Thursday, November 28, 2013

Wan Raja Akui Artis Baharu Perlu Kontroversi Untuk Popular


Wan Raja
PETALING JAYA: Pelakon Wan Raja menganggap ketiadaan kontroversi panas terhadapnya membuatkan dia sukar untuk popular dan dikenali umum.
Wan atau nama sebenarnya Saiful Redzuan A Bakar, 35, berkata, dia melihat seseorang pelakon baharu mampu meraih populariti secara drastik apabila tercetusnya sesebuah kontroversi.
"Saya nampak, untuk mudah dikenali, seseorang artis itu kena ada kontroversi dan kerana itu juga saya beranggapan disebabkan saya tiada cerita panas, saya sukar untuk dikenali ramai.
"Entahlah, saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya tetapi itulah yang saya lihat sekarang ini. Kalau nak diikutkan saya sentiasa berlakon pelbagai drama, tetapi nama saya belum cukup kuat lagi dalam industri hiburan tempatan," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun tambah Wan, dia tidak pernah merungut dengan kegagalannya mencipta nama sebaliknya percaya bahawa bakatnya satu hari nanti pasti akan diiktiraf.
Sementara itu, Wan kini sibuk dengan penggambaran drama Jiwa, arahan Kabir Bhatia dan Nurhanisyam Muhammad bersama pelakon-pelakon lain iaitu Faizal Hussein, Remy Ishak, Kamal Adli dan Siti Elizad.
Menerusi drama 13 episod itu, Wan membawakan watak sebagai Peca, ketua kawasan bagi pertandingan Muay Thai.
"Saya gembira apabila terlibat dengan mana-mana projek arahan Kabir kerana saya tahu hasil jalan ceritanya pasti menarik.
"Dalam drama ini, saya sebagai Peca yang akan memperdayakan Iskandar (Remy) menyertai sebuah pertandingan Muay Thai dan kerana kehebatannya dalam aksi lawan, saya mengaut keuntungan besar daripada dia.
"Menerusi drama ini juga, saya berharap ia dapat membuka mata masyarakat mengenai kewujudan saya sebagai pelakon kerana watak ini berbeza," ujarnya.
Jiwa yang turut melibatkan pelakon Siti Elizad, Cico Harahap Sheila Mambo dan Liza Shadan ini bakal disiarkan setiap Rabu mulai 5 Februari 2014 bermula pukul 9 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: