Thursday, November 21, 2013

Boy Iman saman ustaz RM3 juta

MEMBERI notis saman malu sebanyak RM3 juta, ironinya, Boy Iman masih tidak menandatangani sebarang kontrak bersama Alfalfa Group selaku duta mereka.


BARU-BARU ini, pelakon dan penerbit AFS Consortium, Norul Iman A Rahman atau lebih dikenali sebagai Boy Iman telah mengemukakan notis saman malu terhadap pihak Alfalfa Group.
Notis saman yang berjumlah RM3 juta itu dikeluarkan atas alasan menanggung malu serta pengingkaran kontrak oleh Alfalfa Group yang mengambil Boy Iman sebagai duta projek perumahan mereka.
Boy Iman yang hadir bersama peguam Mohd. Faizul Nasir memberitahu bahawa pihaknya akan memberi notis selama 14 hari kepada pihak Alfalfa untuk memberi respons.
Walaupun belum menandatangani kontrak menjadi duta, namun Boy Iman akan tetap meneruskan saman bagi menanggung kos yang telah dikeluarkannya sepanjang terlibat dengan projek perumahan tersebut.
Ikuti penjelasan Boy Iman ketika mengadakan sidang akhbar yang bertempat di Bora Ombak, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh ceritakan dengan ringkas tentang kes ini?
BOY IMAN: Sidang akhbar ini dibuat untuk memberitahu yang saya ingin mengemukakan notis saman malu terhadap pemilik Alfalfa Group, Ustaz Norsham Abd. Aziz. Ini kerana dia telah mengingkari kontrak tentang pelantikan saya sebagai duta projek perumahan banglo mampu milik dan membuat kenyataan yang memalukan saya di Facebook. Dengan ini, saya memberi beliau notis selama 14 hari bagi penyelesaian di luar mahkamah. Jika tiada maklum balas, maka kes ini akan saya failkan di mahkamah.
Sejauh mana perkenalan anda dengan bersama pemilik syarikat Alfalfa itu?
Saya sebenarnya tidak berapa mengenali Norsham. Saya ada berurusan perniagaan dengan beliau. Saya ada menguruskan majlis yang mana saya menggunakan kanopi dan katering daripada beliau. Saya kenal beliau sejak tahun 2005 lagi.
Bila pihak Alfalfa memberikan tawaran kepada anda menjadi duta syarikat mereka?
Tawaran itu dibuat pada bulan April 2013, sekembalinya beliau (Norsham) daripada menunaikan umrah. Norsham memberitahu saya yang beliau berminat untuk mengambil saya bagi projek ini.
Sewaktu menerima tawaran tersebut, anda tidak selidik dahulu latar belakang pihak Alfalfa?
Ketika beliau menawarkan kepada saya, sudah tentu saya selidik dahulu. Jadi, memang bagi saya tidak logik untuk sebuah rumah banglo hanya bernilai RM89,000. Kami sudah fikirkan perkara tersebut, namun kami punya cara untuk siasat dan mendapati apa yang dikatakannya memang benar. Jadi, saya pun bersetuju untuk menjadi duta syarikat tersebut. Bukan sahaja duta syarikat, malah saya juga menjadi perancang acara dan media.
Jika melihat latar belakang anda, hanya hiburan. Namun, anda melibatkan diri dalam bidang hartanah dan mungkin pengalaman juga kurang. Mengapa anda tidak fikir risiko yang akan ditanggung, tambahan pula menjadi duta syarikat yang anda sendiri masih ragu-ragu?
Sebenarnya sebelum ini memang saya buat pelbagai perniagaan termasuk pemasaran. Saya juga punya produk sendiri, produksi serta beberapa perniagaan lain. Jadi, ketika ditawarkan oleh syarikat tersebut, saya fikir ia merupakan satu bidang baharu bagi syarikat kami. Apa yang saya fikirkan, mungkin jika tentang pemasaran, maka insya-Allah kami mampu lakukan. Saya fikirkan perkara ini merupakan satu permulaan untuk saya belajar tentang bidang yang baharu pula.
Selepas kenyataan memalukan anda yang dibuat di laman sosial Facebook Ustaz Norsham Abd. Aziz, adakah anda cuba untuk menghubungi pihaknya?
Memang ada. Setelah dia mengeluarkan kenyataan di Facebook, saya telah menghubungi dan berbincang secara baik dengannya tapi dia marah saya semula. Ada sedikit pertikaman lidah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Mengapa jumlah saman yang dikemukan sehingga mencecah RM3 juta dan berapa sebenarnya jumlah kerugian yang dialami anda sendiri?
Jumlah kerugian yang saya alami ialah sebanyak RM520,000. Sebanyak RM500,000 untuk menjadi duta dan RM20,000 untuk kos pemasaran yang saya keluarkan. Bagaimanapun, saya telah gunakan tenaga saya untuk membantunya dalam projek tersebut. Tambahan pula saya tertekan dengan keadaan tersebut. Reputasi dan maruah saya juga tercalar.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: