah, mereka sanggup mengorbankan diri sendiri bagi memenuhi keperluan kumpulan.
Sebab itulah, dalam banyak kes yang melibatkan kumpulan ajaran sesat mereka dilihat sanggup melakukan apa sahaja, termasuklah tindakan jenayah dan tidak bermoral. Mereka akan patuh dengan apa sahaja arahan ketua kumpulan sekali pun ada yang bersifat tidak rasional.
Taksub melampau
Ahli psikologi menggambarkan keadaan ini sebagai kepatuhan dan keakuran. Kedua-dua simptom ini menyebabkan manusia tidak lagi rasional dalam tindakan. Mereka merasakan apa sahaja yang dilakukan oleh kumpulan sebagai sesuatu yang istimewa dan tidak ada sebarang kesalahan.
Ketaksuban yang melampau terhadap kumpulan ini juga menyebabkan pandangan-pandangan daripada orang lain sebagai satu ancaman yang cuba merosakkan kumpulan. Ini merupakan fenomena kumpulan yang dikenali sebagai pemikiran kelompok.
Pemikiran kelompok ini menjadikan ahli-ahli merasakan mereka sangat istimewa, tidak mudah digugat dan yang paling membimbangkan, semua orang lain salah dan hanya mereka yang benar.

KUMPULAN ajaran sesat akan terus muncul selagi manusia tidak mampu berfikir secara waras dan logik. - Gambar hiasan


Mereka menganggap orang lain itulah yang hidup dalam kesesatan, sedangkan mereka tidak.
Semakin pengikut ini taksub dengan kumpulannya, maka semakin mudahlah pula ahli kumpulan ini dimanipulasi oleh ketua mereka.
Kita dapati bahawa dalam kebanyakan kes, biasanya ahli-ahli kumpulan ini menjadi kuda tunggangan ketua mereka bagi mendapatkan kekayaan atau melakukan tindakan jenayah.
Ada pula ahli kumpulan yang menjadi hamba seks kepada ketua kumpulan yang dikatakan mempunyai petunjuk atau ilham daripada tuhan.
Bagaimanapun, kerana semua tingkah laku atau tindakan ini dikatakan sebagai amalan yang benar, mereka tidak merasakan ia sebagai satu bentuk kesalahan.
Kita sebagai orang awam selalu tertanya mengapa dalam kebanyakan kes, kumpulan ajaran sesat ini menggunakan agama sebagai tema utama perjuangan mereka?
Sebenarnya agama ini hanya dijadikan umpan untuk menarik lebih ramai pengikut. Malah, dengan melakukan beberapa pengubahsuaian, mereka mampu menjadikan agama baharu ini lebih menarik.
Ritual agama
Kumpulan 'Tuhan Harun' misalnya, dikatakan telah menggunakan muzik sebagai sebahagian ritual agama. Beberapa tahun dahulu, Ayah Pin dikatakan mempunyai kuasa mistik untuk menyembuhkan orang sakit dan mempunyai kuasa sakti yang lain.
Semua ini adalah sekadar dongeng bagi membolehkan ajaran mereka dilihat sangat istimewa dan unik, sekali pun mungkin tidak rasional pada pandangan kebanyakan orang.
Sebagai orang awam, kita mestilah berhati-hati. Sejauh mana istimewa dan unik sekali pun sesuatu fahaman yang dibawakan oleh satu-satu kumpulan, pada akhirnya ia tidak patut menjangkaui kewarasan akal.
Mereka mungkin memainkan silap mata yang mempesonakan atau memberikan ganjaran istimewa kepada pengikut, tetapi pada akhirnya sebagai manusia kita perlu berpijak di alam nyata.
Seperti yang dilaporkan oleh media massa, 'Tuhan Harun' yang ditahan pihak berkuasa pada akhirnya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana menghidap strok. Sehebat mana sekali pun, pada akhirnya manusia istimewa ini perlu mendapatkan pertolongan orang lain juga.
Dari semasa ke semasa, kita akan dapati bahawa ajaran sesat seumpama ini akan terus muncul. Ia akan terus muncul selagi manusia tidak mampu berfikir secara waras dan logik.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: