• Nora teruskan legasi 'Ummi'

KESINAMBUNGAN daripada siri animasi popular, Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK), penyanyi Nora melancarkan video album kesinambungan siri animasi itu berjudul.

Video album itu diterbitkan di bawah produksi, Hud Hud Media Sdn Bhd, menampilkan video-video muzik menarik yang dipetik daripada siri animasi berkenaan.

Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin berkata, video album ini bukan hanya sekadar hiburan tetapi mengandungi sesi pengajaran dan pembelajaran untuk golongan sasaran iaitu ibu bapa dan kanak-kanak.

Malah, dia dan suaminya, Johan Nawawi turut melahirkan rasa bangga kerana konsep pembelajaran sambil berhibur ini dapat diterima dengan  meluas dan terbuka oleh segenap lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah syukur, masyarakat Malaysia dan antarabangsa dapat menerima konsep yang kami tonjolkan, iaitu belajar sambil berhibur.

“Perjuangan kami tidak akan berhenti di sini sahaja, kami akan terus menerbitkan isi kandungan yang lebih menarik dan bermanfaat serta lagu-lagu yang lebih menghiburkan,” katanya.

Jelasnya lagi, album itu diterbitkan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada peminat khususnya kanak-kanak dan seisi keluarga.

“Saya percaya konsep belajar sambil berhibur ini adalah yang paling mudah untuk kanak-kanak dalam mendekati topik pembelajaran dan ia pasti mendapat sambutan yang memberangsangkan,” katanya.

Nora memberitahu, projek UCPK telah bermula sejak tahun 2010 dan disiarkan di TV3 pada tahun lalu sepanjang Ramadan dan berjaya menghasilkan sebanyak 12 buah muzik video menyanyi bersama.

“UCPK juga baharu sahaja dilancarkan di Dubai dalam acara Mycontent dan akan dipasarkan di negara tersebut,” katanya sambil memberitahu album itu dirasmikan sempena acara Malaysian Islamic Children Fair (MICF).

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar.

Turut memeriahkan majlis ialah kumpulan Voices Of Ummi.

Video album Mari Menyanyi Bersama Ummi akan berada di pasaran mulai Disember depan dan dijual dengan harga RM29.90.