Monday, November 18, 2013

Kelantan Delights labur RM5 juta


SABRI menunjukkan sebahagian daripada hidangan menarik yang disediakan di Restoran Kelantan Delights di Petaling Jaya baru-baru ini.


PETALING JAYA – Kelantan Delights Sdn. Bhd., (Kelantan Delights), pengendali restoran makanan tradisional dari Kelantan dan Selatan Thailand, menyasarkan untuk membuka tiga restoran baharu dengan pelaburan sebanyak RM5 juta tahun depan.
Pengerusi Kelantan Delights, Sabri Abd. Rahman berkata, lokasi strategik bagi cawangan baharu itu masih lagi dalam peringkat kajian, namun tumpuan tetap diberikan kepada kawasan di Lembah Klang.
Menurutnya, pelaburan itu juga termasuk kos untuk melakukan penambahbaikan premis sedia ada yang terletak di KL Sentral dan Subang Jaya.
“Kami juga mengintai peluang untuk membuka restoran berkonsepkan Quick Service Restaurant seperti kafe atau makanan segera makanan tradisional dari Kelantan.
“Kami berhasrat menjadikan Kelantan Delights sebagai restoran premium masakan Melayu yang terbaik di negara ini.
“Ia akan dilakukan menerusi penyediaan persekitaran restoran yang selesa, persembahan makanan berkualiti, keenakan sajian serta perkhidmatan terbaik untuk pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: