|
MENGALIR air mata sutradara Ellie Suriaty Omar apabila disoal cabaran terbesar sepanjang mengarahkan filem bernilai RM2.8 juta, Penanggal.
Perlahan-lahan dalam suara bergetar menahan sebak, Ellie berkongsi cerita. Kisah kehilangan anak bongsunya, Ahmad Muhammad Iskandar ketika dalam kandungan lima bulan benar-benar menikam kalbu.
"Semangat dia masih bersama dengan saya dan saya tidak mahu kehilangannya menjadi sia-sia. Saya menjadi kuat untuk dia.
"Syurga Allah itu luas dan syukur Alhamdulillah, anak bongsu kami ditempatkan di syurga," getus Ellie menyeka air mata daripada terus tumpah.
Ellie ditemani suaminya Azri Iskandar melanjutkan perbualan petang Rabu minggu lalu ketika hadir ke sesi fotografi di Studio Utusan sempena mempromosikan filem Penanggal.
"Arwah anak saya dikebumikan di Kuala Kangsar. Jangan salah sangka, ramai yang mendakwa punca keguguran saya kerana terlalu penat bekerja dan terlalu lasak.
"Ketika mengandung saya tidak pernah memberitahu sesiapa termasuk Gayatri (Pengurus Besar Astro Shaw) sehinggalah berita keguguran saya dihebahkan.
"Saya diberikan cuti tiga hari untuk berehat tapi saya enggan bersendirian kerana fikiran akan tambah serabut.
"Saya tidak menganggap insiden itu menyakitkan, saya pujuk hati sekeras-kerasnya. Kerana itu, sesudah arwah dikebumikan dan kami adakan bacaan tahlil, penggambaran diteruskan semula," cerita Ellie lanjut.
Potongan
Dua tahun berhempas pulas menyiapkan proses praproduksi filem Penanggal, akhirnya naskhah yang diberi judul The Curse of the Malayan Vampire dalam bahasa Inggeris itu bakal memulakan tayangan di pawagam seluruh negara pada hari ini (28 November).
Bagaimanapun, sedikit kekesalan diluahkan oleh Ellie yang baru pertama kali mengarah filem apabila terlalu banyak potongan babak terpaksa dilakukan untuk memenuhi klasifikasi P13.
"Pembikin filem mana yang tidak sedih apabila babak demi babak terpaksa dipotong untuk memenuhi kehendak P13 yang ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).
"Namun, ia perlu dilakukan untuk memenuhi durasi filem dan produser perlukan klasifikasi tersebut untuk mendapatkan kutipan penonton.
"Saya tidak menuding jari pada mana-mana pihak tapi saya menulis skrip bersama lakon layar. Apabila sesetengah babak dipotong, pastinya jalan cerita akan berubah. Sesungguhnya, soal kepuasan peribadi saya letak ke tepi," ujarnya.
Atas dasar potongan itu juga sekali gus menjawab kenyataan sesetengah pengkritik filem yang menyifatkan Penanggal sebuah karya yang kacau-bilau, bercelaru dan tidak disunting sempurna.
"Ini sebuah filem mistik dan adalah wajar untuk meletakkan unsur semiotik (hubungan antara tanda dan lambang dengan benda atau idea yang dimaksudkan) dan Penanggal juga sebuah filem konseptual yang tidak bermaksud untuk membuatkan penonton keliru.
"Oleh itu, teknik suntingan tertentu perlu dilakukan terhadap sebuah filem konseptual seperti ini," jelasnya lanjut.
Ellie turut mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang menyifatkan Penanggal memuatkan terlalu banyak elemen terutama latar masyarakat Melayu, Jawa dan Arab.
"Mungkin orang tidak biasa dengan tiga elemen dalam satu filem tapi babak demi babak saya kira telah dijalin kemas.
"Malah, atmosfera bercelaru dan latar belakang tiga etnik berbeza di Tanah Melayu ketika tahun yang digambarkan iaitu sekitar 1930-an sengaja dimasukkan untuk memberikan perasaan tenat dan hubungkait antara masyarakat ketika zaman itu," tambahnya.
Mistik
Berkongsi pengalaman mistik sepanjang penggambaran, kata Ellie, kru produksi berdepan detik cemas apabila sebatang pokok tempat jurusolek kesan khas tumbang sejurus salah seorang pelakon siap ditatarias.
"Sudah tentu setiap kali sebelum penggambaran, tenaga produksi akan memastikan aspek keselamatan dan memasang 'pendinding' daripada gangguan makhluk halus terutama ketika berada di hutan," kata Ellie.
Penanggal mengisahkan seorang wanita naif bernama Murni (Ummi Nazeera) yang diperturunkan ilmu penanggal oleh neneknya, Mak Ajeng (Normah Damanhuri) tanpa kerelaan hati.
Murni ditakdirkan melalui kehidupan penuh cabaran dan kesunyian akibat ilmu penanggal yang diwarisinya dan akhirnya berdepan dengan penduduk kampung yang semakin marah dengan kejadian mengerikan yang berlaku tanpa henti.
Murni diselamatkan oleh seorang peniaga Arab, Syed Yusof (Azri Iskandar) dan secara tidak sengaja jatuh cinta dengan jejaka itu. Pelbagai cara dilakukan Murni untuk menarik perhatian Syed Yusof.
Penduduk kampung pula bersepakat untuk mencari penanggal yang semakin berleluasa dan satu-persatu kebenaran kian terbongkar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: