IBU bapa yang masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk anak-anak pada musim cuti persekolahan ini, apa kata daftar mereka untuk menyertai program luncur udara yang dianjurkan Persatuan Luncur Udara Malaysia (PLUM).
Program berkonsepkan riadah dan rekreasi yang dikenali sebagai Aero Boot Camp 2013 itu akan diadakan pada 7 hingga 9 Disember ini bertempat di Flight Park @ Jugra, Bukit Jugra, Banting, Selangor.
Ia terbuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas dengan kadar bayaran RM450 seorang dan terhad kepada 30 orang sahaja.
Sekretariat PLUM, Ikhwan Azilah berkata, aktiviti tersebut berkonsepkan aviasi, namun turut diterapkan elemen- elemen asas ketenteraan, disiplin dan motivasi diri.
"Program ini bukan sekadar pengenalan tentang dunia penerbangan, malah satu pengalaman yang menyeronokkan kepada golongan remaja kerana mereka dapat melakukan sesuatu yang berbeza pada waktu cuti persekolahan ini.
"Peluang seperti ini dapat menarik minat mereka untuk mencorak kerjaya dan hala tuju pada masa akan datang di samping membentuk peribadi yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, objektif program tersebut adalah bagi memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada golongan remaja terhadap bidang aviasi, sekali gus mengalakkan mereka terbabit dalam bidang sains dan teknologi.
Selain itu, program tersebut mampu menawarkan pengalaman unik kerana para peserta didedahkan dengan asas-asas ketenteraan, sekali gus membentuk mereka menjadi lebih bertanggungjawab dan amanah.
Para peserta juga akan didedahkan dengan pengetahuan asas bidang aviasi secara teori, praktikal dan audio visual.
Mereka juga akan diperkenalkan kepada sukan luncur udara sebagai medium utama bagi merasai pengalaman terbang bersama jurulatih.
Pada masa sama, pendekatan motivasi, tazkirah dan kemahiran berkomunikasi dapat memupuk kesedaran minda dan meningkatkan keyakinan diri para peserta.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-3185 7586.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: