Friday, November 29, 2013

Sinar hidayah kehidupan Hijrah Munawwarah

Program bual bicara Hijrah Munawwarah menampilkan kisah-kisah dan pengalaman hidup individu terkenal yang berhijrah ke arah kehidupan lebih baik.

HASLINA (lima dari kiri) bersama sebahagian individu yang terlibat dalam program Hijrah Munawwarah.


MENGAMBIL aspirasi daripada kisah penghijrahan Rasulullah SAW yang menjadi permulaan kepada kegemilangan Islam, stesen televisyen TV AlHijrah tampil memperkenalkan dimensi baharu dalam penerbitan sebuah rancangan bual bicara.
Berjudul Hijrah Munawwarah, program tersebut merupakan satu perkongsian cahaya hidayah yang dengan kerjasama Munawwarah Design Sdn. Bhd. (Munawwarah).
Lebih daripada satu program bual bicara biasa, Hijrah Munawwarah mengetengahkan konsep inspirasi, motivasi dan perkongsian pengalaman.
Bertepatan dengan maksud Hijrah Munawwarah iaitu penghijrahan yang penuh cahaya, program itu menyelusuri sisi kehidupan insan-insan terpilih yang menemui hidayah Allah SWT dalam mengubah kekhilafan menjadi sempadan iman dan sinar hidayah.
Melalui 13 episod yang ditayangkan setiap Jumaat pada pukul 9 malam bermula 25 Oktober lalu, penonton dipertemukan dengan 13 tetamu undangan berbeza yang berkongsi pengalaman dan peristiwa unik yang menjadi titik tolak kepada penghijrahan kehidupan mereka.
Para tetamu akan berkongsi pengalaman dan perasaan yang dilalui mereka dalam mengharungi liku-liku mengamalkan cara hidup Islam.
Bukan itu sahaja, turut dipaparkan aktiviti-aktiviti keislaman yang dilakukan dalam usaha menyuburkan iman dan berkongsi kesedaran dengan masyarakat.
Antara tetamu jemputan yang berkongsi pengalaman hidup mereka ialah penghibur tanah air, Nora dan Nazrey Johani (Raihan), pelakon Catriona Ross dan Adam Corrie Lee; pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew dan ramai lagi.
Tidak ketinggalan, penampilan khas Prof. Muhd. Kamil Ibrahim, cendekiawan dari Universiti Taibah, Madinah yang turut berkongsi pengalaman menginsafkan.
Hijrah Munawwarah menampilkan bakat selebriti, Shamsul Ghau Ghau yang berperanan selaku pengantara di studio.
Pemilihan Shamsul dilihat bersesuaian bukan sahaja kerana karakter bersahaja dan menghiburkan, tetapi juga berkaitan keputusannya untuk berhijrah ke jalan yang lebih baik baru-baru ini.
Ketua Pegawai Operasi dan Perunding Imej Butik Seri Munawwarah, Haslina Mohd. Ali akan turut bersama Shamsul sebagai panel mingguan tetap program berkenaan.
Untuk memanfaatkan lagi pemahaman penonton, Hijrah Munawwarah turut menganjurkan kuiz soalan terkumpul yang memerlukan penonton mengumpul 13 jawapan bagi setiap soalan yang disiarkan sejurus tamat suatu episod.
Pemenang akan membawa pulang pakej mengerjakan umrah, baucar pembelian produk Munawwarah bernilai RM1,500 sumbangan Al-Balad Travel & Tours Sdn. Bhd., dan Munawwarah. Pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan menerima baucar pembelian produk Munawwarah bernilai RM1,250 dan RM1,000.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: