SUASANA tenteram di dalam auditorium Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu bertukar hingar-bingar tatkala penyampai radio Suria FM, Linda Onn naik ke atas pentas menandakan bermulanya perjalanan Konsert Pelangi Untukmu oleh penyanyi bersuara saprano, Ning Baizura.
Bertindak sebagai pengacara, Linda begitu sinonim dengan kepetahan tutur bicaranya berinteraksi dengan para peminat bagi membangkitkan lagi kemeriahan atmosfera auditorium tersebut.
Usai pengacara memperihalkan perjalanan konsert dan beberapa peraturan yang perlu diikut oleh para penonton, alunan muzik yang dipimpin oleh Alwin Santiago mula berkumandang rancak mengiringi kemunculan Ning Baizura yang berjalan keluar dari celah-celah penonton menuju ke atas pentas.
Bak primadona, penyanyi yang berusia 38 tahun itu tampak begitu anggun mengenakan busana malam berwarna biru kobalt rekaan Shime Mandagie, adik kepada pereka fesyen terkemuka tanah air, Jovian Mandagie.
Konsert untuk peminat dan anak
Mempertaruhkan Asmara sebagai lagu pembukaan, Ning seakan-akan membawa penonton yang hadir terbang ke zaman awal pembabitannya dalam industri hiburan tanah air.
Segmen pertama diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu seperti Kau Dan Aku, Kembali, Selagi Ada, Mama Papa dan Bukan Sebarangan.
Sebelum mendendangkan lagu Teguh, Ning terlebih dahulu menyuarakan rasa terima kasihnya kepada peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepadanya selama 20 tahun dia bergelar anak seni.
“Kalau tak kerana anda, saya tidak akan berdiri teguh di sini,” katanya tersenyum.
Peranan Ning sebagai ibu sedikit sebanyak mempengaruhi perjalanan Konsert Permata Untukmu. Rangkaian lagu-lagu seperti A Mother’s Prayer, Ibu, Pelangi Untukmu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Erti Pertemuan memenuhi segmen kedua yang ditujukan khas buat anak lelakinya, Ryan Sky Dalton.
“Saya sering menyanyikan lagu A Mother’s Prayer untuk Ryan dan dia sangat menyukainya. Lagi tinggi suara saya, lagi besar matanya terbuka,” seloroh Ning.
Sebelum mengalunkan lagu A Mother’s Prayer, suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton naik ke atas pentas sambil mendukung anak mereka, Ryan.
“Lagu ini khas untuk kamu sayangku,” ujar Ning lagi.
Sebak
Turun naik adrenalin para penonton akhirnya sampai ke kemuncak apabila Ning membuka segmen terakhir dengan lagu ‘berhantu’nya, Curiga.
Rendisinya pada kali ini kedengaran lebih bertenaga, ditambah dengan kesungguhan para peminat yang ikut menyanyi bersama.
Antara lagu-lagu popular lain yang turut disampaikan menerusi segmen terakhir ini termasuklah Pasti, Ke Sayup Bintang, Bila, Penjara Kasih, In Another Life, Antara Kita dan Awan Yang Terpilu.
Namun, mood ceria pada malam itu bertukar sedih apabila Ning selesai melantunkan lagu Dugaanku. Dia seakan-akan tidak dapat menahan air matanya daripada jatuh kerana terlalu sebak mengenangkan persamaan kisah hidupnya dengan penceritaan lagu tersebut.
“Banyak halangan dan pancaroba yang terpaksa saya harungi demi memahat nama sebagai insan seni,” keluh Ning sambil menyeka air mata yang jatuh.
Bijak menangkis permainan emosi, Ning kembali ceria dengan mengambil permintaan lagu daripada peminat dan menyanyikannya secara spontan.
Antara lagu-lagu yang dinyanyikan secara ringkas termasuklah Aku Cinta Kamu, I’ll Be There, I Will Always Love You dan Sayang Disayang.
Selesai menyanyikan 23 buah lagu, Ning mendendangkan lagu yang terakhir, Bukan Wanita Sempurna hasil ciptaan Alwin Santiago sebagai melabuhkan tirai konsert pada malam tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: