|
BAGI setiap pelakon, menerima pengiktirafan terbaik daripada majlis-majlis anugerah yang berprestij merupakan salah satu impian dalam usaha untuk menggapai puncak karier masing-masing.
Tidak keterlaluan memasang angan-angan, pengiktirafan sebegini ternyata mampu menjadi pembakar semangat serta persaingan sihat dalam kalangan penggiat industri seni tanah air.
Ia juga turut membuktikan bahawa industri perfileman dan drama televisyen tempatan tidak pernah ketandusan bakat yang sarat dengan pelbagai emosi, jiwa dan personaliti.
Bagi Nad Zainal, Azhan Rani, Izreen Azminda dan Izzue Islam, debaran dan kehangatan malam acara Anugerah Skrin 2013 (ASK 2013) kian terasa.
Walaupun mengaku persaingan pada kali ini ternyata lebih sengit, isu menang atau kalah bukanlah menjadi subjek utama pada malam ini.
Nad kerja keras
Dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama menerusi telemovie Mawar Putih Tanda Perpisahan, pelakon Farah Nadia Zainal Abidin, 23, atau lebih mesra disapa Nad Zainal berkata, pencalonan yang diterimanya pada tahun ini lebih bermakna berbanding tahun lepas.
Katanya, bukan sahaja dapat bersaing dengan pelakon-pelakon senior yang berpengalaman, malah dia juga turut berpeluang berlakon dengan idolanya, Ro- syam Nor.
"Jika tahun lepas saya tercalon dalam kategori Artis Harapan Pantene tetapi tahun ini saya diberi peluang untuk bertanding bersama pelakon-pelakon yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.
"Paling istimewa, saya berpeluang untuk berlakon bersama pelakon pujaan saya iaitu Rosyam Nor. Masih segar dalam ingatan, dia pernah berjanji kepada saya untuk membawa saya sehingga ke tahap Top 5 ketika sedang menjalani pengambaran telemovie tersebut.
"Nampaknya, mulut dia benar- benar masin!" tutur gadis genit itu sambil tertawa.
Debaran anak kelahiran Selangor ini tidak terhenti usai keputusan anugerah dibacakan. Ini kerana dia turut diberi tanggungjawab untuk mengemudi acara gilang-gemilang itu bersama Awal Ashaari dan Faizal Ismail.
"Ini merupakan kali pertama saya diberi peluang untuk meng- acarakan majlis anugerah secara langsung. Walaupun gugup, saya tetap akan berkerja keras dalam memberikan yang terbaik kepada para penonton," ujarnya.
Dalam pada itu, Nad juga memberitahu bahawa dia tidak menolak jika diberikan kepercayaan untuk menjadi pengacara pada masa akan datang.
"Pada pendapat saya, tidak salah untuk mencuba. Lagipun, saya sebenarnya gemar bercakap. Mungkin program hiburan santai sesuai dengan karakter saya ini," ujarnya.
Harap pembaharuan
Sinar populariti Azhan Rani mungkin tidak bergemerlapan secerah bintang pelakon-pelakon yang lain. Malah, pelakon berusia 37 tahun ini turut menggelar dirinya sebagai 'underdog' dalam kalangan pelakon-pelakon tempatan.
Bagaimanapun, itu tidak bererti bakat yang ada pada Azhan tidak pernah diendahkan oleh sesetengah pihak. Buktinya, ASK 2013 sekali lagi meletakkannya sebaris dengan artis-artis popular yang lain menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama.
"Saya menerima dua pencalonan pada tahun ini dengan hati yang terbuka. Kesemua pelakon yang bertanding sekali merupakan para pelakon yang saya hormati terutama bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik," ujarnya yang mengagumi bakat lakonan Faizal Hussein, Wan Hanifi Su dan Rosyam Nor.
Azhan turut memberitahu, setiap kali berada di set pengambaran, fokus seratus peratus perlu diberikan untuk menghayati watak yang dibawa agar penghasilan sesebuah drama dapat berjalan dengan baik.
"Saya lebih gemar jika seseorang pengarah itu dapat mengeluarkan potensi yang ada dalam diri saya. Justeru, saya dapat mengukur kebolehan diri untuk masa yang akan datang," ujarnya positif.
Azhan turut berharap agar penganjuran ASK pada tahun-tahun akan datang hadir dengan format baharu yang lebih segar seiring dengan perkembangan industri filem tempatan.
"Jika pihak ASK dapat menyertakan bersama info mengenai penerima anugerah, mungkin peminat dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang mengapa pemilihan tersebut dilakukan," ujarnya yang tercalon menerusi dua buah drama iaitu Neraka Abah dan Fatihah Untuk Abah.
Izreen tidak memilih
Kira-kira lapan tahun yang lalu, nama Izreen Azminda, 30, jarang disebut-sebut oleh peminat drama Melayu tempatan, sedangkan pemenang tempat ketiga pertandingan Pencarian Dewi Remaja ini sering kali muncul di kaca televi- syen menerusi drama-drama terbitan produksi tempatan.
Namun, segala-galanya berubah selepas dia muncul menerusi drama bersiri Juvana.
"Saya akui penglibatan dalam Juvana sedikit sebanyak membuka ruang kepada penonton untuk mengenali Izreen Azminda dengan lebih dekat lagi.
"Sejak daripada itu, saya percaya dengan kekuatan cerita dan skrip yang mampu membuka ruang yang lebih besar untuk para pelakon menonjolkan bakat dan kebolehan yang mereka ada," ujar ibu kepada Muhammad Adrian Umar Muhamad Riza itu penuh yakin.
Sering positif dengan dengan perjalanan kariernya, Izreen tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk pencalonannya pada ASK 2013.
"Saya tidak mengharapkan sebarang kemenangan kerana pelakon-pelakon lain yang turut sama tersenarai mempunyai kelebihan yang tersendiri.
"Dipilih sebagai calon Top 5 sudah cukup memadai bagi saya," ujarnya yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi drama Perempuan Itu Ibuku.
Perlu banyak belajar
Bagi Izzue Islam, 23, dia berasa sungguh terkejut saat menerima perkhabaran tentang pencalonannya dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem 29 Februari.
Bagaimanapun, dia percaya pemilihannya buat pertama kali untuk ASK 2013 adalah berdasarkan apa yang telah dipersembahkan menerusi lakonannya.
"Saya sedikit terkejut ketika diberitahu tentang pencalonan ini tetapi pada masa yang sama saya turut berasa gembira kerana orang telah mula nampak kebolehan saya," ujar Izzue yang sering terbuka dengan sebarang peluang yang melibatkan bidang seni.
Izzue turut memberitahu, dia sering mengimpikan untuk memainkan watak-watak berat serta beremosi seperti peranan lelaki gila atau individu yang dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya.
"Melalui watak-watak berat seperti itu, saya mampu memperbaiki diri dan belajar sesuatu yang baharu.
"Ia juga dapat mengelakkan diri daripada dilabel sebagai pelakon yang tidak versatil," ujarnya yang turut memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki menerusi filem 29 Februari pada Festival Filem Malaysia ke-25.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: