|
MARATON Foto Canon Malaysia 2013 musim ketujuh yang merupakan acara tahunan Canon Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (Canon Malaysia) berlangsung dengan jayanya di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 16 September lalu.
Lebih 1,000 peserta yang meminati dunia fotografi turut serta dengan harapan merebut hadiah bernilai lebih RM30,000.
Demi melahirkan lebih ramai peminat fotografi tanpa mengira faktor usia, Canon Malaysia buat julung-julung kalinya memperkenalkan kategori junior untuk peserta di bawah usia 18 tahun di samping mengekalkan kategori terbuka yang diperkenalkan sejak tahun 2007.
Pertandingan yang bermula pada pukul 8 pagi itu berlangsung lebih lapan jam dengan menyaksikan para peserta berkumpul di pekarangan pusat beli-belah terkemuka itu seawal pukul 7 pagi. Mereka turut mengenakan baju-T berwarna merah dan bersiap sedia dengan kamera masing-masing.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Malaysia, Melvyn Ho berkata, penganjuran kali ini lebih meriah ekoran pengenalan kategori junior yang mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Kami sedar bahawa ramai generasi muda hari ini mempunyai minat dalam bidang fotografi. Ini menjadi faktor utama kami memperkenalkan kategori baharu atau junior.
"Selain bertanding, peserta di bawah usia 18 tahun ini juga didedahkan dengan pelbagai bentuk pengalaman dan pendidikan dalam bidang fotografi," ujarnya ketika ditemui pada pertandingan itu.
Mengulas lanjut, Ho berkata, untuk menjadikan persaingan lebih menarik, pihaknya menyediakan beberapa tema yang dipilih melalui pusingan roda khas dan para peserta harus melunaskan setiap tema itu dengan hasil yang paling kreatif.
Selepas sesi cabutan dilakukan, peserta berhempas-pulas memenuhi setiap tema yang disediakan iaitu Bumi, Hitam dan Putih serta Perkara Kecil yang Bermakna.
Cabaran kreativiti
Ho yang mengakui teruja melihat setiap foto yang dihantar peserta, menyerahkan tugas penghakiman kepada empat juri khas yang berpengalaman untuk memilih setiap pemenang bagi kedua-dua kategori.
Beliau memberitahu, juri jemputan ialah Presiden Persatuan Fotografi Malaysia, Harry Woo; Editor Foto Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Kamaruddin Ahmad; Penerbit Majalah Kamera Digital Malaysia, Arthur Chen dan Pengurus Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Syed Agil Syed Jaafar.
Pertandingan yang berakhir pada kira-kira pukul 6 petang itu menyaksikan Juruprogram Komputer, Azril Azam Abdul Rahim, 37, muncul sebagai pemenang utama, sekali gus membawa pulang sebuah kamera Canon EOS 5D Mark III bersama lensa Canon EF 24-70mm F.4L.
Pemenang tempat pertama, Ignatius Kong Hai Yuen pula menerima hadiah sebuah kamera Canon EOS 70D berserta lensa Canon EF 18-135mm STM, manakala tempat kedua diraih Ho Kek Kai yang menerima sebuah kamera Canon EOS 700D berserta lensa Canon EF-S 18-135 mm.
Tempat ketiga kategori terbuka dimenangi Mario Jr. Luna Legaspi yang meraih hadiah berupa sebuah kamera Canon EOS M, lensa EFM 18-55 mm dan Speedlite 90EX.
Azril Azam dan Hai Yuen meraih tempat bagi menghadiri bengkel fotografi kelolaan jurugambar terkemuka, Triston Yeo, di Kansai, Jepun selama lapan hari.
Hadiah kategori junior pula dimenangi pelajar Kolej Saito Petaling Jaya, Ong Kai Wei, 18, yang membawa pulang sebuah kamera Canon EOS 100D berserta lensa Canon EF-S 18-55 mm, tempat kedua oleh Suraya Batrisyia Roslan yang memperoleh sebuah kamera Canon EOS M berserta lensa Canon EF-S 18-55 mm.
Pemenang tempat ketiga, Choong Wai Er pula membawa pulang sebuah kamera Canon PowerShot N.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: