Friday, November 22, 2013

Berfikir terapi hati

Kuasa berfikir dengan merenung kejadian alam mampu mendekatkan manusia dengan Pencipta sekali gus membantu kita menuju destinasi akhir yang kekal abadi.

WANITA Muslim perlu memastikan aurat mereka ditutup dengan sempurna kerana ia satu kewajipan kepada Allah.


MUSIM sejuk di Madinah? Saya tidak pernah terfikir begitu sehinggalah kami menunaikan fardu haji pada tahun 2006/2007. Ketika kami tiba di Mekah suhu mencatat sekitar 16 darjah Celsius. Dalam masa 38 hari kemudian kami beredar menuju Madinah dengan suhu yang semakin rendah.
Kini musim sejuk di Madinah semakin hampir. Anginnya sangat dingin terutamanya ketika kami keluar rumah untuk melaksanakan solat Subuh di Masjid Nabawi. Ia pertukaran cuaca yang sangat pantas.
Perubahan cuaca sejuk dan panas di negara Arab Saudi menyebabkan saya berfikir tentang kebesaran Allah SWT. Pada satu hari suhunya menghampiri 50 darjah Celsius dan pada hari yang lain ia boleh menyebabkan penduduknya memakai termal dan mandi menggunakan air panas.
Buah tamar
Namun setiap satu mempunyai kebaikannya. Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Misalnya, suhu yang panas ini sangat berguna ketika musim buah tamar menunggu hari untuk dipetik. Suhu panas ini diperlukan agar kualiti tamar mencapai tahap paling maksimum.
Tentu sekali kesemua kejadian jika difikirkan yang berlaku di sekitar kita mempunyai perlambangan kepada sifat-sifat Allah SWT.
Kuasa berfikir ini merupakan milik individu. Kuasa inilah saya fikir yang perlu digunakan sepenuhnya bagi memberi kedamaian di hati.
Mereka yang berfikir pastinya akan hampir dengan Pencipta lalu membantu manusia menuju destinasi akhir yang kekal abadi.
Kehidupan kekal abadi tidak mempunyai dua pilihan tetapi hanya satu iaitu syurga Firdaus. Malah pintu syurga perlu dilangkah masuk dengan kemuliaan tanpa dihisab.
Saya sudah tua dan beruban. Umur menghampiri 50 tahun. Jika ditakdirkan saya meninggal seusia dengan Baginda SAW maka jangka hayat saya berada di sekitar 13 tahun lagi.
Jika faktor genetik diambil kira, maka hidup saya hanya berbaki antara lapan hingga sembilan tahun lagi. Namun kematian milik Allah. Tiada siapa yang mampu menelah dengan tepat.
Lalu saya fikir di kala usia tua beruban, kuasa utama yang perlu dipohon kepada-Nya ialah semoga kita boleh berfikir bagi membuat pilihan terbaik.
Ia menjadi lebih signifikan terutamanya kala usia di penghujung senja yang ketajaman akal fikiran sangat-sangat berkurang. Ia satu kuasa yang benar-benar diperlukan.
"Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya) dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." Surah al-Baqarah, ayat 269.
Di sisi Allah SWT, ia permintaan mudah dan sangat signifikan. Benar, kami sudah tua dan beruban. Kedut-kedut halus telah mula kelihatan dengan jelas dan ketara.
Anak-anak juga sudah membesar dan bakal membina kehidupan sendiri. Mereka akan meninggalkan sarang asalnya. Malah kerjaya rasmi juga sudah sampai ke penghujung. Dunia persaraan sebenarnya sudah hampir.
Bagi saya kehidupan berseorangan bersama isteri atau suami sesuai dengan saat-saat menanti kematian. Ia bukan soal menolak dunia tetapi meletakkan akhirat melalui perspektif yang benar dan tepat.
Itulah petanda-petanda untuk kita berfikir dan bermuhasabah betapa masa berbaki benar-benar suntuk. Ia zon kritikal.
Kuasa berfikir
Lalu jika ditoleh ke belakang, hampir keseluruhan masa ditumpukan kepada kehidupan dunia tanpa mengaitkan dengan kehidupan kekal abadi.
Hakikatnya, kita tidak mahu berfikir walaupun kita berkuasa melakukannya. Allah ya Allah, kami mohon kepada-Mu agar dipinjamkan sedikit lagi kuasa berfikir untuk kami membuat pilihan yang tepat sehinggalah kami dipanggil pulang.
Masya-Allah, Subhanallah, Allahu Akbar, cukuplah dunia ini menjadi tempat permainan yang melalaikan.
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" Surah al-An'aam, ayat 32).
Kuasa berfikir ini merupakan anugerah Allah. Ia dikurniakan kepada mereka yang benar-benar berkehendakkannya. Malah akal fikiran ini merupakan sebahagian daripada tubuh badan manusia yang akan dipersoalkan ketika di hari penghakiman.
Bayangkanlah bagaimana manusia yang diberikan kuasa untuk berfikir tidak mahu menggunakannya dan bersifat zalim kepada diri sendiri serta kaum keluarga yang hampir.
Sebagai satu misal perbandingan, ramai yang mengetahui kepentingan solat berjemaah di masjid bagi lelaki merupakan salah satu amal ibadat yang dituntut. Aurat wajib dijaga dengan sempurna. Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, khianat dan fitnah merupakan penyumbang laluan ke neraka Jahanam.
Lalu kuasa berfikir dan memilih ini diketepikan. Kesannya hanya terpaksa dihadapi apabila tiba hari penghakiman dan seterusnya dihumbankan ke neraka Jahanam. Barangkali pada ketika ini ia sudah agak terlambat.
Berfikirlah dengan baik. Insya-Allah akan ada damai di hati. Jumpa lagi minggu hadapan. Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: