- Sidang media Seniman bersama-sama ahli-ahli persatuan untuk mengemukakan rayuan kurangkan kos mahkamah.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkan Mesyuarat Agung ke-14 Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak sah dan memerintahkan mesyuarat itu diadakan semula sekali gus jawatan presiden Seniman yang dijawat oleh aktor Zed Zaidi turut dilucutkan.
Zed Zaidi yang diminta mengulas perkara itu memaklumkan bahawa dia tidak tahu tentang penarikan jawatannya kerana mengikuti lawatan anjuran Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) ke Bangkok, Thailand.
“Saya tidak tahu berhubung perkara ini. Namun, selepas mendapat tahu bahawa mahkamah memutuskan bahawa mesyuarat ke 14 tidak sah, malah seniman dan lapan defendan iaitu Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir defendan kedua hingga empat, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) termasuk saya turut disenaraikan sebagai penanggung bagi kos ganti rugi khas RM56,000 kepada plaintif iaitu Abu Bakar, Sahlak Sudiran, Roslinda Buang, Mior Ahmad Zaudi, Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani.
“Namun, saya dan lapan lagi defendan terpaksa menerima keputusan itu,” katanya.
Katanya perkara itu diputuskan oleh mahkamah pada 21 November lalu, dan hakim telah membuat keputusan bahawa mesyuarat agung persatuan itu hendaklah diadakan semula dalam tempoh dua bulan dari tarikh penghakiman dan perlu diadakan oleh pendaftar penubuhan Malaysia (ROS).
Zed yang turut ditemani seluruh Ahli Jawatankuasa bertindak persatuan itu bagaimanapun, menyerahkan kepada setiausaha kerja, Raja Mohd Faizal Mohd Amar, setiausaha kerja II, Juriza Mazlan dan bekas setiausaha kehormat dan penasihat undang-undang, Zahrin Ishak untuk menjelaskan perkara itu.
Menurut Zahrin, laporan kehilangan minit mesyuarat tersebut adalah berikutan dua kali pejabat seniman dipecah masuk dan dokumen tersebut telah hilang.
Perkara itulah yang menjadikan mesyuarat itu terbatal secara langsung bahkan ia juga difailkan tidak sah oleh mahkamah bermula dari tahun 2010.
“Kalau kami nak argue balik tindakan tersebut pun dah tak guna dan buang masa kerana dokumen itu memang sudah hilang.
“Kami menjadi mangsa. Jadi tanpa ada dokumen itu memang sukar untuk kita perbetulkan keadaan. Yang penting sekarang defendan hanya perlu membuat rayuan untuk pembayaran tersebut,” katanya yang tidak mahu menuduh sesiapa yang mengkhianati persatuan itu memandangkan dua kali pejabat seniman dipecah masuk berikutan kehilangan dokumen penting persatuan itu.
Katanya, pihaknya akan membuat rayuan bagi kos perbicaraan sebanyak RM60,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga hingga kelapan.
“Kesemua defendan juga perlu membayar kos ganti rugi khas RM56,000 kepada plaintif dan kami akan membuat rayuan untuk kedua-dua tuntutan saman yang difailkan itu,” katanya.
Sebelum ini, saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan.
Pihak plaintif diwakili oleh peguam Wan Rohimi Wan Daud, Muhd. Azmi Talib, Yusfarizal Yussof dan Majdah Muda.
Dalam pada itu, ahli persatuan yang hadir turut menyokong jawatankuasa seniman yang ada.
Menurut seorang daripada ahli persatuan, seniwati Mariani atau nama sebenarnya Mariam Ismail berkata, Zed Zaidi merupakan presiden persatuan yang mengutamakan kebajikan ahli.
Katanya, perkara seperti itu tidak boleh berlaku memandangkan banyak perkara yang telah dilakukan oleh Zed jika dibandingkan dengan presiden sebelum ini.
“Mengapa mereka bising-bising dan menuduh Zed tidak buat mesyuarat yang tidak betul, sedangkan kami mempersetujui segala apa yang diusulkan dalam mesyuarat.
“Apa lagi yang tidak puas hati? Sedangkan kami terima dan 2,500 ahli yang hadir untuk mesyuarat itu bersetuju dengan segala apa yang diusulkan dalam mesyuarat, isu kecil seperti minit mesyuarat tidak perlu diperbesarkan,” katanya yang sangat kecewa dengan tindakan 4 plaintif yang membuat tuntutan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: