Monday, November 25, 2013

Zara Zya selesa raih populariti



WALAUPUN sudah 10 tahun membina karier dalam industri lakonan, namun drama Love You Mr. Arrogant merupakan karya pertama yang berjaya menaikkan populariti Zara Zya dalam kalangan masyarakat.
Tidak pernah rasa kecewa atau marah dengan apa yang menimpa dirinya, Zara hanya banyakkan bersabar dan percaya pada rezeki diri selain berusaha keras.
Buktinya, watak Zaara Amirah yang dilakonkan oleh wanita genit ini ternyata memberi impak besar kepada karier lakonan yang ingin dibina selama ini.
Akui Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, pada mulanya dia agak ragu-ragu dengan tawaran yang diterimanya itu.
Bagaimanapun, mengikut kata hati yang ingin mengambil risiko dan mencuba nasib, ternyata keputusannya itu bukan perkara sia-sia.
Buktinya, hanya melalui sebuah drama, nama Zara terus melonjak bagai termometer yang menyukat suhu panas.
"Sewaktu saya dapat tawaran dahulu, saya diberitahu yang cerita itu diadaptasi daripada novel. Jadi, saya beli novel dan baca sebelum terima tawaran itu. Saya akui, ketika itu saya dalam dilema sama ada mahu terima atau tidak tawaran tersebut.
"Namun, saya rasakan ini peluang buat saya. Jika tidak ambil, mungkin saya rugi. Jadi, saya ambil risiko dengan terima tawaran itu dan berazam untuk buat yang terbaik.
"Akhirnya, drama ini telah menjadi trending dan kami semua memang tidak sangka ia akan menjadi fenomena," tuturnya yang ditemui ketika jelajah Anugerah Skrin 2013 di Ecurve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.
Takut
Jelas terserlah keterujaan pada wajah dan pertuturan kata yang dilontarkan Zara ketika ditemu ramah pihak media. Ternyata setelah sekian lama berusaha, kejayaan ini sememangnya dinantikan oleh empunya diri.
Walaupun begitu, perasaan takut sering terselit di lubuk minda kerana jarang sekali dirinya terlibat dalam penggambaran dan pada masa yang sama, episod di kaca televisyen turut ditayangkan.
"Memang takut tetapi Alhamdulillah, daripada episod pertama, respons penonton memang sangat menggalakkan.
FIGURA ini mahu menjadi pelakon versatil yang mampu membawakan pelbagai watak dengan baik.


"Sejujurnya, memang saya tidak sangka langsung akan dikenali begini," jelasnya yang sentiasa tersenyum ketika menjawab segala persoalan yang diberi kepadanya.
Bersedia popular
Ketika ditebak persoalan mengenai keselesaan diri meraih populariti sebegini, jawab Zara, setakat ini dia selesa dengan apa yang diperolehnya ini.
"Mungkin saya belum jumpa peminat yang benar-benar obses dengan watak mahupun diri saya. Saya tidak rasa terkejut atau janggal dengan populariti yang diraih ini.
"Ini kerana saya masih lagi boleh keluar seperti biasa, jika tidak mengenali saya, tidak mengapa.
"Hakikatnya, peminat yang meletakkan label kepada saya.
"Namun pada diri saya sendiri, tidak merasakan sedemikian. Saya masih seperti dahulu," jelasnya yang sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan dilalui.
Akuinya, walaupun baru meraih populariti melalui drama Love You Mr. Arrogant, namun masa yang sering diluangkan bersama keluarga, rakan serta diri sendiri semakin berkurangan.
Sebagai peringatan, dia perlu bersedia kerana ini merupakan jalan yang dipilihnya sendiri. Ini juga peluang yang sudah lama dinanti-nantikan setelah terlibat dalam lakonan sejak berusia 18 tahun lagi.
TIDAK mahu larut dengan populariti yang baru diraihnya, Zara mahu berusaha lebih keras bagi memantapkan kerjaya lakonannya.


Jaga hati
Populariti one-off atau sekali naik sahaja memang sering terjadi pada artis baharu yang hanya berjaya melalui satu naskhah sahaja.
Tidak mahu melalui perjalanan karier yang sedemikian, ujar Zara, dia akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan namanya dalam bidang yang diminatinya ini.
"Saya sedar akan fenomena begitu tapi jika saya mampu berusaha selama 10 tahun, saya pasti akan berusaha lebih untuk mengekalkan nama saya bukan sahaja melalui satu projek.
"Saya ingin dikenali dalam tempoh masa yang lama dan mahu peminat lihat saya seorang pelakon yang versatil dan mampu membawa pelbagai watak," bicaranya serius tentang masa depan kerjayanya ini.
Ceritanya, tanpa peminat dia tidak akan mampu dikenali seperti sekarang ini. Oleh itu, jika punya masa terluang, dia akan sedaya upaya membalas semua komen yang ditujukan kepadanya melalui akaun laman sosial seperti Facebook dan seumpamanya.
Tambahnya, memang besar perbezaan peminat khususnya jika ingin dibandingkan ketika sebelum terlibat dengan drama tersebut.
"Memang tidak dinafikan, sebelum pegang watak Zaara, mungkin ada beberapa orang yanng kenal dengan wajah saya iaitu sebagai seorang pelakon.
"Namun kini, ketika keluar berjalan-jalan pun, akan ada peminat yang memanggil saya dengan nama Zara," tuturnya yang merasakan kemungkinan nama yang dipanggil itu nama wataknya dalam Love You Mr. Arrogant.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: